[Kisah Inspirasi] Ummu Kultsum binti Ali, Isteri Khalifah dan Bidan Mahir
Penulis: Chusnatul Jannah
Ummu Kultsum, gadis remaja yang menawan. Nasabnya mulia, cucu Rasulullah SAW yang taat beribadah dan cerdas. Padanya terhimpun segala kebaikan. Ibunya, Fatimah az-Zahra adalah puteri kesayangan Rasulullah SAW dan penghulu wanita ahli syurga. Ayahnya, Ali bin Abi Thalib merupakan sepupu dan menantu Rasul yang memiliki kedudukan mulia di antara sahabat Nabi SAW. Adik-beradiknya, Hasan dan Husein adalah pemimpin pemuda ahli syurga, penawar hati dan penyejuk hati Rasulullah SAW.
Kehidupan Ummu Kultsum
Nama penuhnya Ummu Kultsum binti Ali bin Abi Thalib bin Abdil Muthalib bin Hasyim al-Hasyimiyyah. Dia dilahirkan pada tahun ke-6 Hijrah dan berkesempatan bertemu datuknya, Rasulullah SAW. Nama Ummu Kultsum diberikan oleh Rasulullah untuk memperingati kematian puteri baginda, Ummu Kultsum binti Muhammad yang meninggal pada tahun tersebut. Ummu Kultsum merupakan anak bongsu Ali dan Fatimah. Tidak seperti adik-beradiknya yang lain, masa Ummu Kultsum dengan datuknya sangat singkat. Rasulullah SAW wafat ketika usianya masih sangat muda.
Ummu Kultsum dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran yang penuh ketaatan. Dia adalah teladan bagi para muslimah yang berpegang teguh pada agamanya dan memiliki rasa malu yang tinggi. Didikan Islam yang kukuh daripada ibu bapa dan keluarga menjadikan Ummu Kultsum sebagai pemeluk Islam pertama dalam kalangan kanak-kanak.
Pernikahan dengan Umar
Disebabkan kemuliaan sifat dan nasab yang dimilikinya, Umar bin Khattab RA berharap untuk meminangnya. Bukan sekadar pernikahan romantik, tujuan Umar menikahi Ummu Kultsum adalah kerana dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda, “ Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku”. Pandangan Umar juga menatap jauh bahawa dia melihat kemuliaan Ummu Kultsum yang tidak ada pada wanita lain.
Dengan alasan itulah, Ali merestui pernikahan Ummu Kultsum dan Umar. Ali menikahkan Umar dengan puterinya pada Zulkaedah, 17 Hijrah. Umar memberikan mas kahwin sebanyak 40 ribu dirham. Mereka hidup bersama hingga Umar terbunuh. Dari pernikahan ini, Umar dikurniakan dua orang anak, iaitu Zaid bin Umar dan Ruqayyah bin Umar.
Ummu Kultsum sentiasa menemani Umar, menjadi isteri dan ibu yang terbaik. Dia juga turut terlibat dalam tugas negara sebagai isteri khalifah. Dia membantu Umar menjalankan tugasnya sebagai ketua negara dengan mengambil bahagian dalam menjaga keperluan rakyat. Betapa tingginya dedikasi sebagai wanita pertama dan isteri khalifah.
Bidan Mahir
Sebagai seorang khalifah, Umar selalu berjalan pada waktu malam untuk memantau dan mengawasi keadaan rakyatnya. Ketika itu, dia melalui sebuah kampung di Madinah dan terdengar rintihan seorang wanita dari sebuah rumah kecil. Di hadapan pintu rumah tersebut, terdapat seorang lelaki sedang duduk.
Umar menyapanya dengan mengucap salam. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai seorang Badui yang ingin mendapat kemurahan hati Amirul mukminin. Kerana ingin tahu dengan rintihan yang didengarnya, Umar bertanya tentang wanita itu. Tanpa mengetahui bahawa Umar adalah Amirul mukminin yang dimaksudkan, lelaki itu berkata kepada Umar, “Pergilah kamu! Semoga Allah merahmati kamu supaya mendapat apa yang kamu cari dan tidak bertanya lagi tentang sesuatu yang tidak berguna untuk kamu.”
