Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Politik (Bahagian 3)

[Pemikiran Politik Islam] Politik (Bahagian 3)

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Para ulama usul fikih menyatakan bahawa setiap manusia berakal yang dapat memahami seruan (khitab) diseru untuk mengikuti hukum Allah Swt., baik muslim mahupun non-muslim. Imam Al-Ghazali menyatakan dalam bukunya Al-Mustashfa fi al-Ushul, “Orang yang diseru adalah orang yang menerima beban hukum (mukalaf). Dia mestilah orang berakal yang dapat memahami seruan.”

 

Jadi, kualifikasi orang yang dituju oleh seruan itu adalah manusia dewasa yang mempunyai kemampuan memahami taklif (beban hukum). Oleh kerana itu, Islam menyeru seluruh umat manusia dengan seruan dakwah dan taklif. Seruan dakwah bererti menyerukan kepada seluruh manusia untuk memeluk Islam. Taklif bererti mewajibkan manusia beraktiviti sesuai dengan hukum Islam.

 

Islam mengatur seluruh umatnya dalam satu kesatuan umat, tanpa memandang latar belakang ras dan kesukuan, kecuali sebagai warga negara yang menampakkan kesetiaan kepada negara dan undang-undangnya. Di dalam Islam tidak dikenal golongan minoriti.

 

Semua manusia, tanpa melihat berbagai pertimbangan lain, adalah tanggungan Negara Islam selama mereka menjadi warga Negara Islam. Oleh sebab itu, politik dalam negeri Negara Islam adalah menerapkan syariat Islam kepada seluruh warga Negara Islam, baik muslim mahupun non-muslim.

 

Kebijakan luar negeri Negara Islam mengatur hubungan Negara Islam dengan negara, umat, dan bangsa lain. Hubungan tersebut bertujuan mengurus kepentingan eksternal umat. Kebijakan luar negeri ini berpedoman pada idea yang tetap dan tidak akan berubah, yakni menyebarluaskan Islam ke seluruh dunia, ke berbagai bangsa, dan ke seluruh umat manusia.

 

Pedoman ini tidak berubah meskipun terjadi pergantian penguasa dari masa ke masa. Dasar politik luar negeri ini tidak berubah sepanjang sejarah Negara Islam. Sejak masa Rasulullah saw. mendirikan Negara Islam di Madinah sehinggalah masa Daulah ‘Uthmaniyyah berakhir.

 

Sejak Rasulullah saw. mendirikan negara di Madinah, beliau menjalin hubungan dengan negara-negara lain yang bertujuan menyebarluaskan Islam. Beliau mengadakan perjanjian dengan kaum Yahudi agar dapat menyiarkan dakwah di Hijaz. Kemudian, beliau membuat Perjanjian Hudaibiyyah dengan masyarakat Quraisy agar dapat mendakwahkan Islam di Jazirah Arab.

 

 

Beliau saw. juga mengadakan surat-menyurat (koresponden) dengan negara-negara di luar Jazirah Arab untuk melakukan hubungan yang berpijak pada penyebarluasan Islam dengan menyeru mereka untuk memeluk Islam.

 

Para Khalifah berikutnya juga menjalin hubungan dengan negara dan bangsa lain untuk menyebarluaskan Islam dan melanjutkan syiar dakwah Islam ke seluruh dunia. Dengan demikian, keberadaan Negara Islam tidak lain adalah untuk menerapkan hukum Islam secara internal dan mensyiarkan dakwah Islam secara eksternal ke seluruh dunia.

 

Dalil penyebarluasan Islam sebagai dasar hubungan luar negeri adalah kenyataan bahawa Rasulullah Muhammad saw. diutus untuk seluruh umat manusia. Allah Swt. berfirman, “Dan Kami tidak mengutusmu melainkan kepada umat manusia seluruhnya.” (TMQ Saba’: 28).

 

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu peringatan dari Tuhanmu.” (TMQ Yunus: 57).

 

“Katakanlah, hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua.” (TMQ Al-A’raf: 158).

 

“Dan Al-Quran ini diwahyukan kepadaku supaya dengannya aku memberi peringatan kepada kalian dan kepada orang-orang yang sampai Al-Quran ini (kepada mereka).” (TMQ Al-An’am: 19).

 

Rasulullah saw. menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia. Setelah beliau wafat, syiar dakwah dilanjutkan oleh kaum muslim. Dengan demikian, syiar dakwah Islam ke seluruh dunia merupakan kesinambungan perjuangan para nabi.

 

Itulah sebabnya, syiar dakwah Islam ke seluruh dunia merupakan pemikiran dasar hubungan Negara Islam dengan negara dan bangsa lain. Ini merupakan hukum syariat yang ditetapkan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran, sunnah Rasul, dan ijmak sahabat. Oleh kerana itu, politik luar negeri Negara Islam adalah menyampaikan dakwah ke seluruh dunia.

 

Negara Islam menerapkan politik luar negerinya tersebut melalui metode tertentu yang tidak dapat berubah, iaitu jihad. Metode ini tidak akan berubah, meskipun para penguasa Negara Islam berganti dari waktu ke waktu. Metode ini tidak berubah sejak Rasulullah saw. menetap di Madinah sampai Khilafah terakhir dihancurkan.

 

[Bersambung ke bahagian 4/6]

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version