Site icon MuslimahHTM News

Meneladani Kesabaran Para Pejuang Islam

[Nafsiyah] Meneladani Kesabaran Para Pejuang Islam

Penulis :Irfan Rhamdan W, M.Pd.I.

 

Palestin berduka. Kaum Muslim Gaza didera dengan penderitaan. Namun, kita mendapati mereka beriman dan bersabar menghadapi rasa duka. Sementara itu, dunia di bawah asuhan jahat Kapitalisme global mengabaikan mereka. Tidaklah kesabaran itu begitu teguh pada mereka melainkan kerana keimanan yang mengkristal dalam dada. Rasulullah SAW bersabda:

 

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَه كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْراً لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَه

”Sangat menakjubkan urusan orang beriman. Seluruh urusannya baik. Hal itu tak akan terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapatkan kesenangan, dia bersyukur. Itu adalah kebaikan bagi dirinya. Jika ditimpa kesulitan, dia bersabar. Itu pun merupakan kebaikan bagi dirinya” [HR Muslim dan ath-Thabarani].

 

Keteguhan kaum Muslim Palestin juga menjadi bualan satu dunia, bahkan disambut dengan keislaman segolongan manusia. Bagaimana tidak?! Bermula dari anak-anak remaja hingga orang dewasa dan warga tua sudah terbiasa membasahi lisannya dengan berzikir mengingatiNya dan melantunkan ayat-ayat suci al-Quran yang mulia, yang mengundang keberkahan, dan memenuhi perintah dalam ayatNya:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ  ١٥٣

”Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong kalian. Sungguh Allah beserta kaum yang sabar” [TMQ Al-Baqarah (2): 153].

 

Allah SWT memulakan ayat ini dengan seruan kepada kaum Mukmin. Ini disebabkan oleh keimanan pada hakikatnya menjadi landasan atas kesabaran. Syeikh ‘Atha bin Khalil Abu ar-Rasytah, ketika menafsirkan ayat ini, menjelaskan bahawa kesabaran itu tergambar dalam usaha menyampaikan dan mengamalkan kebenaran, mampu menghadapi ujian di jalan Allah dan berjaya menjalani itu semua berdasarkan tuntutan Allah dan RasulNya. Tidak ada penyimpangan dan sikap lemah menghadapi itu semua [lihat pula: TMQ Al-Baqarah (2): 249; TMQ Al-Anfal (8):  46]. Selalu berpegang teguh kepada Islam dalam menghadapi dan menangani kejahatan musuh merupakan gambaran dari kesabaran. Betapa mulianya golongan ini. Rasulullah SAW bersabda:

 

وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ

”Tidaklah seseorang dianugerahi (oleh Allah) sesuatu yang lebih baik dan luas (kebaikannya) daripada kesabaran” [HR Muttafaqun ’alaih].

 

Bagaimana tidak? Kesabaran itu mencakup: (1) Kesabaran dalam menegakkan ketaatan; (2) Kesabaran dalam menahan diri dari keburukan; (3) Kesabaran dalam menghadapi ujian dari Allah.

 

Dengan demikian kesabaran menuntut kepada kebaikan dalam setiap situasi. Relevannya ketika Allah menegaskan DiriNya sentiasa bersama dengan orang-orang  yang sabar (Innallâha ma’a assâbirîn). Benarlah ungkapan:

 

لَوْلَا حَوَادِثَ الأَيام لَمْ يُعْرَفْ *

صَبرُ الكِرَامِ وَلَا جَرْعَ اللِّئَامِ

”Andai tiada ragam bencana hari-hari,

tak akan diketahui kesabaran orang-orang terpuji,

tidak pula kegundahan orang-orang yang tercela.”

 

Contohi Keteladanan Para Pejuang

 

Kesabaran umat ini pun telah ditunjukkan oleh generasi terbaik umat ini. Allah SWT menggambarkan dalam firmanNya:

 

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيّٖ قَٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٞ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ  ١٤٦

”Berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai kaum yang sabar” [TMQ Ali ’Imran (3): 146].

 

Al-’Allamah asy-Syeikh Muhammad Ali ash-Shabuni dalam Shafwat at-Tafâsîr (hlm. 212) menjelaskan: Ertinya, betapa banyak para nabi yang berjihad meninggikan kalimat Allah. Lalu para ulama rabbani dan ahli ibadah yang soleh berjuang  sentiasa bersama dengan para nabi ini. Kemudian di antara mereka menemui kematian yang dinantikan (syahid). Namun, kematian yang menimpa dan luka-luka tidaklah mengurangkan semangat mereka, melemahkan tekad di dada, membuat mereka tunduk dan melemah di hadapan musuh hingga meraih predikat wallâhu yuhibbu ash-shâbirûn (Allah mencintai hamba-hambaNya yang bersabar).

