[Kaedah-Kaedah Taqlid] Memilih Pendapat yang Terkuat tentang Rasulullah Bukan Mujtahid (Bahagian 1/3)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Pendapat terkuat adalah pendapat mazhab yang pertama sebagaimana dijelaskan dalam tulisan sebelumnya. Qadhi An-Nabhani dalam kitab Asy-Syakhshiyah al-Islamiyah berpendapat bahawa Nabi SAW tidak berijtihad dalam perkara-perkara diniyah.
Menurut Qadhi An-Nabhani, pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW berijtihad dalam beberapa masalah hukum syariat, kemudian ijtihadnya salah, lantas Allah SWT membetulkan (mengoreksi) kesalahan ijtihad tersebut, sama saja mendakwa Rasulullah SAW menyampaikan syariat kepada umat manusia dari hasil ijtihadnya sendiri dan bukan berasal dari wahyu Allah (SWT). Selain itu, pendapat tersebut akan memberikan konsekuensi bahawa Rasulullah SAW tidak maksum dalam menyampaikan (tabligh) beberapa syariat Islam kepada umat manusia. Pendapat semacam ini (bolehnya Rasulullah SAW berijtihad) jelas-jelas salahnya, baik secara aqli mahupun naqli.
Pada dasarnya, Muhammad SAW adalah seorang nabi dan rasul. Sebagaimana nabi dan rasul lainnya, beliau maksum dalam perkara tabligh risalah (penyampaian risalah) dari Allah (SWT). Kemaksuman beliau SAW dalam hal tabligh risalah tidak perlu diragukan lagi dan telah ditunjukkan oleh dalil aqli. Dalil-dalil syarak yang qath’i dalalahnya juga telah menunjukkan bahawa tabligh risalah (penyampaian risalah) Nabi SAW baik yang global mahupun teperinci datang hanya berdasarkan wahyu. Allah SWT berfirman,
“Katakanlah (hai Muhammad), ‘Sesungguhnya aku hanva memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan wahyu.’” (TMQ Al-Anbiya: 45).
Makna ayat ini adalah, “Wahai Muhammad, katakanlah kepada mereka, ‘Aku memberi peringatan kepada kalian hanya berdasarkan wahyu yang diturunkan kepadaku.’” Dengan kata lain, “Peringatanku kepada kalian hanya terbatas pada wahyu belaka.” Di ayat lain, Allah SWT berfirman,
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (TMQ An-Najm: 3-4).
Sesungguhnya, frasa “maa yantiqu” dalam ayat di atas berbentuk umum, mencakup Al-Quran dan Sunnah. Tidak ada satu pun indikasi baik dari Al-Quran mahupun Sunnah yang mengkhususkan maknanya hanya pada Al-Quran. Ayat ini tetap bersifat umum mencakup semua yang dikatakan oleh Nabi SAW (Al-Quran dan Sunnah).
Dengan kata lain, semua ucapan beliau SAW yang berhubungan dengan syariat pasti bersumber dari wahyu. Tidak benar jika dinyatakan bahawa frasa “ma yanthiqu” pada ayat di atas khusus hanya Al-Quran, tidak mencakup Sunnah. Ini kerana lafaz “ma yanthiqu” di atas datang dalam bentuk umum, mencakup Al-Quran dan Sunnah
Hanya saja, ada dalil-dalil lain yang mengkhususkan pengertian frasa “ma yanthiqu” di atas. Ertinya, tidak semua hal yang beliau ucapkan dan lakukan selalu bersumber dari wahyu dan Rasulullah SAW maksum di dalamnya. Adapun yang men-takhshish pengertian ayat di atas adalah perkara-perkara yang berhubungan dengan:
Pertama, urusan-urusan yang berhubungan dengan kemaslahatan dunia.
Kedua, penetapan uslub, sarana, dan prasarana untuk melaksanakan hukum syariat.