Umar mengulangi pertanyaannya lagi supaya dia dapat membantu kesusahan lelaki itu. Namun, lelaki itu menjawab, “Dia isteri saya yang hampir bersalin dan tiada siapa yang dapat membantunya.” Umar pergi meninggalkan lelaki itu dan bergegas pulang ke rumah.
Dia masuk menemui isterinya, Ummu Kultsum, dan berkata, “Apakah kamu ingin mendapatkan pahala yang Allah akan berikan kepadamu?” Ummu Kultsum menjawab dengan ekspresi yang penuh semangat, ingin tahu, dan gembira kerana dia akan mendapat pahala untuknya. “Apakah bentuk kebaikan dan pahala itu, wahai Amirul mukminin?” dia bertanya. Umar menceritakan kejadian yang ditemuinya. Kemudian, Ummu Kultsum segera bangun dan mengambil peralatan untuk membantu melahirkan dan menyiapkan segala keperluan bayi yang akan dibantunya. Manakala Amirul mukminin pula membawa bekas berisi mentega dan makanan. Dia dan Ummu Kultsum berangkat ke rumah tempat wanita itu merintih.
Ummu Kultsum masuk ke dalam rumah tersebut dan membantu ibu yang hendak bersalin itu. Seperti seorang bidan, dia mahir dan bersemangat untuk menunaikan kewajipannya dalam menjaga ibu dan bakal bayi. Umar pula duduk bersama lelaki itu di luar rumah tersebut sambil memasak makanan yang dibawanya dari rumah. Ketika isteri lelaki itu melahirkan anaknya, Ummu Kultsum secara spontan berteriak dari dalam rumah, “Khabarkan kepada sahabatmu berita gembira, wahai Amirul mukminin, bahawa Allah telah memberikannya seorang anak lelaki.” Tiba-tiba lelaki Badui itu terkejut kerana ternyata orang yang sedang memasak dan meniup api di sebelahnya ialah Amirul mukminin.
Begitu juga si isteri tidak kurang terkejutnya orang yang menolongnya bersalin ialah isteri Amirul mukminin. Orang ramai berasa hairan melihat khalifah dan isterinya tidak teragak-agak membantu rakyatnya yang meminta pertolongan. Tanpa mengira suku atau bangsa asal mereka, Umar dan Ummu Kultsum tidak pernah teragak-agak untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan. Ini kerana kedua-duanya sedar bahawa kedudukan mereka akan dihisab kelak dan mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat besar di hadapan Allah SWT.
Khatimah
Setiap kisah sentiasa ada hikmahnya. Nabi SAW bersabda, “Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawapan atas kepimpinannya. Seorang pemimpin umat manusia adalah pemimpin bagi mereka dan dia bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya ke atas mereka. Seorang lelaki adalah ketua keluarganya dan dia bertanggungjawab ke atas mereka. Seorang wanita adalah pemimpin rumah tangga dananak-anak suaminya, dan dia bertanggung jawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia bertanggung jawab ke atasnya. Maka setiap kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas kepimpinannya.” [HR Abu Dawud].
Sikap, perwatakan, serta peribadi Umar dan isterinya adalah teladan bagi umat. Itulah gambaran ketua negara dan ibu negara yang memikul amanah besar di bahunya. Hidup sederhana, tidak bermewah-mewah, mengambil berat tentang rakyat dengan memantau, mengawasi, dan memenuhi keperluan mereka, serta berlaku adil kepada sesiapa pun tanpa mengira asal usul dan kedudukan. Pemimpin seperti ini tidak lahir dari sistem demokrasi kapitalisme. Pemimpin yang berkaliber seperti Umar dan solehah seperti Ummu Kultsum lahir dari sistem Islam kaffah yang mampu mewujudkan ketakwaan daripada individu, bahkan kepada negara.
*Diceritakan semula dari pebagai sumber

