DUA MAKNA PENTING DI SEBALIK HIJRAH RASULULLAH SAW.
Oleh : KH. M. Shiddiq Al Jawi
Pengenalan
Umat Islam sentiasa menyambut Tahun Baru hijriyah pada bulan Muharam. Namun perlu diketahui bahawa hijrahnya Nabi SAW. sebenarnya bukanlah pada bulan Muharam, tetapi pada bulan Rabiul Awal, iaitu pada tahun ke-13 Bi’tsah (tahun diutuskan Nabi SAW).
Nabi SAW. memulakan hijrahnya pada malam Jumaat, iaitu malam ke-27 bulan Safar tahun ke-13 Bi’tsah, ketika beliau dan Abu Bakar Siddiq memulakan hijrah dengan bersembunyi di Gua Tsūr selama lebih kurang 3 hari. Tiga hari kemudian, iaitu pada hari Isnin, 1 Rabiul Awal, Nabi SAW dan Abu Bakar Siddiq keluar dari Gua Tsūr dan memulakan perjalanan hijrah ke Madinah. Mereka berdua tiba di Qubā pada hari Isnin, 8 Rabiul Awal, dan tinggal di Qubā selama kira-kira 3 hari. Pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal tahun ke-13 Bi’tsah, bersamaan dengan 27 September 622 M, barulah mereka berdua memasuki kota Madinah, yang ketika itu disebut Yathrib. (Ibnu Katsir, Al-Bidāyah wa Al-Nihāyah, Juz III, hlm. 218-241).
Mengenai mengapa tahun baru hijriyah disambut pada bulan Muharam, bukan bulan Rabiul Awal, maka itu adalah keputusan dari Khalifah Umar bin Khathab ra. pada tahun ke-17 hijriyah. Menurut Imam Jalaluddin As-Suyuthi dalam kitabnya Al-Syammārikh fî ‘ilmi Al-Tārīkh, diriwayatkan bahawa Abu Musa Al-‘Asy’ari menulis surat kepada Umar,” Surat-surat anda telah datang kepadaku yang tidak bertarikh, maka hendaklah anda menentukan kalendar (tarîkh).” Kemudian‘Umar bermusyawarah, sebahagian sahabat mencadangkan takwim Islam bermula dari tahun diutuskan Nabi SAW. Ada yang mencadangkan bermula dari tahun Nabi SAW. wafat. Umar berkata, “Tidak! Mulakan dari tahun hijrah Nabi SAW. kerana peristiwa itu adalah pemisah antara yang haq dan batil!” (Al-Mausû’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 42/178).
Dua Makna Penting dari Hijrah Rasulullah SAW.
Khalifah Umar menjadikan peristiwa hijrah Nabi SAW. sebagai permulaan kalendar Islam, kerana menurut Khalifah Umar, hijrah Nabi SAW., “membezakan yang haq dan batil.” (farraqa bayna al-haq wa al-bathil). (Al-Mausû’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 42/178).
Jika kita mendalami jauh kata-kata Umar, mengapa peristiwa hijrah Nabi SAW. itu dianggap sebagai pemisah atau pembeza antara yang haq dan batil oleh Khalifah Umar, sekurang-kurangnya ada dua sebab seperti berikut :
Pertama, kerana dengan hijrahnya Nabi SAW., jelas terbukti bahawa Islam itu mempunyai konsep kekuasaan atau kenegaraan. Mengapa demikian? Kerana ulama mendefinisikan hijrah sebagai berpindah atau keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam (al-intiqāl min dār al-kufri ilā dār al-islām). (Al-Mausû’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 42/177; Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, 2/267).
Sedangkan istilah Darul Islam, atau Khilafah, atau Imamah, merupakan tiga terminologi utama dalam fiqh klasik, yang menurut Syeikh Wahbah Az-Zuhaili, adalah sama atau sinonim dengan kata Al-Dawlah Al-Islamiyyah (Negara Islam/Islamic State) dalam bahasa Arab moden. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Juz IX (Al-Mustadrak), hlm. 823).
