Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 2/5)

[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 2/5)

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

[Sambungan dari Bahagian 1/2]

 

Gereja mengendalikan negara-negara Eropah dan nilai-nilai Kristian menjadi elemen pemersatu. Gereja berusaha membangun suatu keluarga Kristian yang terdiri dari negara-negara tersebut dan mula mengorganisasikan jalinan hubungan di antara mereka.

 

Mereka merumuskan peraturan-peraturan yang mereka sepakati bersama untuk mengatur hubungan di antara mereka. Inilah titik awal munculnya undang-undang antarabangsa. Dengan demikian, awal mula perumusan undang-undang antarabangsa adalah ketika negara-negara Kristian Eropah bersatu dalam ikatan agama Kristian untuk menentang Negara Islam, sehinggalah berdirinya Keluarga Kristian Antarabangsa (International Christian Family).

 

Mereka bersepakat pada sejumlah peraturan, seperti persamaan hak antara negara-negara anggota dan bahawa semua negara mempunyai cita-cita dan nilai-nilai yang sama, iaitu Kristian. Negara-negara tersebut dengan mengabaikan afiliasi sektarian, mengakui Paus Katolik sebagai pemimpin spiritual tertinggi.

 

Peraturan-peraturan tersebut menjadi inti dan asal undang-undang antarabangsa. Namun demikian, penyatuan negara-negara Kristian tersebut tidak berjalan efektif. Peraturan-peraturan yang mereka anut tidak dapat menyatukan mereka akibat adanya sistem feudal yang tetap menghambat tumbuhnya kekuatan negara dan menyukarkan mereka dalam mengatur urusan luar negerinya.

 

Di lain pihak, kawalan dari kalangan gereja menjadi persoalan tersendiri kerana merampas kedaulatan dan kemerdekaan negara. Akibatnya, timbul pertentangan antara negara dengan para bangsawan feudal dan antara negara dengan gereja.

 

Akhirnya, negara muncul sebagai pemenang dalam kedua-dua konflik ini. Negara berjaya menghapuskan sistem feudal dan menghilangkan kekuasaan gereja dalam urusan internal dan eksternal negara. Namun demikian, negara tetap dalam ikatan Kristian.

 

Hubungan antara gereja dan negara diatur sedemikian rupa sehingga negara tetap memiliki kemerdekaan dalam menjalankan dasar politiknya. Akibatnya, muncul beberapa negara kuat di Eropah. Akan tetapi, mereka tetap tidak mampu berhadapan dengan Negara Islam.

 

Situasi ini tetap berlangsung sampai pertengahan abad ke-17, iaitu pada 1648 ketika negara-negara Kristian Eropah mengadakan Konferensi Westphalia. Dalam konferensi ini, mereka menetapkan sejumlah peraturan yang mengatur hubungan antara negara-negara Kristian Eropah. Mereka juga mengorganisasikan kekuatan negara-negara Kristian untuk melawan Negara Islam.

 

Semasa konferensi menetapkan dasar-dasar bagi undang-undang antarabangsa, undang-undang antarabangsa tersebut bukan diperuntukkan bagi semua negara di dunia, tetapi khusus bagi negara-negara Kristian Eropah. Negara Islam tidak diperkenankan masuk sebagai anggota keluarga antarabangsa dan tidak pernah menjadi sebahagian dari undang-undang antarabangsa itu.

 

Sejak saat itu, muncullah Komuniti Antarabangsa. Komuniti Antarabangsa terdiri dari berbagai negara Kristian tanpa membezakan bentuk negara, baik kerajaan mahupun republik. Demikian pula tidak membezakan agama negara, baik Katolik mahupun Protestan. Pada awalnya, komuniti ini dikhususkan bagi negara-negara Eropah Barat. Akan tetapi kemudian diikuti oleh negara-negara Kristian Eropah lainnya dan juga negara-negara Kristian di luar Eropah.

 

Negara Islam tetap tidak diperkenankan bergabung sampai pada separuh kedua abad ke-19, tatkala Negara Islam menjadi negara yang lemah, yang dikenal dengan gelaran “Orang Sakit dari Eropah” (The Sick Man of Europe). Pada saat itu, Negara Islam mengajukan usulan keanggotaannya pada Komuniti Antarabangsa, tetapi usulannya tersebut ditolak.

 

Negara Uthmaniyah mengajukan keberatan atas penolakan tersebut. Sebagai persyaratan penerimaan, sejumlah syarat yang berat ditetapkan, iaitu meninggalkan Islam sebagai dasar hubungan antarabangsa dan sebagai gantinya menganut sejumlah undang-undang Eropah. Hanya dengan menerima dan tunduk kepada persyaratan ini, serta meninggalkan identiti mereka sebagai Negara Islam dalam hubungan antarabangsa, usulan keanggotaan tersebut diterima.

 

Akhirnya, Negara Uthmani diterima sebagai anggota Komuniti Antarabangsa pada 1856. Setelah itu, negara-negara non Kristian lain diterima sebagai anggota komuniti, misalnya negara Jepun.

 

Jadi, Konferensi Westphalia pada 1648 dianggap sebagai platform penerapan peraturan-peraturan undang-undang antarabangsa. Berdasarkan peraturan tersebut, berbagai aktiviti politik dan tindakan-tindakan kolektif antarabangsa muncul. Dari sejumlah undang-undang antarabangsa tersebut, terdapat dua pemikiran yang paling utama dan sangat berbahaya.

 

Pemikiran tersebut adalah tentang keseimbangan kekuatan antarabangsa dan idea konvensyen antarabangsa. Pemikiran keseimbangan kekuatan antarabangsa mewajibkan semua negara menyatukan (consolidated) usahanya untuk mencegah perluasan (expansion) suatu negara ke wilayah negara lain. Idea keseimbangan kekuatan antarabangsa itu dimaksudkan untuk menjamin situasi damai dan mencegah terjadinya peperangan.

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version