Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Islam dan Al-Quran (Bahagian 4/4)

[Ath-Thariq] Islam dan Al-Quran (Bahagian 4/4)

Penulis: Syekh Ahmad Athiyat

 

[Sambungan dari Bahagian 3/4]

 

 

Pernyataan ini juga batil kerana beberapa hal berikut:

 

  1. Sesungguhnya Al-Quran itu berbahasa Arab yang datang menggunakan gaya bahasa (uslub) baru yang belum pernah diketahui dan didengar bangsa Arab sebelumnya. Dengan kata lain, mereka belum pernah mengindera realiti Al-Quran ini sebelumnya, dengan tidak adanya penginderaan, mencegah terjadinya pemikiran dan pembuatan sebuah realiti yang belum pernah diindera, itulah uslub Al-Quran. Oleh kerana itu, bangsa Arab seluruhnya tidak mampu membuat sesuatu yang semisal Al-Quran. Sedangkan Muhammad saw. itu adalah salah seorang bangsa Arab sehingga dia pun belum pernah mengindera realiti sesuatu semisal Al-Quran. Oleh kerana itu, apa yang berlaku pada orang Arab berlaku juga padanya dan mustahil baginya untuk mampu membuat Al-Quran.

 

  1. Sesungguhnya Al-Quran itu berbahasa Arab yang senantiasa dibaca oleh Muhammad saw. secara beransur-ansur selama lebih dari dua puluh tahun. Seandainya Al-Quran itu karangan Muhammad saw., nescaya apa yang berlaku pada seluruh pengarang dan buku akan berlaku juga pada Muhammad sebagai pengarang atau penulis dan Al-Quran sebagai buku yang dikarangnya, tiada lain kerana Muhammad itu seorang manusia juga. Hal ini akan tampak dalam beberapa poin berikut:

 

– Sesungguhnya penulis mana pun, memulakan karangannya dengan uslub, bahasa, dan makna yang lemah. Apakah permulaan Al-Quran ketika awal turunnya lebih lemah daripada bahagian akhirnya? Sungguh yang berhak menjawabnya adalah seorang pakar, dan kami tidak akan mengutip jawapan seorang pakar muslim agar tidak dituduh subjektif kerana adanya rasa keberpihakan, tetapi kami akan mengutip persaksian dari seorang pakar yang kafir yang terkenal dengan sastera dan pengetahuannya dan dia seorang Quraisy yang paling ahli dalam bahasa, syair, rajaz (salah satu bahar dalam syair), dan sebagainya. Dialah Al-Walid bin Mughirah yang berkata tentang Al-Quran pada masa awal turunnya, setelah dia mendengarnya dari Muhammad saw., “… dan demi Allah dalam ucapannya itu ada kemanisan, dan di atasnya ada keindahan, sesungguhnya puncak ucapannya ranum berbuah, dan bahagian bawahnya subur melimpah, sungguh ia begitu tinggi dan tidak akan ada yang melebihinya.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah).

 

– Sesungguhnya penulis mana pun, semahir apa pun dia, akan membuat salah satu bahagian secara lebih banyak daripada bahagian-bahagian lain, yakni naik hingga ke puncak dalam sebahagian pandangan, dan akan lebih rendah dari itu dalam pandangan lainnya, apakah dalam Al-Quran ada kelemahan dalam salah satu bahagiannya?

 

– Menjadi kebenaran yang pasti dan dikenal semua orang bahawa gaya bahasa (uslub) seseorang dalam bukunya memiliki beberapa ciri tertentu yang menjadikan sang penulis memiliki keistimewaan tersendiri, sebagaimana cap jari seseorang. Misalnya, andaikan seseorang yang sudah sangat mengetahui tulisan-tulisan seorang pengarang diberi sebuah buku yang belum pernah diketahui orang lain selain penulisnya sendiri, dan si pembaca tadi diminta untuk mengetahui pengarang buku tersebut tanpa adanya nama pengarang atau indikasi apa pun—selain gaya bahasanya—yang menjadi petunjuk akan identiti sang pengarang, maka sang pembaca tadi akan mengetahui secara pasti nama pengarangnya, kerana gaya bahasa sang pengarang menjadi sebahagian dari dirinya, dan tidak akan boleh disembunyikan, bagaimanapun dia mencuba untuk mengubah gaya bahasanya itu. Hal ini kerana tidak mungkin seorang pengarang dapat menulis menggunakan dua uslub yang sangat bertentangan atau sangat berbeza satu sama lain. Apakah ciri khas ini sejalan juga dalam kaitan antara Rasulullah saw. dan gaya bahasanya dengan Al-Quran dan uslub-nya?

 

Sesungguhnya Muhammad saw. seorang manusia dan apa yang berlaku pada manusia dalam masalah gaya bahasa (uslub) akan berlaku pula padanya, yakni dia tidak mungkin mampu menulis dengan menggunakan dua gaya bahasa yang berbeza. Dapat dibuktikan dengan dalil yang qath’ie (pasti) bahawa Muhammad saw. sering kali menyampaikan ayat Al-Quran dan hadis dalam satu kesempatan, sedangkan keduanya (Al-Quran dan hadis) berlainan dari segi uslub-nya. Dengan demikian, dia telah melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan manusia, yang mana sebabnya ayat-ayat Al-Quran tersebut menjadi mukjizat dan dia sebagai seorang nabi. Dengan kata lain, bahawasanya Al-Quran itu berasal dari sebuah sumber selain Muhammad, kerana perbezaan dua uslubnya. Seandainya kita bandingkan antara uslub hadis mutawatir,

 

مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Barang siapa yang sengaja berdusta atas namaku, bersiap-siaplah untuk mengambil tempat di neraka.”

 

dengan uslub Al-Quran,

 

وَمَنْ اَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرٰى عَلَى اللّٰهِ كَذِبًا اَوْ كَذَّبَ بِالْحَقِّ لَمَّا جَاۤءَهٗ ۗ اَلَيْسَ فِيْ جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكٰفِرِيْنَ

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kedustaan terhadap Allah atau mendustakan yang hak tatkala yang hak itu datang kepadanya? Bukankah dalam neraka jahanam itu ada tempat bagi orang-orang yang kafir?” (TMQ Al-Ankabut: 68).

 

Jika kita bandingkan dua redaksi nas yang dikatakan (disampaikan) Muhammad saw., nescaya akan kita temukan perbezaan yang jelas yang menunjukkan bahawa keduanya berasal dari sumber yang berbeza.

 

Ini semua menegaskan secara pasti bahawa Al-Quran itu merupakan kalam Allah Swt. sekaligus menjadi bukti bahawa Muhammad saw. adalah utusan-Nya.

 

Sumber artikel: Syekh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

 

Exit mobile version