Perkahwinan Nabi Muhammad SAW (Bahagian 1)
Oleh: Maryam Ismail
Serangan Pihak Orientalis
Perkahwinan dalam Islam dibina atas asas akidah Islam. Daripada perkahwinan, terbitlah tarbiyah, hikmah dan mahabbah dalam kehidupan berkeluarga. Perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Ummul Mukminin yang berbeza umur dan latar belakang keluarga mempunyai banyak hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Namun, musuh-musuh Allah sering menjadikan isu ini sebagai modal untuk menghina Nabi Muhammad SAW. Terlalu banyak penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan keluarganya dalam bentuk karikatur, filem, dan penulisan artikel.
Dengan menggunakan kenyataan daripada hadis palsu, seorang orientalis bernama Margaleon menuduh bahawa Rasullullah SAW menikahi Saidatina Siti Khadijah kerana hartanya. Sebelum menikahi Siti Khadijah, Nabi Muhammad berniat untuk melamar Ummu Hani, puteri Abu Thalib. Namun, Abu Thalib lebih memilih untuk menikahkan puterinya dengan seorang lelaki kaya. Hal ini membuatkan Nabi Muhammad bersedih dan merasa kekurangan kerana kemiskinannya sehingga beliau bersedia menerima lamaran Siti Khadijah, sorang usahawan kaya walaupun jauh lebih berusia daripadanya. Hal ini dinyatakan oleh orientalis bernama William Muir dalam bukunya yang bertajuk Hayatu Muhammad wa Tarikh al-Islam. Menurutnya, kesetiaan Nabi Muhammad kepada Siti Khadijah adalah kerana kedudukan sosial Siti Khadijah yang tinggi
Berkaitan dengan poligami Rasulullah SAW, orientalis Barat menyatakan bahawa tindakan poligami baginda adalah berlandaskan nafsu semata-mata dan melanggar ajaran Islam yang mengehadkan poligami kepada empat orang isteri seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisaa’ ayat 3. Mereka berpendapat bahawa poligami adalah tindakan yang berlebihan dan merendahkan peradaban manusia, bahkan menyamakannya dengan perilaku binatang. Thomas Aquines menyatakan bahawa Muhammad membawa agama Islam yang menyebabkan ramai orang Kristian murtad daripada agamanya dan mengajarkan ajaran yang berpandukan syahwat serta menyesatkan. Mereka juga tidak teragak-agak menuduh Rasulullah SAW sebagai pedofilia kerana mengahwini Saidatina Aisyah pada usia 6 tahun.
Realiti Perkahwinan Nabi Muhammad
Pemulaan pernikahan Nabi SAW adalah bersama Siti Khadijah RA ketika baginda berusia 23 tahun. Siti Khadijah tetap menjadi satu-satunya isteri baginda selama 28 tahun. Sepanjang usia perkahwinan itu, Nabi SAW tetap setia bersama Siti Khadijah sehinggalah kewafatan Siti Khadijah, dua tahun sebelum hijrah, ketika usia baginda sudah mencapai 50 tahun. Sepanjang pernikahannya dengan Khadijah, Rasulullah SAW tidak pernah bercita-cita untuk berpoligami, sedangkan ketika itu poligami sudah menjadi tradisi masyarakat Arab sejak sebelum datangnya Islam. Rumahtangga Rasulullah bersama Siti Khadijah sentiasa diiringi kebahagiaan. Khadijah sentiasa setia bersama Nabi SAW dalam susah dan senang. Mereka mengharungi perit getir dalam perjuangan dakwah melawan pemikiran-pemikiran kufur. Rasulullah SAW juga tidak pernah dikenali sebagai lelaki yang mudah tergoda dengan godaan dan kecantikan wanita, baik sebelum mahupun selepas kerasulan baginda. Sedangkan keadaan wanita zaman jahiliyyah ketika itu sering menggoda para lelaki dengan dandanan serta tingkah lakunya.
Jadi, agak aneh jika dikatakan bahawa perilaku Nabi SAW berubah secara total sejurus kewafatan Khadijah, kecuali perkahwinan tersebut mempunyai tujuan yang wajar. Baginda berubah dengan menikah lagi dan berpoligami sehingga memiliki sebelas orang isteri. Malahan, tempoh perkahwinan Nabi SAW dengan isteri-isterinya itu berlaku dalam tempoh yang berdekatan serta dalam usia baginda yang menghampiri 60-an. Dengan perubahan yang mendadak serta dalam usia yang sebegitu, sangat tidak relevan jika kita katakan perkahwinan baginda adalah atas dasar nafsu syahwat sebagaimana yang di gembar-gemburkan oleh pihak orientalis Barat. Sebaliknya, semua itu dilakukan atas tuntutan realiti kehidupan yang baginda lalui selaku penyebar risalah Islam.
Perbezaan Poligami Nabi dan Masyarakat Umum
Poligami yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dibenarkan oleh syarak, seperti yang disebut dalam firman Allah SWT, “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kahwinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian juga) anak-anak perempuan dari saudara lelaki bapamu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara lelaki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan wanita mukmin yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengahwininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu.” [TMQ al-Ahzâb (33): 50]
Ayat ini menegaskan, “Khâlishatan laka min dûn al-mu’minîn (sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mukmin). Kata khâlishah adalah mashdar mu’akkad (yang menguatkan atau mempertegas) semua hal yang disebut dalam ayat sebelumnya. Maksudnya, “Kami (Allah) telah mengkhususkan bagimu atas apa sahaja yang telah Kami halalkan untukmu secara khusus”.
Penunjukan dalil ini membenarkan Rasulullah SAW untuk mengahwini lebih daripada empat wanita, memiliki hamba sahaya perempuan hasil rampasan perang (faî’) secara langsung, menikahi anak-anak perempuan dari kerabat baginda yang turut berhijrah bersama Nabi SAW, serta menikahi wanita yang menyerahkan dirinya kepada baginda. Kedudukan ayat tersebut yang datang selepas firman-Nya: min dûn al-mu’minîn (bukan untuk semua orang Mukmin) memperkuat makna ini. Selepas itu Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki.” [TMQ al-Ahzâb (33): 50]
Atas dasar ini, perkahwinan Nabi SAW melebihi empat orang isteri dalam satu masa tidak boleh dijadikan contoh untuk diamalkan atau dikaji secara juristik. Hal ini kerana perkara tersebut adalah pengkhususan bagi baginda sahaja. Selain itu, realitinya menunjukkan bahawa perkahwinan baginda adalah perkahwinan seorang nabi, bukan perkahwinan seorang lelaki biasa yang didorong oleh keinginan biologi dan pemenuhan naluri seksual (gharîzah an-naw’). Wallahu’alam.
Sumber:
- http://jurnal.uinsu.ac.id/index.php/nadwah
- Kitab Nidzamul Ijtimaie, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani

