Site icon MuslimahHTM News

[Kaedah-Kaedah Taklid] Penjelasan terhadap Surah At-Taubah Ayat 84

[Kaedah-Kaedah Taklid] Penjelasan terhadap Surah At-Taubah Ayat 84

Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat

 

Surah At-Taubah ayat 84 ini juga tidak berhubungan dengan bolehnya Rasulullah SAW melakukan ijtihad dalam perkara diniyah. Allah SWT berfirman,

 

“Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).” (TMQ At-Taubah: 84).

 

Sesungguhnya ayat ini diturunkan setelah firman Allah SWT,

 

“Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah: “Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.” (TMQ At-Taubah: 83).

 

Allah telah menjelaskan dalam ayat,

“ Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka…” (TMQ At-Taubah: 83).

 

agar beliau SAW tidak melibatkan mereka dalam peperangan. Ini ditujukan untuk menghina dan melecehkan mereka agar mereka tidak mendapatkan kemuliaan berjihad dan bepergian bersama Rasulullah (SAW). Setelah itu, segera dijelaskan larangan menyembahyangkan jenazah mereka,

 

“Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya…” (TMQ At-Taubah: 84).

 

Pada dasarnya ayat ini (At-Taubah ayat 84) hanya menjelaskan bentuk penghinaan dan serangan kepada orang-orang munafik agar keberadaan mereka terhakis. Ayat ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa Rasulullah SAW telah berijtihad untuk menetapkan sebuah hukum baru. Ayat ini hanyalah tasyri‘ yang berhubungan dengan orang-orang munafik dan bagaimana memperlakukan orang-orang munafik agar mereka mendapat kehinaan dan darjatnya turun lebih rendah daripada kaum muslim. Oleh kerana itu, ayat tersebut baik ditinjau dari sisi mantuq dan mafhum, sama sekali tidak menunjukkan adanya ijtihad Nabi SAW dan pembetulan atas kesalahan ijtihadnya. Akan tetapi, ayat ini sejiwa dengan ayat-ayat yang berhubungan dengan orang-orang munafik yang disebutkan berulang-ulang di dalam surah ini juga.

 

Adapun hadis-hadis yang menjelaskan sebab turunnya ayat tersebut tidak layak dijadikan sebagai dalil dalam masalah akidah sebab hadis-hadis tersebut diriwayatkan secara ahad. Sedangkan hadis ahad tidak layak digunakan dalil dalam perkara akidah. Selain itu, hadis-hadis itu memberi gambaran bahawa Umar mencegah Rasulullah daripada menyembahyangkan jenazah orang munafik, seolah-olah dia ingin menghalang beliau SAW daripada melakukan suatu perbuatan yang boleh melahirkan hukum syariat baru, atau dia hendak mencegah beliau SAW agar tidak mengerjakan suatu ibadah yang telah ditetapkan hukumnya sebelumnya, kemudian Rasulullah SAW berdiam diri, dan selanjutnya mengikuti pendapat Umar RA. setelah turunnya wahyu. Perkara semacam ini tidak boleh terjadi pada diri Rasulullah SAW. Matan hadis ini bertentangan dengan keberadaan Rasul sebagai Nabi. Oleh kerana itu, hadis tersebut mesti ditolak dari sisi dirayah (matannya).

 

Adapun hadis yang mengisahkan bahawa Rasulullah pernah memberikan bajunya kepada Abdullah bin Ubay pemuka orang-orang munafik yang ingin solat di atas kain tersebut, Allah SWT telah mengungkapkan aibnya setelah perang Bani Musthaliq hingga anaknya menghadap Rasulullah untuk meminta izin kepada beliau SAW, jika beliau SAW hendak membunuh Abdullah bin Ubay, biarlah dirinya yang akan melaksanakannya. Selanjutnya Allah SWT menurunkan surah Al-Munafiqun setelah perang Bani Mushtaliq,

 

“Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?” (TMQ Al-Munafiqun: 4).

 

Selanjutnya, Allah berfirman kepada beliau,

“Kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati.” (TMQ Al-Munafiqun: 3).

 

Lalu Allah SWT berfirman lagi,

“Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.” (TMQ Al-Munafiqun: 3).

 

Setelah itu, Rasulullah datang dan memberikan kainnya kepada pemimpin kaum munafik dan beliau hendak menyembahyangkan jenazah pemimpin kaum munafik itu, tetapi Umar mencegahnya.

 

Pengertian hadis ini bertentangan dengan banyak ayat. Ayat yang terdapat di dalam surah At-Taubah turun pada tahun ke-9 H, beberapa tahun setelah turunnya surah Al-Munafiqun. Kenyataan ini menunjukkan bahawa hadis-hadis Umar, hadis tentang kain, dan hadis-hadis lain yang berhubungan dengan kisah orang munafik tersebut bertentangan dengan realiti perlakuan kaum muslim terhadap orang-orang munafik setelah perang Bani Musthaliq. Selain itu, hadis-hadis tersebut juga bertentangan dengan ayat-ayat yang turun sebelumnya mengenai orang-orang munafik. Walhasil, hadis-hadis tersebut matannya perlu ditolak.

 

Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat

 

Exit mobile version