[Kaedah-Kaedah Taqlid] Memilih Pendapat yang Terkuat tentang Rasulullah Bukan Mujtahid (Bahagian 3/3)
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Adapun secara syarie, banyak ayat yang menunjukkan bahawa semua perkara yang bersumber dari Rasulullah SAW adalah wahyu. Allah SWT berfirman,
“Katakanlah (hai Muhammad), ‘Sesungguhnya aku hanya memberi peringatan kepada kamu sekalian dengan wahyu.’” (TMQ Al-Anbiya: 45).
“Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.” (TMQ Al-An’am: 50).
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemauan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (TMQ An-Najm: 3—4).
Secara aqli, beliau sering kali menunggu wahyu untuk menjawab kes-kes hukum yang mendesak untuk segera diselesaikan. Seandainya beliau boleh berijtihad, tentunya beliau tidak akan menunda untuk memutuskan suatu ketetapan hukum dan segera berijtihad. Akan tetapi, beliau SAW menunggu wahyu dari Allah SWT untuk memutuskan masalah-masalah tersebut.
Kenyataan ini menunjukkan bahawa beliau tidak berijtihad. Ini juga menunjukkan bahawa beliau tidak boleh berijtihad sebab jika beliau dibolehkan berijtihad, tentu beliau tidak akan menunda-nunda penentuan suatu hukum pada saat mendesak untuk segera diputuskan.
Selain itu, Nabi SAW adalah uswatun-hasanah (teladan yang baik) yang wajib diikuti. Jika beliau berijtihad, tentunya ini akan membuka peluang terjadinya kesalahan. Walaupun keputusannya salah, kita pun wajib mengikutinya. Akhirnya, perintah mengikuti kesalahan menjadi sebuah kelaziman, padahal ini jelas-jelas batilnya sebab Allah tidak mungkin memerintahkan kita untuk mengikuti yang salah.
Di sisi yang lain, Rasulullah SAW maksum dalam perkara tabligh risalah (penyampaian risalah). Beliau SAW tidak boleh salah dalam masalah tabligh risalah sebab kesalahan dalam hal tabligh risalah jelas-jelas bertentangan dengan sifat kenabian dan kerasulan. Keimanan kepada Nabi dan Rasul memutlakkan adanya pengakuan kemaksuman mereka dalam hal tabligh risalah. Oleh kerana itu, Nabi SAW mustahil terjatuh ke dalam kesalahan dalam perkara-perkara yang perlu beliau sampaikan untuk umat manusia dari Tuhannya.
Walhasil, Rasulullah SAW sama sekali tidak boleh berijtihad. Semua hal yang berkaitan dengan hukum yang beliau sampaikan, baik melalui ucapan, perbuatan, dan diamnya, adalah wahyu dari Allah SWT, bukan hasil ijtihadnya sendiri.
Tidak boleh dinyatakan bahawa Allah tidak akan membiarkan beliau SAW melakukan kesalahan dan Dia pasti akan segera menjelaskan dan membetulkan kesalahan tersebut. Ini kerana walaupun ijtihadnya salah, kaum muslim tetap diwajibkan untuk mengikuti dan melaksanakan “ijtihad yang salah itu” sampai ada penjelasan berikutnya dari Allah (SWT).
Penjelasan inilah yang akan menggantikan keputusan sebelumnya dan kaum muslim diperintahkan untuk mengikutinya dan meninggalkan pendapat yang pertama. Pendapat seperti ini jelas-jelas salahnya sebab Allah SWT tidak menyuruh manusia untuk mengikuti kesalahan, kemudian menyuruh mereka untuk meninggalkannya dan mengikuti yang benar.
Selain itu, Rasul juga tidak layak menyampaikan suatu hukum kepada kaum muslim, kemudian mengatakan, “Hukum ini salah kerana berasal dari pendapat saya sendiri dan yang benar adalah hukum yang berasal dari Allah SWT, yakni hukum ini.” Lalu beliau memerintahkan mereka agar meninggalkan hukum yang pertama kerana hukum tersebut salah dan kemudian baru menyampaikan kepada mereka hukum yang benar.
Tidak boleh juga dinyatakan bahawa perkara yang syarie tidak boleh didasarkan pada dalil aqli, tetapi perlu didasarkan pada argumentasi yang syarie juga. Sedangkan perkara akidah dalilnya mestilah aqli dan syarie. Tidak boleh dinyatakan seperti ini sebab masalah “apakah Nabi SAW seorang mujtahid atau bukan” termasuk perkara akidah, bukan termasuk perkara syariat. Sedangkan dalil akidah mestilah aqli dan syarie. Oleh kerana itu, masalah ini hendaklah didasarkan pada hujah aqliyah dan syar’iyyah.
Tidak boleh diterima juga pendapat yang mengatakan bahawa Rasul melakukan ijtihad dalam beberapa hukum, tetapi Allah belum mengakui dan menetapkan hasil ijtihad itu. Kemudian, Allah SWT membetulkan hasil ijtihad tersebut dan menurunkan ayat-ayat yang menjelaskan hukum yang sebenarnya.
Pendapat semacam ini tidak dapat diterima sebab Nabi SAW tidak berijtihad dalam perkara tabligh risalah atau perkara-perkara hukum secara mutlak. Akan tetapi, hukum-hukum itu selalu ditetapkan berdasarkan nash Al-Quran dan Sunnah yang telah sampai kepada beliau (SAW). Beliau tidak pernah menyampaikan masalah-masalah tasyri’, akidah, hukum-hukum, dan yang lain, kecuali berasal dari wahyu Allah (SWT). Apabila wahyu belum turun, beliau menunggu sampai turunnya wahyu.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taqlid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

