Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Kapitalisme sebagai Sebuah Ideologi (Bahagian 1/2)

[Ath-Thariq] Kapitalisme sebagai Sebuah Ideologi (Bahagian 1/2)
Penulis: Syekh Ahmad Athiyat

Kapitalisme ditegakkan atas asas pemisahan agama dari kehidupan (fashl al-din ’an al-hayat) dan idea inilah yang menjadi asas pemikirannya. Berlandaskan asas ini, maka manusialah yang menentukan sistem (al-nizham) yang akan mengatur kehidupannya dan hal itu dapat dilihat secara nyata. Sesungguhnya keselarasan antara asas tersebut (qaidah fikriyyah atau akidah) dengan sistem yang terpancar dari asasnya, kelihatan begitu jelas.

Asas kapitalisme menetapkan bahawa Pencipta (Al-Khaliq) itu tidak memiliki kaitan apa pun dengan apa yang diciptakannya (al-makhluk), baik itu alam semesta, manusia, ataupun kehidupan sehingga yang memiliki hak dalam menetapkan nizham (sistem atau aturan hidup) adalah manusia itu sendiri. Oleh sebab itu, menurut kapitalisme, manusia dengan akalnya yang layak untuk mengaitkan dan menciptakan sesuatu (al-aql al-shalih li al-rabth wa al-ibda’) menjadi satu- satunya makhluk yang memiliki kemampuan untuk menetapkan sistem yang akan mengatur kehidupannya.

Dari titik tolak ini, maka lahirlah idea empat kebebasan, yakni: kebebasan berpendapat (huriyat al-ra’yi) disebut juga dengan kebebasan berpolitik (al-huriyat al-siyasiyah) yang memberikan hak kepada setiap manusia untuk mengajukan pendapat, terlibat dalam menentukan kehidupan umum bagi umat, meletakkan seluruh batasannya, menetapkan undang-undangnya, dan menentukan pemerintahan yang akan mengatur kehidupannya.

Seterusnya kebebasan kepemilikan (huriyat al-tamalluk) atau kebebasan berekonomi (al-huriyat al-iqtishadiyah) yang berpusat pada keyakinan bahawa setiap individu memiliki kebebasan untuk memiliki segala yang diinginkannya dengan jumlah dan tata cara (kaifiyah) yang sesuai dengan kehendaknya pula. Adapun yang dibebankan pada negara hanyalah agar negara membuka setiap lahan ekonomi bagi setiap individu sehingga memungkinkan individu untuk memiliki hak kepemilikan, baik yang berkaitan dengan kegiatan konsumsi ataupun produksi, dan hal ini tegak di atas kepentingan peribadi.

Seterusnya kebebasan dalam berakidah atau kebebasan berfikir (al-huriyah al- fikriyah), dimana idea ini memberikan hak pada manusia dalam memilih akidah dan pemikiran yang diinginkannya, dan hak untuk meninggalkan dan melepaskannya bila masa saja yang dia mahu, serta hak untuk mempertahankan akidah dan pemikiran itu serta mempropagandakannya tanpa halangan.

Seterusnya kebebasan berkeperibadian (al-huriyah al-syakhsiyah) yang mana ia memberikan kebebasan kepada manusia untuk berperilaku secara khas dan mencegah segala sesuatu yang dapat menghalang kebebasan tersebut. Seorang manusia boleh melakukan apa yang diinginkannya sendiri. Tidak menjadi kesalahan baginya bila dia menentukan corak kehidupan yang dia sukai dan mengikuti atau menolak tradisi, adat-istiadat, serta nilai yang diinginkannya kerana ianya menjadi hak peribadinya (privasi) sendiri.

Kebebasan kepemilikan atau kebebasan berekonomi yang membolehkan manusia untuk memiliki apa pun dengan jumlah dan cara yang dia inginkan, telah membawa pada timbulnya kelompok pemilik modal yang besar. Kelompok ini diberi nama “kapitalis” atau para pemilik modal (capital) dan merekalah sebenarnya yang menjalankan sistem aturan di Barat. Oleh kerana itulah, pemikiran ini—memisahkan agama dari kehidupan—diberi nama kapitalisme, yakni menetapkan istilah atas sesuatu dengan apa yang paling menonjol dalam sesuatu itu.

Adapun demokrasi yang memberikan hak pada bangsa untuk memilih sistem yang akan diterapkan dan menolak sistem yang tidak diinginkan serta hak untuk menggaji penguasa untuk menerapkan sistem yang telah dipilih oleh umat, sesungguhnya idea ini lahir dari akidah ideologi tersebut yakni memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme) dan idea ini kelihatan dengan jelas dalam kebebasan berpendapat.

Walaupun demokrasi lahir dari asas ideologi (asas al-mabda) tersebut dan menjadi bahagian mendasar dari sistemnya, bahkan menjadi model utama sistem ideologi ini, tetapi ia tidak menjadi sesuatu yang paling menonjol bahkan tidak lebih menonjol dari sistem ekonomi ideologi kapitalisme. Dengan dasar kuatnya pengaruh sistem ekonomi atas sistem pemerintahan di Barat sebagaimana dapat diamati dalam pemilihan presiden Amerika, iaitu begitu jelas kelihatan kuatnya pengaruh para pemilik modal (capital) seperti perusahaan besar General Electric, General Motors, dan sebagainya terhadap hasil akhir pemilihan ketuan negara dan anggota majlisnya. Seolah-olah para pemilik modal itulah yang menjadi penguasa sebenarnya di negara tersebut.

Kemudian demokrasi itu sendiri sebenarnya tidaklah menjadi monopoli Barat, walaupun Barat mendakwanya, Rusia mendakwanya, negara-negara dunia ketiga juga mendakwanya, dan semuanya mendakwa bahawa demokrasi menjadi monopoli Barat. Oleh sebab itulah, demokrasi ini tidak menjadi konsep yang paling menonjol dalam ideologi sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Lebih tepat ialah ideologi ini disebut dengan ideologi kapitalisme, bukannya ideologi demokrasi.

Sumber: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

Bersambung ke bahagian 2/2

Exit mobile version