Dalam dua perkara ini, Rasulullah SAW tidaklah maksum. Dengan kata lain, perkara yang diucapkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam dua perkara ini bukan berasal dari wahyu Allah (SWT). Oleh kerana itu, yang dimaksud dengan frasa “ma yanthiqu” di atas hanya khusus untuk masalah-masalah tasyri’, akidah, hukum, dan sebagainya, dan tidak berlaku untuk dua perkara di atas. Berikut ini penjelasannya:
Pertama, dalam urusan-urusan kemaslahatan dunia serta pengaturan taktik dan strategi perang, Rasulullah SAW biasa memutuskan berdasarkan pertimbangan beliau sendiri, bukan berdasarkan wahyu. Dalam masalah-masalah seperti ini, Rasulullah SAW tidaklah maksum dan sangat mungkin terjatuh ke dalam kesalahan. Namun, kesalahan dalam masalah ini tidak menyebabkan dosa. Misalnya, dalam kes pendebungaan kurma, ternyata Rasulullah SAW tidak tepat. Rasul SAW bersabda, “Kalian lebih mengetahui tentang perkara (dunia) kalian.”
Di dalam perang Badar, Rasul SAW telah menetapkan kedudukan tertentu untuk pertahanan. Akan tetapi, Khubaib bin Mundzir mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah SAW, “Apakah (penentuan tempat) ini ditetapkan oleh) wahyu dari Allah atau hanya berupa pendapat atau (taktik) perang atau tipu daya?” Rasul menjawab, “Ini adalah pendapat, (taktik) perang, dan tipu daya.” Selanjutnya Khubaib bin Mundzir mengajukan usul kepada Rasulullah SAW untuk bertahan di tempat yang lain. Rasulullah SAW meninggalkan pendapatnya dan mengikuti pendapat Khubaib bin Mundzir.
Dalil-dalil ini telah mengkhususkan pengertian surah An-Najm di atas. Dengan kata lain, apa yang diucapkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam urusan keduniaan, pengaturan perang, taktik dan strategi, bukanlah berasal dari wahyu Allah SWT, tetapi berasal dari pendapat beliau sendiri.
Kedua, konteks wahyu yang terdapat dalam surah An-Najm di atas hanya berkaitan dengan masalah-masalah tasyri‘, akidah, hukum-hukum, dan lain-lain, tetapi tidak berhubungan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan penetapan uslub, sarana, dan prasarananya. Benar, topik yang dibahas di dalam surah An-Najm tersebut bersifat umum, tetapi umum pada konteks pembahasannya dan tidak berlaku umum mencakup segala sesuatu.
Wahyu yang terdapat di dalam surah An-Najm di atas hanya berbicara pada konteks tasyri’, akidah, hukum, dan lain-lain. Konteks pembahasannya hanya berhubungan dengan masalah-masalah semacam ini. Oleh kerana itu, ayat di atas hanya berlaku umum pada konteks-konteks semacam ini (tasyri‘, akidah, hukum, dan lain-lain) dan tidak berlaku pada konteks yang lain, yakni penetapan uslub dan wasilah. Ini kerana yang mentakhsis keumuman ayat tersebut adalah konteks pembicaraannya. Sedangkan konteks pembicaraannya adalah masalah-masalah tasyri‘, akidah, hukum, dan lain-lain.
Benar, pengertian (al-‘ibrah) itu diambil dari umumnya lafaz, bukan diambil dari khususnya sebab (asbabunnuzul). Yang dimaksud sebab di sini adalah peristiwa-peristiwa yang melatarbelakangi turunnya Al-Quran. Sedangkan konteks ayat tersebut tidak hanya berhubungan dengan peristiwa yang melatarbelakanginya (sebab nuzulnya), tetapi berlaku umum untuk seluruh kejadian yang masih berada dalam konteks pembicaraannya dan tidak berlaku umum mencakup segala sesuatu. Adapun konteks pembahasan wahyu adalah memberikan peringatan, yakni menyampaikan tasyri‘ dan hukum-hukum.
*Bersambung ke bahagian 2/3
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taqlid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

