[Kaedah-Kaedah Taklid] Penjelasan terhadap Surah At-Taubah Ayat 43
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Sebahagian kaum muslim yang berpendapat bolehnya Rasulullah SAW melakukan ijtihad juga bersandar kepada firman Allah SWT,
“Semoga Allah memaafkanmu. Mengapa kamu memberi izin kepada mereka (untuk tidak pergi berperang) sebelum jelas bagimu orang-orang yang benar (dalam keuzurannya) dan sebelum kamu ketahui orang-orang yang berdusta?” (TMQ At-Taubah Ayat 43).
Ayat ini tidak menunjukkan adanya ijtihad, tetapi hanya menunjukkan ketidak-tepatan Rasulullah SAW dalam memilih perkara yang lebih utama (khilaf al-aula). Ini kerana ada ketentuan sebelumnya yang membolehkan Rasulullah SAW untuk memberikan izin kepada siapa saja yang dia kehendaki. Alasannya terdapat sebelum diturunkannya ayat ini, iaitu pada surah An-Nur ayat 62. Allah SWT berfirman,
“Apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka.” (TMQ An-Nur: 62).
Ayat ini diturunkan setelah surah Al-Hasyr mengenai Perang Khandaq. Sedangkan surah At-Taubah ayat 43, “Semoga Allah memaafkanmu.” (TMQ At-Taubah: 43) diturunkan mengenai perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Walhasil, hukum izin perang telah diketahui dan Rasulullah SAW di dalam surah An-Nur ayat 62 diperbolehkan untuk memberikan izin kepada siapa saja yang beliau kehendaki, termasuk izin terhadap orang munafik.
Hanya saja, di dalam fragmen surah At-Taubah tersebut terdapat kisah yang menuturkan keadaan kaum muslim menjelang Perang Tabuk. Perang ini adalah perang yang terjadi di tengah situasi yang sangat sulit dan genting bagi kaum muslim. Tindakan yang paling tepat untuk Rasulullah SAW pada saat itu adalah tidak memberikan izin kepada orang-orang munafik untuk tidak mengikuti perang.
Ketika beliau mengizinkan mereka, sama seperti semasa perang Tabuk, Allah SWT memberi teguran atas keputusan beliau SAW itu. Allah menegur Rasulullah kerana melakukan tindakan yang kurang tepat (khilaf al-aula). Ayat tersebut bukan pembetulan terhadap kesalahan ijtihad beliau atau penentuan tasyri‘ baru yang tidak sesuai dengan hukum pemberian izin. Akan tetapi, ayat ini hanyalah teguran berkaitan dengan khilaf al-aula.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

