MERDEKA
Oleh: H.M. Ismail Yusanto
“Allah SWT memerintahkan kami untuk membebaskan manusia dari memperhambakan diri kepada selain Allah dan melepaskan belenggu duniawi menuju dunia bebas, dan dari agama yang sesat menuju keadilan Islam.”
Di atas adalah kenyataan tegas Ruba’i menjawab pertanyaan Panglima Rustum, pemimpin pasukan Persia menjelang Perang al-Qadhisiyah (15H – 636 M), tentang mengapa pasukan Islam masuk ke tanah Persia. Ruba’i bin Amir memang dikirim oleh panglima tentera Islam ketika itu, Saad bin Abi Waqqash, untuk menghadap panglima tentera Persia, Rustum.
Ketika Ruba’i masuk ke dalam perkhemahan Panglima Rustum, dia hanya berpakaian sederhana. Dengan menunggang kuda pendek dan menyandang senjata serta perisai, dia masuk tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya, termasuk reaksi para pembesar Persia yang geram melihat kehadiran Ruba’i yang bersikap tidak acuh kepada mereka.
Kenyataan Ruba’i itu menegaskan bahawa dorongan “perluasan” Islam bukanlah bersifat material, sebagaimana yang dilakukan imperialis-kolonialis Barat ketika mereka menyerang masuk ke wilayah-wilayah jajahan di Timur Tengah, Asia Selatan atau Asia Tenggara. Mereka berusaha keras mencari dan menjajah daerah baru untuk mengeksploitasi hasil buminya tanpa tinggal sedikit pun. Inilah semangat perluasan demi “Gold, Glory, and Gospel” (Emas, Kekuasaan dan Agama).
Rustum, sang panglima dari sebuah negara adidaya kala itu, mungkin menyangka bahawa tentera Islam mempunyai tujuan yang lebih kurang sama dengan Persia ketika menaklukkan daerah-daerah baru. Rustum kecewa. Ruba’i sebaliknya memberikan perspektif baru tentang dorongan perluasan Islam, iaitu tauhid.
Misi Islam adalah menyeru seluruh manusia pada tauhid dengan jalan dakwah dan jihad. Dakwah adalah mengubah manusia, fikiran, perasaan dan tingkah lakunya; dari jahiliyah ke Islam; sekaligus mewujudkan pola hubungan antara manusia berdasarkan hukum Allah dan memerdekakan manusia dari pengaruh thaghut.
Pada masa Rasulullah SAW, thaghut adalah berhala-berhala yang disembah di sekitar Kaabah. Kini, thaghut telah berubah wajah (meski hakikatnya sama), menjadi ideologi-ideologi yang bersumber pada falsafah materialisme, yang mengingkari kedaulatan Allah, beserta cabang dari ideologinya berupa sistem perundangan, politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Itulah kemerdekaan hakiki dalam pandangan Islam. Seseorang atau masyarakat baru boleh dikatakan benar-benar merdeka ketika mereka dapat tunduk sepenuhnya pada seluruh perintah dan larangan Allah serta melepaskan diri dari belenggu sistem yang bertentangan dengan tauhid seraya menegakkan sistem Islam. Al-Quran menyebut misi Islam mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya. Maka, tidak ada negeri yang dikuasai Islam berubah menjadi kusam, sengsara, mundur dan ketinggalan. Sepanyol dan beberapa negeri Eropah lain, misalnya, justeru mencapai kemajuan ketika berada di bawah kekuasaan Islam, saat belahan dunia lain sedang mengalami masa kegelapan.
Sebaliknya, kolonialisme Barat, juga Timur, selamanya menyebarkan kejahiliahan dan kerosakan. Al-Quran menyebutnya dzulumaat (kegelapan). Dalam bidang akidah, mereka menyebarkan falsafah materialisme. Dalam bidang pemikiran, mereka menyebarkan sekularisme dan liberalisme. Dalam bidang politik, mereka menyebarkan demokrasi machiavelistik yang menghalalkan segala cara bagi meraih kekuasaan. Dalam bidang ekonomi, mereka menyebarkan tatanan ekonomi kapitalisme yang bersifat eksploitasi. Dalam bidang budaya pula, mereka menyebarkan budaya yang tidak bermoral. Dalam bidang ketenteraan, mereka menyebarkan peperangan, adu domba dan pertentangan.
++++
Jadi, adakah negara ini sudah betul-betul merdeka? Apakah kita telah benar-benar merdeka secara hakiki? Jawapannya bergantung pada apa kefahaman kita tentang penjajahan dan merdeka.
Dalam kitab Mafahim Siyasiyah, dikatakan hakikat penjajahan yang sebenarnya belum berakhir. Kapitalisme akan sentiasa berupaya menyebarkan fahaham dan mempertahankan pengaruhnya ke seluruh penjuru dunia. Metode atau thariqah-nya melalui penjajahan (isti’maar), berupa penguasaan (pengendalian) dan mendominansi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan perundangan.