 

Itu semua tertulis dalam lembaran sîrah Nabiyullaah al-Mustafa Muhammad SAW dan para Sahabat baginda ketika menghadapi penganiyaan kaum kafir Quraisy:

ٱلَّذِينَ قَالَ لَهُمُ ٱلنَّاسُ إِنَّ ٱلنَّاسَ قَدۡ جَمَعُواْ لَكُمۡ فَٱخۡشَوۡهُمۡ فَزَادَهُمۡ إِيمَٰنٗا وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَكِيلُ  ١٧٣

”(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang ketika ada orang-orang mengatakan kepada mereka, “Sungguh orang-orang (Quraisy) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kalian. Kerana itu, takutlah kalian kepada mereka.” Ternyata (ucapan) itu menambahkan (kuat) keimanan mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi Penolong) bagi kami dan Dia adalah Sebaik-baik Pelindung.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 173].

 

Ramadhan bahkan menjadi salah satu momentum terbaik yang mencatat perjuangan agung mereka. Perang besar Badar al-Kubra’ terjadi pada 17 Ramadhan. Peristiwa agung penaklukkan Kota Mekah dari Quraisy (Fath Mekah) juga terjadi pada  bulan Ramadhan. Tentu kerana mereka menyedari bahawa Ramadhan penuh dengan keutamaan dan berjuang di di medan perjuangan semasa bulan Ramadhan adalah sebaik-baik keadaan. Abu Hurairah RA berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

مَوْقِفُ سَاعةٍ فِي سَبِيْلِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ قِيَامِ لَيْلَةِ الْقَدْرِ عِنْدَ الحَجَرِ اْلأَسْوَدِ

”Kedudukan satu jam di jalan Allah lebih baik daripada menghidupkan Lailatul Qadar di sisi Hajar Aswad ”[HR Ibn Hibban dan al-Baihaqi].

 

Ketika mereka menemui kematian di jalan Islam, itu juga kelak menjadi kebaikan bagi seorang Mukmin. Ini kerana didapati limpahan rahmatNya atas golongan yang Allah firmankan:

 

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ طُوبَىٰ لَهُمۡ وَحُسۡنُ مَآبٖ  ٢٩

”Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik” [TMQ Ar-Ra’d (13): 28-29].

 

Kebaikan juga melingkupi kaum Mukmin pada akhir zaman. Mereka tidak pernah bertemu Rasulullah SAW, namun mengimani baginda SAW, mendakwahkan dan membela risalah baginda dari pelbagai penyimpangan. Dari Abu Said al-Khudri RA bahawa seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, apakah thûbâ (kebaikan) bagi orang yang menemui dirimu dan beriman kepadamu?” Rasulullah SAW bersabda:

 

طُوبَى لِمَنْ رَآنِي وَآمَنَ بِي وَطُوبَى، ثُمَّ طُوبَى لِمَنْ آمَنَ بِي وَلَمْ يَرَنِي

”Kebaikan bagi orang yang menemui diriku dan beriman kepadaku, dan kebaikan (bagi dia). Kemudian kebaikan juga bagi orang yang beriman kepadaku meskipun dia tidak pernah menemui diriku” [HR Ibn Hibban].

 

Lafaz thûbâ yang diulang sebanyak dua kali bagi orang yang tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW, namun mengimani baginda, merupakan penegasan (tawkîd) atas keutamaannya. Syeikh Ahmad al-Maraghi (w. 1371 H) dalam Tafsîr al-Marâghî (XIII/101) berkata, “Iaitu mereka yang beriman dan beramal soleh. Bagi mereka kebahagiaan dan penyejuk mata di sisi Rabb mereka dan baiknya tempat pulang dan kembali mereka. Di dalam ayat ini terdapat dorongan untuk mentaati Allah serta peringatan atas bermaksiat dan besarnya siksaanNya, apa-apa yang tidak ada kesamaran di dalamnya.”

 

Ketika dia kembali kepada Allah sebagai jiwa-jiwa yang tenang (an-nafs al-muthma’innah) [lihat: TMQ Al-Fajr (89): 27-28], maka dia mendapati keredhaanNya, dianugerahi jannahNya. Ketika itulah seorang Muslim mendapatkan masa rehatnya. Ibn Abi Ya’la (w. 526 H) dalam Thabaqât al-Hanâbilal (I/293) menukilkan kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241 H) yang ditanya oleh seseorang. “Bilakah seorang hamba boleh beristirehat, wahai Imam?” Imam Ahmad menjawab:

عِنْدَ أَوَّلِ قَدَمٍ يَضَعُهَا فِي اْلجَنَّةِ

”Ketika dia pertama kali melangkahkan kakinya di syurgaNya.”

 

Wallaahu a’lam. 

 

Exit mobile version