Syeikh Wahbah Az-Zuhaili berkata :
كانت الهجرة النبوية الى المدينة المنورة (يثرب) وما سبقها من بيعتي العقبة أساسا في نشأة أو تكوين الدولة الإسلامية أو دار الإسلام في اصطلاح فقهائنا…
“Hijrah Nabi SAW. ke Al-Madinah Al-Munawwarah (Yathrib) dan peristiwa sebelumnya, iaitu Baiat Aqabah Pertama dan Baiat Aqabah Kedua, merupakan asas dalam kelahiran atau pembentukan negara Islam (Al-Dawlah Al-Islamiyyah), atau Darul Islam, menurut istilah yang ada di kalangan fuqaha kami.” (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Juz IX (Al-Mustadrak), hlm. 823).
Akibatnya, peristiwa Hijrah Nabi SAW. ini memang sangat strategik dalam sejarah Islam, menurut istilah Syeikh Wahbah Az-Zuhaili, merupakan titik transformatif (nuqthah al-tahawwul) yang menandakan lahirnya negara Islam, yang tidak pernah diketahui sebelumnya dalam kalangan masyarakat Arab, diberi istilah Darul Islam oleh para fuqaha. Dalam Bahasa Arab moden, istilah Darul Islam ini lebih kurang sama dengan istilah Al-Daulah Al-Islamiyyah, yang bermaksud negara Islam. Perkataan Al-Daulah itu sendiri, hanya digunakan dalam pengertian “negara” moden sejak abad ke-16 Masihi. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Juz IX (Al-Mustadrak), hlm. 823).
Dengan demikian, peristiwa hijrah ini sangat strategik, kerana menjadi bukti yang jelas bahawa Islam mempunyai konsep kenegaraan, disebut dengan istilah Darul Islam oleh para fuqaha (ahli fiqh) klasik, sedangkan menurut para fuqaha dewasa ini, konsep kenegaraan disebut dengan istilah Al-Daulah Al-Islamiyyah (negara Islam).
Darul Islam akhirnya juga sinonim dengan dua istilah lain yang biasa ditemui dalam kitab-kitab fiqh Islam, iaitu Imamah dan Khilafah. Ini bahagian dari ajaran Islam yang bertugas melaksanakan Syariat Islam secara kaffah (menyeluruh) (QS Al-Baqarah : 208), sebagai peraturan yang terbaik bagi manusia (QS Al-Ma’idah : 50) yang akan menjadi rahmat bagi seluruh alam (QS Al-Anbiya: 21).
Dengan konsep kenegaraan yang ada pada Islam, bermakna Islam tidak sama dengan agama lain seperti Kristian dan Yahudi, yang tidak berkonsepkan kenegaraan mahupun politik. Kristian dan Yahudi serta agama lain hanyalah agama yang bersifat spiritual, tetapi tidak berkaitan dengan politik.
Kedua, kerana dengan hijrahnya Nabi SAW., dan setelah Nabi SAW. menjadi pemimpin di Madinah, jelas terbukti Nabi Muhammad mempunyai dua kedudukan (fungsi) sekaligus, iaitu fungsi kenabian/kerasulan dan fungsi kepimpinan.
Syeikh Abdul Qadim Zallum menjelaskan dua kedudukan Nabi Muhammad SAW. seperti berikut :
فَكَانَ يَتَوَلَّى مَنْصِبَ النُّبوَّةِ والرِّسالَةِ وَكَانَ فِي نَفْسِ الوَقْتِ يَتَوَلَّى مَنْصِبَ رِئاسَةِ المُسْلِمِينَ فِي إِقامَةِ أَحْكامِ الإِسْلامِ
”Nabi SAW. dahulu [setelah hijrah] memegang kedudukan kenabian dan kerasulan (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah), dan pada masa yang sama Nabi SAW. memegang kedudukan kepimpinan (manshib al-riâsah) bagi umat Islam untuk menegakkan hukum-hukum Islam.” (Abdul Qadim Zallum, Nizhâm Al-Hukm fî Al-Islâm, hlm. 116-117).
Kedudukan Nabi SAW. sebagai pemimpin umat ini (manshib al-riâsah) dibuktikan setelah beliau berhijrah ke Madinah dan kemudian memimpin umat Islam sebagai imam pertama yang mengatur segala aspek kehidupan berlandaskan Islam.
