[Pemikiran Politik Islam] Politik (Bahagian 1)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Politik atau siyasah bermakna mengatur urusan umat, baik di dalam negeri mahupun di luar negeri. Aktiviti politik dilaksanakan, baik oleh negara (pemerintah) mahupun umat. Pemerintah adalah institusi yang mengatur urusan tersebut secara praktis, sedangkan umat melakukan pembetulan (muhasabah) terhadap pemerintah dalam melakukan tugasnya.
Definisi istilah politik sebagaimana tersebut di atas dapat difahami oleh semua orang kerana menggambarkan realiti aktiviti politik. Mendefinisikan istilah politik ini mirip dengan mendefinisikan istilah akal, kejujuran, kekuasaan, dan sebagainya, iaitu dengan menggambarkan realiti umum yang difahami semua orang.
Dengan demikian, masing-masing istilah tersebut mempunyai makna tunggal. Namun, masing-masing kelompok manusia mempunyai aturan dan hukum-hukum yang berbeza dalam sistem politik mereka. Lebih lanjut, secara bahasa (lughawiyy), politik (siyasah) berasal dari kata sasa-yasusu-siyasah yang bererti mengurus kepentingan seseorang.
Pengarang Kamus Al-Muhith mengatakan bahawa, sustu ar-ra’iyyata siyasatan bererti saya memerintah dan melarangnya. Definisi ini juga dapat diambil dari hadis-hadis yang menunjukkan aktiviti penguasa, kewajipan untuk mengangkatnya, serta erti penting mengurus kepentingan kaum muslim.
Rasulullah saw. bersabda, “Siapa saja hamba yang ditetapkan Allah (dalam kedudukan) mengurus kepentingan umat, dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka (umat), dia tidak akan mencium baunya syurga.” (HR Imam Al-Bukhari dari Ma’qil bin Yasar ra.).
Rasulullah saw. juga bersabda, “Siapa saja yang memimpin kaum muslim lalu dia mati, sedangkan dia menipu mereka (umat), maka Allah akan mengharamkannya masuk ke dalam syurga.” (HR Imam Al-Bukhari dari Ma’qil bin Yasar ra. dan lafaz ini terdapat dalam riwayat Al-Bukhari).
“Akan ada para amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengetahui perbuatannya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa saja yang mengetahui perbuatannya (lalu membencinya), maka dia terlepas (dari dosa). Dan siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat. Akan tetapi siapa saja yang rela (perbuatannya bertentangan dengan hukum syariat) dan mengikutinya, (maka dia telah berdosa).”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami tidak boleh memerangi mereka dengan pedang?” Beliau saw. menjawab, “Tidak, selama mereka solat (memerintah dengan hukum-hukum Islam).” (HR Muslim dari Ummu Salamah ra.).
“Barang siapa bangun pada pagi hari dan perhatiannya kepada selain Allah, maka dia tidak berurusan dengan Allah. Dan barang siapa yang bangun dan tidak memperhatikan urusan kaum muslim, maka dia tidak termasuk golongan mereka (kaum muslim).” (HR Al-Hakim dan Al-Khatib dari Hudzaifah ra.).
Jarir Ibnu Abdullah ra. berkata, “Aku berbaiat kepada Rasulullah untuk menegakkan solat, menunaikan zakat, dan menasihati setiap muslim.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Jarir Ibnu Abdullah juga berkata, “Aku mendatangi Nabi saw., lalu aku berkata, ‘Aku berbaiat kepadamu dalam Islam.’ Kemudian Rasulullah mensyaratkan kepadaku untuk menasihati setiap muslim.” (HR Al-Bukhari).
Hadis-hadis di atas, baik yang berkenaan dengan penguasa dan kedudukannya, pembetulan (muhasabah) umat pada penguasa, atau hubungan antara sesama kaum muslim dalam mengurus kepentingan mereka, lalu saling menasihati. Semuanya itu menunjukkan makna politik, yakni mengurus kepentingan umat.
Jadi, definisi istilah politik tersebut merupakan definisi yang berasal dari dalil-dalil syariat, yakni untuk mengurus kepentingan umat secara praktis. Syariat memberikan tanggungjawab itu hanya kepada penguasa. Warga negara, baik secara sendiri-sendiri mahupun berkelompok, tidak diperkenankan melakukan tugas-tugas tersebut, kecuali mereka memang diangkat untuk itu.
Pengangkatan tersebut dapat dilakukan dengan pemberian baiat oleh umat sebagaimana halnya dengan pengangkatan Khalifah. Pengangkatan juga dapat dilakukan oleh Khalifah atau institusi lain yang diberi kekuasaan oleh Khalifah untuk melakukan pengangkatan, misalnya pengangkatan pembantu-pembantu Khalifah dan gabenor-gabenor wilayah (waliyy).
Siapa pun yang tidak diangkat dengan baiat dari umat atau diangkat Khalifah, tidak diperbolehkan mengurus kepentingan umat, baik kepentingan dalam negeri atau pun luar negeri.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.
[Pemikiran Politik Islam] Politik (Bahagian 1)

