Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 1/5)

[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 1/5)

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Untuk memahami realiti politik dan cara tindakan politik ini dilakukan dari sudut pandang antarabangsa, seseorang hendaklah memiliki pemahaman mengenai norma-norma dan undang-undang antarabangsa. Norma-norma antarabangsa mempunyai umur yang sama tuanya dengan umur negara dan bangsa-bangsa di dunia.

 

Norma antarabangsa merupakan sejumlah peraturan yang dihasilkan dari hubungan antara manusia di dunia pada masa perang mahupun damai. Ini sebagai akibat kepatuhan sejumlah komuniti dalam jangka waktu yang lama. Kemudian peraturan-peraturan ini berubah menjadi norma-norma antarabangsa.

 

Peraturan ini menjadi permanen di kalangan negara-negara di dunia sehingga mereka secara sukarela berkomitmen untuk menerapkan dan mematuhinya seperti layaknya undang-undang. Komitmen bangsa-bangsa ini bersifat moral, bukan material. Kelompok-kelompok manusia yang mentaatinya secara sukarela tidak akan khuatir terhadap opini umum (pandangan awam). Dengan demikian, siapa pun yang tidak mematuhinya akan ditolak oleh opini umum.

 

Salah satu contoh norma antarabangsa adalah ketentuan untuk tidak berperang pada bulan-bulan suci. Ketentuan ini terdapat di kalangan bangsa-bangsa Arab sebelum kedatangan Islam. Berdasarkan norma tersebut, bangsa Quraisy melakukan protes kepada Rasulullah SAW berhubungan dengan serangan kelompok ‘Abdullah ibnu Jahsy ra. terhadap kafilah dagang Quraisy. Serangan ini mengakibatkan kematian ‘Amru ibnu Al-Hadhrami, ditawannya dua orang Quraisy, dan dirampasnya kenderaan dagang mereka.

 

Bangsa Quraisy kemudian melancarkan propaganda bahawa Rasulullah SAW dan para sahabatnya telah melanggar kehormatan bulan suci, menumpahkan darah, merampas harta mereka, dan memenjarakan para tawanan. Bangsa Quraisy melakukan hasutan mempengaruhi pandangan awam terhadap Rasulullah SAW kerana menganggap beliau melanggar norma-norma antarabangsa.

 

Dalam berbagai kalangan komuniti, terdapat sejumlah peraturan yang dikenal dan dipatuhi pada masa perang mahupun damai, di antaranya mengenai utusan atau duta besar dan harta rampas perang. Beberapa norma berlaku umum dan dipatuhi oleh seluruh komuniti manusia.

 

Norma-norma yang lain hanya berlaku secara eksklusif pada beberapa komuniti. Norma-norma ini muncul dan berkembang sesuai keperluan negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia. Juga sesuai keperluan mereka dalam menjalin hubungan dengan komuniti lain.

 

Perilaku masyarakat dunia dinilai dari kepatuhan mereka terhadap norma-norma antarabangsa ini. Sebaliknya, menjadi cemuhan bagi mereka yang melanggar norma-norma tersebut. Negara-negara mematuhi norma-norma tersebut secara sukarela dan tanpa alasan lain, kecuali bahawa hal ini merupakan suatu kewajipan moral.

 

Tidak ada kekuatan untuk memaksakan pelaksanaan norma tersebut. Berdasarkan norma-norma tersebut, aktiviti-aktiviti politik dilakukan oleh berbagai komuniti di dunia. Sementara itu, undang-undang antarabangsa dibuat untuk melawan kekuatan Islam yang diwakili oleh Daulah ‘Uthmâniyyah (Ottoman).

 

Daulah ‘Uthmâniyyah, sebagai Negara Islam, berperang melawan Eropah dan menyerukan jihad melawan kaum Kristian Eropah. Hasilnya adalah penaklukan satu demi satu wilayah Eropah, mulai dari Yunani, Rumania, Albania, Yugoslavia, Hungary, Austria, sampai terhenti di gerbang kota Vienna.

 

Pasukan muslim menebarkan rasa takut di tengah kaum Kristian Eropah. Akibatnya tertanam dalam benak kaum Kristian bahawa pasukan muslim merupakan kekuatan yang tidak terkalahkan. Pasukan ini berani mati kerana yakin bahawa mereka akan masuk syurga apabila mati ketika berjihad. Mereka yakin terhadap ketentuan Allah (qadar). Mereka juga yakin memiliki rentang waktu sebelum ajal.

 

Kaum Kristian telah menyaksikan keberanian dan keperkasaan kaum muslim hingga menyebabkan mereka kabur ketakutan. Hal ini memudahkan kaum muslim menaklukkan wilayah mereka dan menundukkan mereka ke dalam pemerintahan Islam.

 

Akhirnya, kaum Kristian Eropah terpecah-pecah menjadi beberapa negara. Setiap negara terbahagi menjadi sejumlah wilayah yang masing-masing diperintah oleh seorang bangsawan feudal yang berbagi kekuasaan dengan raja. Pembahagian kekuasaan ini menyukarkan para raja memerintahkan para bangsawan feudal ini untuk berperang, melindungi wilayah kerajaan dari para penakluk, serta mewakili mereka dalam urusan luar negeri.

 

Hal ini sebaliknya memudahkan kaum muslim dalam melawan dan menaklukkan mereka. Negara-negara Eropah tetap dalam keadaan bercerai-berai sampai abad pertengahan, iaitu sampai akhir abad ke-16. Sepanjang abad ke-16, negara-negara Eropah mula menjalin persatuan sebagai satu keluarga sehingga akhirnya mampu berhadapan dengan kekuatan Negara Islam.

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version