[Soal Jawab]
APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARI KETUJUH DALAM MELAKSANAKAN AKIKAH
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan hari ketujuh dalam melaksanakan akikah dan bagaimana cara mengiranya? Jika bayi yang lahir pada hari Selasa sebelum Zuhur sebagai contoh, adakah hari ketujuh hari Isnin atau Selasa pada minggu berikutnya?
Jawapan:
Para ulama bersepakat bahawa disunnahkan anak yang dilahirkan melakukan akikah pada hari ketujuh, walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang cara mengira hari yang ketujuh.
Imam Ibnu Qudamah menjelaskan kesepakatan ulama tersebut, iaitu pelaksanaan akikah adalah pada hari ketujuh:
قاَلَ ابْنُ قُداَمَةَ رَحِمَهُ اللهُ : قاَلَ أَصْحاَبُناَ : اَلسُّنَّةُ أَنْ تُذْبَحَ يَوْمَ السَّابِعِ… وَلاَ نَعْلَمُ خِلاَفاً بَيْنَ أَهْلِ الْعِلْمِ الْقاَئِلِيْنَ بِمَشْرُوْعِيَّتِهاَ فَي اسْتِحْباَبِ ذَبْحَهاَ يَوْمَ الساَّبِعِ
Imam Ibnu Qudamah –rahimahullāh- berkata, “Para sahabat kami (Ulama Hanabilah) berpendapat, ’Sunnah hukumnya disembelihkan (akikah) pada hari ketujuh… Dan kami tidak mengetahui terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama yang menyatakan keabsahan akikah, bahawa disunnahkan menyembelihnya adalah pada hari ketujuh.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughnī, 9/364).
Pelaksanaan sembelihan akikah pada hari ketujuh itu berdasarkan pada sabda Rasulullah SAW. :
كُلُّ غُلَامٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى ) رواه أبو داود (2455) وصححه الشيخ الألباني
“Setiap anak (yang dilahirkan) tergadai dengan akikahnya, disembelih untuknya pada hari ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberi nama.” (HR. Abu Dawud, nomor 2455, disahihkan oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani).
Namun, para ulama berbeza pendapat tentang cara menghitung hari yang ketujuh itu. Terdapat dua pendapat di kalangan ulama seperti berikut;
Pertama, pendapat jumhur ulama (mazhab Hanafi, Syafie, dan Hanbali), iaitu hari kelahiran dikira sebagai hari pertama, sehingga hari ketujuh adalah sehari sebelum hari kelahiran. Sebagai contoh, jika bayi dilahirkan pada hari Sabtu, maka hari ketujuh adalah hari Jumaat. Bayi yang lahir pada hari Khamis, maka hari ketujuh ialah pada hari Rabu. Begitulah seterusnya.
Kedua, pendapat mazhab Maliki, yang berpendapat bahawa hari kelahiran tidak dikira sebagai hari pertama, sehingga hari ketujuh adalah hari yang sama dengan hari kelahiran bayi. Contohnya, jika bayi dilahirkan pada hari Sabtu, maka hari ketujuh ialah hari Sabtu berikutnya. Jika bayi lahir pada hari Khamis, maka hari ketujuhnya ialah hari Khamis berikutnya. Begitulah seterusnya. (Lihat: Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, 8/411; Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 30/279; Syaikh Ibnu ‘Utsaimin, Al-Syarh Al-Mumti’, 7/493).
Pendapat yang rajih adalah pendapat jumhur ulama, sebagaimana pentarjihan Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab seperti berikut:
قَالَ النَّوَوِيُّ رَحِمَهُ اللهُ : وَهَلْ يُحْسَبُ يَوْمُ الْوِلَادَةِ مِنْ السَّبْعَةِ ؟ فِيْهِ وَجْهاَنِ أَصَحُّهُماَ يُحْسَبُ فَيُذْبَحُ فِي الساَّدِسِ مِماَّ بَعْدَهُ وَالثَّانِيُّ لاَ يُحْسَبُ فَيُذْبَحُ فِي السَّابِعِ مِماَّ بَعْدَهُ.
Imam Nawawi -rahimahullāh -berkata,”Adakah hari kelahiran dikira termasuk tujuh hari (iaitu dikira sebagai hari pertama)? Dalam masalah ini ada dua pendapat, (pertama) dan yang paling sahih di antara keduanya, hari kelahiran dikira (dalam tujuh hari), maka akikah itu disembelihkan pada hari keenam selepas hari kelahiran. Kedua, hari kelahiran tidak dikira, maka akikah disembelihkan pada hari ketujuh selepas hari kelahiran.” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, 8/411.)
Syaikh Ibnu ‘Utsaimin dalam kitabnya Al-Syarh Al-Mumti’ kemudian menjelaskan pendapat jumhur yang dirajihkan oleh Imam Nawawi seperti berikut:
يُسَنُّ أَنْ تُذْبَحَ فِي الْيَوْمِ السَّابِعِ ، فَإِذَا وُلِدَ يَوْمَ السَّبْتِ فَتُذْبَحُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ يَعْنِيْ قَبْلَ يَوْمِ الْوِلاَدَةِ بِيَوْمٍ ، هَذِهِ هِيَ الْقاَعِدَةُ ، وَإِذَا وُلِدَ يَوْمَ الْخَمِيْسِ فَهْيَ يَوْمُ اْلأَرِبِعاَءُ وَهَلَّمَ جَرًّا
“Disunnahkan menyembelih akikah pada hari ketujuh, maka jika bayi lahir hari pada Sabtu, akikah itu disembelih pada hari Jumaat, iaitu sehari sebelum hari kelahiran. Inilah kaedahnya. Dan jika bayi lahir pada hari Khamis, maka akikahnya pada hari Rabu, dan seterusnya.” (Syaikh Ibnu ‘Utsaimin, Al-Syarh Al-Mumti’, 7/493).
Kesimpulannya, jika bayi lahir hari Selasa sebelum Zuhur, hari ketujuhnya ialah hari Isnin, bukan hari Selasa minggu berikutnya. Demikian menurut pendapat jumhur yang lebih kuat (rājih) menurut pentarjihan Imam Nawawi, rahimahullāh. Wallāhu a’lam.
#HariKetujuhAkikah #SunnahAkikah #PendapatJumhurUlama
APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARI KETUJUH DALAM MELAKSANAKAN AKIKAH