Pada masa Perang Dunia I dan II, persisnya setelah payung Dunia Islam, Khilafah Uthmani runtuh pada tahun 1924, yang dilakukan negara imperialis adalah penjajahan militer. Negeri Islam yang begitu kuat dan bersatu menjadi terpecah-pecah. Lama sebelum keruntuhan Khilafah Uthmaniyah, sebahagiannya malah sudah diduduki oleh penjajah. Di antaranya, Algeria oleh Perancis, Libya oleh Itali, Irak, India, Palestin, Jordan, Mesir dan kawasan Teluk dikuasai Brisith dan sebagainya.
Kini setelah wilayah-wilayah itu merdeka, Barat tetap berusaha menjajah dengan cara yang baru. Dalam bidang ekonomi, penjajahan dilakukan melalui peminjaman dana. Dengan alasan membantu negara berkembang, mereka meminjamkan wang dalam jumlah besar. Melalui berbagai institusi-institusi yang mereka bentuk seperti IMF, Bank Dunia dan sebagainya, Barat memaksakan kemahuan politiknya atas sesebuah negara, baik secara langsung mahupun tidak. Maka dari itu, negeri-negeri itu menjadi tidak merdeka secara politik. Penjajahan ekonomi juga dilakukan dengan berbagai aturan yang mereka paksakan, seperti idea pasaran bebas dengan WTO (World Trade Organization)-nya. Juga melalui agenda-agenda yang memuluskan penguasaan sumberdaya ekonomi seperti penswastaan. Akibatnya, sekalipun secara fizikalnya kita merdeka, namun secara politik dan ekonomi, kita terjajah.
Dalam kebudayaan, globalisasi informasi yang diwujudkan oleh kemajuan luar biasa teknologi informasi bak pisau bermata dua. Satu sisi menguntungkan, tetapi di sisi lain berlaku gelombang arus budaya Barat (westernisasi) ke negeri-negeri Islam. Itu semua sangat berpengaruh pada cara berfikir, keberpihakan, keprihatinan dan sikap kaum Muslim. Inilah penjajahan dalam kebudayaan.
Dalam perundangan, tidak terkira jumlah hukum dan perundang-undangan yang digunapakai oleh negeri-negeri Muslim, yang masih bersumber dari Barat. Kita bangga menyambut Merdeka, namun kita masih menggunapakai undang-undang penjajah. Ini bermakna, secara tidak langsung kita menyelesaikan berbagai masalah di negeri yang majoritinya Muslim ini dengan cara penjajah. Penjajah memang telah lama pergi, tetapi ternyata mereka masih tetap berakar umbi dalam negara dengan wajah yang berbeza.
++++
Menjadi kewajipan kaum Muslim secara bersama, untuk bertafakur menyertai rasa syukur, dengan melihat realiti yang ada di negeri kita dalam segala bidang. Sudahkah semua sistem yang mengatur kehidupan umat dalam segala bidang ditegakkan di atas prinsip tauhid? Seterusnya, sudahkah hakikat dan prinsip-prinsip kemerdekaan hakiki menurut ajaran Islam seperti yang dikemukakan oleh Ruba’i bin Amir tadi telah kita dapatkan?
Jika belum, menjadi tugas kita bersama untuk mewujudkan kemerdekaan hakiki itu. Jika perjuangan dahulu bertujuan untuk merebut kemerdekaan dari penjajahan fizikal, kini kita memerlukan perjuangan baru untuk membebaskan umat dari penjajahan ideologi sekular, hukum jahiliyah, ekonomi kapitalis, budaya barat dan segenap tatanan yang tidak Islami.
Di sinilah pentingnya spirit hijrah untuk mewujudkan kemerdekaan hakiki perlu terus digaungkan. Hijrah secara maknawi dikatakan oleh para ulama sebagai meninggalkan apa yang dilarang Allah. Secara syarie, hijrah adalah keluar dari negeri kafir kepada negeri iman, sebagaimana dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah.
Dengan dua pengertian hijrah tadi, jelaslah bahawa tujuan hijrah tidak lain adalah untuk mewujudkan ketaatan sepenuhnya kepada Allah. Ketaatan itu tampak dalam penerapan syariah secara kaffah, baik dalam kehidupan peribadi, keluarga mahupun kehidupan masyarakat dan negara sedemikian sehingga terwujud rahmat bagi sekalian alam.
Tanpa itu, selamanya kita akan terus terjajah dan tenggelam dalam lumpur kehinaan. Tidak ada lagi kemuliaan Islam dan ummatnya (‘Izz al-Islaam wa al-Muslimiin). Na’udzubilLaah min dzaalik.
