[Kaedah-Kaedah Taklid] Kesalahan Persepsi Seputar Ijtihad
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Pertama, sebahagian kaum muslim memahami bahawa semua orang berhak dan layak melakukan ijtihad. Mereka berdalil bahawa setiap mukalaf dibekalkan Allah dengan akal yang sama dan setiap mukmin wajib memahami hukum syarak berdasarkan pemahamannya sendiri. Untuk itu, setiap orang berhak melakukan ijtihad walaupun ijtihadnya boleh jadi salah.
Mereka juga beralasan bahawa ijtihad perlu tetap ada hingga hari kiamat untuk menjawab persoalan-persoalan baru yang terus berkembang. Untuk itu, jika setiap orang tidak diberi hak berijtihad, tentunya akan terjadi stagnasi ijtihad, padahal stagnasi ijtihad tidak boleh terjadi di tengah-tengah masyarakat Islam.
Benar, setiap muslim diperintahkan untuk terikat dengan aturan Allah SWT dan seseorang tidak mungkin dapat terikat dengan aturan Allah bila dia tidak memahami hukum syarak. Sementara itu, satu-satunya jalan untuk menggali hukum adalah ijtihad. Oleh kerana itu, adanya ijtihad merupakan kewajipan bagi kaum muslim. Namun demikian, ijtihad sebagaimana definisinya adalah aktiviti yang sangat sukar dan berat. Ijtihad juga memerlukan syarat-syarat yang tidak mudah. Hanya orang-orang yang memiliki kelayakan dan kemampuan saja yang berhak melakukan ijtihad.
Orang-orang yang tidak memiliki kemampuan dan kelayakan tentu tidak akan mampu melakukan ijtihad sesuai dengan tuntunan Allah Taala. Jika dia memaksakan diri berijtihad, tentu saja hukum yang digalinya lebih banyak didasarkan pada hawa nafsunya, bukan didasarkan pada dalil-dalil syarak dan kaedah istinbat yang benar. Sedangkan Allah SWT melarang kaum muslim berhukum berdasarkan hawa nafsunya. Allah SWT berfirman,
“Hendaklah kamu putuskan perkara di antara mereka dengan hukum-hukum yang telah diturunkan Allah dan janganlah kalian ikuti hawa nafsu mereka.”(TMQ Al-Maidah: 49).
Ijtihad memang perlu dilakukan hingga akhir zaman untuk menjawab persoalan-persoalan baru yang tidak ditemukan pada masa sebelumnya. Akan tetapi, ini tidak bermakna semua orang memiliki hak untuk melakukan ijtihad dengan alasan agar ijtihad tidak terhenti. Syarat-syarat kelayakan untuk melakukan ijtihad tetap mesti dipenuhi. Orang yang tidak memiliki kemampuan dan memenuhi syarat-syarat ijtihad dilarang melakukan ijtihad. Dengan kata lain, pintu ijtihad tertutup bagi orang yang tidak memenuhi syarat kelayakan ijtihad dan terbuka seluas-luasnya bagi siapa saja yang memenuhi syarat ijtihad.
Kedua, dengan dalih ijtihad dan masalah ijtihadiah, banyak orang yang akhirnya bersifat permisif terhadap kepelbagaian pendapat, padahal tidak jarang perbezaan pendapat dalam masalah itu sudah menyangkut hal-hal yang bersifat usul, bukan lagi furu‘.
Contohnya perbezaan pendapat di kalangan kaum muslim tentang wajibnya menegakkan syariat Islam. Ada sebahagian kaum muslim berpendapat bahawa kita tidak perlu menerapkan syariat Islam, yang penting inti patinya. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa syariat Islam perlu diterapkan secara sempurna dan menyeluruh.
Perbezaan-perbezaan pendapat dalam hal semacam ini sesungguhnya adalah perbezaan pendapat yang dilarang dalam Islam sebab masalah wajibnya menegakkan syariat Islam bukanlah masalah ijtihadiah. Nas-nas syarak dengan sharih menyatakan bahawa seorang muslim diwajibkan untuk menerapkan syariat Allah SWT dan berbuat sesuai dengan tuntunan syariat.
Untuk itu, umat Islam hendaklah mewaspadai mana masalah ijtihadiah atau furu’ yang kaum muslim boleh berbeza pendapat dan mana masalah usul yang tidak boleh ada perselisihan dan perbezaaan.
Ketiga, dengan alasan ijtihadiah juga sebahagian kaum muslim telah menutup diri dari pendapat lain. Dengan kata lain, mereka enggan untuk mencari dan mengkaji mana pendapat yang paling kuat dan benar berdasarkan prinsip quwwatu ad-dalil (kekuataan argumentasi). Dalam masalah furu’, walaupun kaum muslim diperbolehkan berbeza pendapat dan pandangan, tetapi mereka diperintahkan untuk mencari dan memilih pendapat yang paling rajih dan kuat. Ini kerana seorang muslim diwajibkan untuk beramal dengan hukum yang dianggapnya paling benar dan kuat. Dia tidak boleh beramal dengan hukum yang dianggapnya salah dan lemah. Atas dasar itu, seorang muslim tidak boleh menolak pendapat yang lebih kuat dan rajih. Berkeras pada pendapat yang sudah terbukti lemah dan rapuh adalah tindakan dosa yang dicela oleh Islam
Prinsipnya, kaum muslim tidak boleh berbeza pendapat dalam masalah usul. Sedangkan dalam masalah furu’ mereka perlu mencari pendapat yang terkuat dan terbenar berdasarkan kaedah quwwatu ad-dalil. Bolehnya kaum muslim berbeza pendapat dalam masalah furu’ tidak menafikan wajibnya kaum muslim mencari dan memegang pendapat yang paling kuat dan rajih.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

