Site icon MuslimahHTM News

Dengan Nama Allah SWT

[Nafsiyah] Dengan Nama Allah SWT

Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kalimah ini menjadi pembuka Surah Al-Fatihah sekaligus seluruh surah di dalam Al-Quran, kecuali Surah At-Taubah.

Kalimah ini juga sering kali kita lafaz ketika memulakan apa pun juga aktiviti atau pekerjaan. Nabi SAW pernah bersabda,
كلُّ أمرٍ ذي بالٍ لا يُبدَأُ فيهِ ببسمِ اللهِ الرحمنِ الرحيم فهو أقْطَعُ
“Setiap perkara baik yang tidak dimulakan dengan mengingati Allah (zikrullah,) maka amalan tersebut akan terputus.” [HR Abu Dawud].

Maksudnya ialah amalan tersebut terputus dari keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. [Ash-Shan’ani, At-Tanwir Syarh Jami’ ash-Shaghir, 8/163].

Dalam hadis tersebut, Nabi SAW dengan tegas menyatakan, “Setiap amalan yang baik. …”, bukan amalan yang buruk, iaitu perbuatan yang dilarang atau dicela oleh Allah SWT dan RasulNya. Oleh itu, adalah ironis jika seorang muslim yang mengucapkan Basmalah ketika melakukan suatu dosa. Hal ini sering terjadi dan buktinya juga banyak. Sebagai contoh, kita sering melihat ketika seseorang itu hendak membuat pinjaman wang (riba) dengan bank, dia mengucapkan Basmalah. Begitu juga, ketika membuat pinjaman wang melalui pajakan, insuran, dan sebagainya yang ternyata jelas haram. Sudah tentu, dia memulakan perjanjian transaksi yang mengandungi dosa tersebut dengan mengucapkan Basmalah, hal ini tidak akan mengubah transaksi tersebut menjadi baik dan halal.

Demikian juga jika seseorang muslimah yang tidak menutup auratnya dan mengucapkan Basmalah sebelum pergi bekerja bertujuan untuk menambah pendapatan keluarga. Pendapatannya mungkin boleh menghasilkan pahala jika diniatkan sedekah untuk membantu suaminya. Namun, keluarnya dia dari rumah dengan menunjukkan aurat adalah satu bentuk maksiat kepada Allah SWT dan RasulNya yang telah memerintahkan dirinya untuk berhijab [lihat TMQ An-Nur (24): 31] dan berjilbab [lihat TMQ Al-Ahzab (33): 59]. Tindakan dosa dengan membuka aurat ketika bekerja itu tentu tidak akan mengubah menjadi baik meskipun ia dimulakan dengan ucapan Basmalah.

Sebaliknya, ketika kita memulakan sesuatu perbuatan dengan mengucapkan Basmalah, bererti kita melakukan perbuatan tersebut atas nama Allah SWT. Wajarkah perbuatan yang dinisbahkan atas nama Zat Yang Maha Baik itu adalah sesuatu yang sia-sia, teruk, bahkan mempunyai unsur dosa? Sudah tentu tidak. Jika itu yang kita lakukan, sebenarnya kita telah merendahkan dan menghinakan Allah SWT, Zat Yang Maha Baik yang hanya layak menerima sesuatu yang baik dari makhlukNya. Itulah yang disabdakan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW,

إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ اْلجَمَالَ
“Allah Maha Baik dan hanya menyukai kebaikan.” [HR Ahmad]

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
“Dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.” [TMQ Hud (11):88]

Exit mobile version