Kedudukan ini menambahkan lagi kedudukan yang telah ada sebelumnya, iaitu kedudukan sebagai nabi/rasul (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah) untuk menyampaikan wahyu Allah kepada manusia, yang direalisasikan sejak Nabi SAW. diangkat sebagai nabi atau rasul oleh Allah SAW. di Mekah, sebelum beliau berhijrah.
Maka, apabila Nabi SAW. wafat, kedudukan kenabian dan kerasulan (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah) terhenti, maka wahyu dan nabi tidak akan ada lagi. Namun kedudukan kepimpinan (manshib al-riâsah) sebagai ketua negara, tetap berterusan dan diteruskan oleh para khalifah.
Maka, apabila para khalifah menggantikan Nabi SAW., mereka hanya meneruskan kedudukan kedua Nabi SAW., iaitu kedudukan sebagai pemimpin, bukan meneruskan kedudukan pertama Nabi SAW. sebagai nabi untuk menerima wahyu, kerana wahyu tidak lagi turun. Dalam sebuah hadis sahih, Nabi SAW. bersabda :
كَانَتْ بَنُو إسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ، كُلَّما هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وإنَّه لا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ
”Dahulu Bani Israel dipimpin dan diuruskan segala urusan mereka oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, ia digantikan oleh nabi yang lain. Dan sesungguhnya tidak ada lagi nabi sesudahku, akan ada adalah para khalifah dan jumlah mereka akan banyak…” (HR. Muslim, no 1842).
Hadis Nabi SAW. jelas menunjukkan bahawa :
Pertama, tidak ada lagi nabi selepas Nabi SAW. wafat. Ini bermakna, kedudukan pertama bagi Nabi SAW., iaitu kedudukan kenabian dan kerasulan (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah) dengan mendapat wahyu langsung daripada Allah, telah berakhir dengan kewafatan Nabi SAW..
Kedua, akan ada khalifah-khalifah selepas kewafatan Nabi SAW.. Ini bererti, kedudukan kedua bagi Nabi SAW., iaitu kedudukan kepimpinan (manshib al-riâsah), tidak berakhir, malah diganti dan diteruskan oleh para khalifah selepas kewafatan Nabi SAW..
Para pemimpin umat penerus Nabi SAW. dalam fungsi kepimpinan (manshib al-riâsah) ini, digelar sebagai khalifah, manakala sistem pemerintahan atau negara disebut sebagai Khilafah. Inilah Khilafah, atau istilah lain Imamah, atau Darul Islam, iaitu ajaran asli dari Islam, yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. dan kemudian diteruskan oleh para khalifah iaitu Abu Bakar Siddiq, Umar, Uthman, Ali, sehingga Khalifah yang terakhir, iaitu Sultan Abdul Majid II, yang digulingkan secara paksa oleh Mustafa Kamal yang murtad pada 3 Mac 1924 di Turki.
Dengan dua kedudukan atau fungsi yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW. iaitu fungsi kenabian/kerasulan dan dalam masa yang sama fungsi kepimpinan, ini jelas sekali berbeza dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Isa as., Nabi Musa as., yang hanya terhad kepada kedudukan kenabian dan kerasulan (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah), tetapi tidak mempunyai kedudukan kepimpinan (manshib al-riâsah).
Penutup
Sebenarnya peristiwa hijrah Nabi SAW. ini mempunyai makna yang strategik, sehingga Khalifah Umar menjadikannya sebagai tonggak awal untuk kalendar hijriyah, iaitu kerana peristiwa hijrah ini memisahkan yang haq dan batil. Hal ini disebabkan sekurang-kurangnya dua sebab berikut:
Pertama, dengan hijrahnya Nabi SAW., jelas terbukti bahawa Islam itu mempunyai konsep kekuasaan atau kenegaraan.
Kedua, dengan hijrahnya Nabi SAW., jelas terbukti Nabi Muhammad SAW. mempunyai dua kedudukan (fungsi) sekaligus, iaitu fungsi kenabian/kerasulan (manshib al-nubuwwah wa al-risâlah) dan fungsi kepimpinan. (manshib al-riâsah).

