[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 4/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Suatu kekuatan tidak dibenarkan mendominasi negara-negara lain atau bersikap sebagai penguasa atas mereka. Dengan kata lain, komuniti antarabangsa tidak dibenarkan berlaku seperti suatu kelompok yang berhak memerintah dan mengurus kepentingan bangsa dan negara lain.
Jadi, tidak ada dan tidak boleh ada institusi global (seperti komuniti antarabangsa) yang berkuasa atas sejumlah kelompok manusia. Kelompok-kelompok masyarakat perlu tetap sebagai institusi mandiri yang memiliki struktur, kedaulatan, dan kehendaknya sendiri.
Apabila keberadaan suatu komuniti antarabangsa diperlukan, sepatutnya komuniti itu tidak bersikap sebagai institusi global. Komuniti tersebut perlu didirikan oleh kelompok-kelompok yang berkeinginan menjadi anggotanya. Komuniti tersebut tidak boleh didirikan oleh negara tertentu yang membawa konsep tertentu atau negara yang berkekuatan di atas kekuatan negara-negara lain.
Sebaliknya, komuniti antarabangsa hendaklah didirikan oleh negara-negara yang berkeinginan untuk membentuknya, tanpa memandang konsep, kekuatan, dan pengaruhnya masing-masing. Negara-negara yang tidak ikut serta mendirikan komuniti itu berkebebasan penuh untuk bergabung, serta berhak dan berkewajipan yang sama dengan para pendiri komuniti.
Begitu juga, setiap negara perlu merasa bebas untuk keluar dari keanggotaan komuniti setiap saat mereka menginginkannya. Setiap keputusan dan resolusi tidak boleh dipaksakan kepada siapa pun. Hanya dengan demikian, komuniti tersebut dapat disebut sebagai kelompok antarabangsa.
Tidak akan ada suatu kelompok “antarabangsa” tertentu yang dianggap sebagai kelompok antarabangsa bagi seluruh negara di dunia. Ertinya, tidak ada suatu negara global yang menamakan dirinya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Lembaga-lembaga tersebut perlu diganti dengan suatu organisasi antarabangsa baru yang tidak dapat dikawal oleh kekuatan-kekuatan adidaya dan tidak bersikap sebagai negara global.
Organisasi baru ini sepatutnya berupa institusi antarabangsa yang bertujuan menegakkan keadilan, menolong kelompok-kelompok yang tertindas, dan berjuang menyebarluaskan keadilan kepada seluruh umat manusia. Tujuan-tujuan tersebut akan dapat dicapai melalui suasana moral yang dimiliki dan dukungan dari opini antarabangsa, serta kehormatan dan kepercayaan yang diperoleh sebagai suatu organisasi yang melayani bukan hanya kepentingan negara-negara tertentu, tetapi juga melayani seluruh umat manusia.
Organisasi ini mirip dengan Aliansi Kebajikan (Hilful Fudhul) yang didirikan sebelum masa kenabian Rasulullah Muhammad SAW dan dihadiri oleh beliau SAW sebelum beliau SAW diangkat menjadi Rasul. Setelah menjadi Rasul, beliau berkata, “Aku menyaksikan suatu perjanjian pada Bani ‘Abdullah bin Jud’ân yang aku sukai lebih dari unta merah. Apabila aku diundang setelah Islam (datang), aku akan menerimanya.”
Organisasi ini berlaku sebagai platform bagi berbagai keyakinan dan gagasan tentang kehidupan yang ada pada saat itu, di mana pemikiran yang benar diambil sebagai pemikiran dan keyakinan dunia.
Undang-undang antarabangsa dan implementasinya kepada umat manusia tidak boleh dan tidak mungkin ada. Ini kerana undang-undang adalah peraturan bagi seseorang atau sekelompok orang yang berada dalam suatu kekuasaan.
Manakala yang disebut kekuasaan global dan negara global itu realitinya tidak ada. Oleh kerana itu, tidak mungkin ada suatu negara global yang berkuasa atas seluruh negara di dunia.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

