Perkahwinan Rasulullah SAW (Bahagian 2)
Oleh: Maryam Ismail
Permulaan Poligami Rasulullah SAW
Pada tahun kewafatan Siti Khadijah, Rasulullah SAW meminang Aisyah binti Abu Bakar, puteri kepada sahabat baiknya, Abu Bakar al-Siddiq. Baginda menikahi Aisyah RA ketika beliau berusia enam tahun, namun Aisyah tidak tinggal serumah dengan Rasulullah SAW sehingga tiga tahun kemudian iaitu ketika usianya mencapai sembilan tahun. Perkahwinan ini adalah berdasarkan perintah Allah SWT yang disampaikan kepada Rasulullah SAW melalui sebuah mimpi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Aku diperlihatkan dirimu dalam mimpi selama tiga malam. Seorang malaikat datang kepadaku dengan membawamu dalam selembar kain sutera, lalu berkata, ‘Ini adalah isterimu’. Kemudian aku menyingkap kain dari wajahmu, dan ternyata itu adalah dirimu. Aku pun berkata, ‘Jika ini adalah ketetapan Allah, pasti Dia akan mewujudkannya.’” [HR Bukhari & Muslim]
Selain merupakan perintah Allah SWT, perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah RA juga mempererat hubungan baginda dengan sahabatnya, Abu Bakar RA, sebagaimana yang berlaku pada pernikahan Rasulullah SAW dengan Hafshah binti ‘Umar, puteri kepada sahabatnya, Umar al-Khattab RA, pada tahun ke-2 Hijrah. Kedua-dua sahabat ini sentiasa berada di sisi Rasulullah SAW dalam urusan dakwah, pemerintahan, peperangan, serta pelbagai misi perjuangan lainnya.
Pernikahan Atas Tujuan Perlindungan
Pada tahun yang sama ketika Rasulullah SAW menikahi Aisyah, baginda juga menikahi Saudah binti Zam’ah, seorang janda kepada Sakran ibn ‘Amr ibn ‘Abdi Syams, yang merupakan salah seorang Muslim yang turut berhijrah ke Habsyah. Rasulullah SAW menikahi Saudah setelah suaminya meninggal dunia. Saudah bukanlah wanita yang memiliki kecantikan, kekayaan, atau status yang menarik perhatian Rasulullah SAW, namun pernikahan ini bertujuan untuk melindunginya daripada penghinaan dan penyiksaan oleh kaumnya yang kafir jika kembali ke Mekah. Pernikahan ini juga meningkatkan kedudukan Saudah sebagai Ummul Mukminin dan menyatukan hubungan antara Bani Abdi Syams dan Bani Hashim.
Tujuan pernikahan Rasulullah SAW dengan Saudah mirip dengan pernikahannya dengan Ummu Habibah binti Abu Sufyan. Ummu Habibah adalah seorang Mukmin yang berhijrah ke Habsyah demi mempertahankan agamanya. Meskipun suaminya, ‘Ubaidillah ibn Jahsyi al-Asadi, murtad dan memeluk agama Nasrani, Ummu Habibah tetap teguh dalam keimanannya. Rasulullah SAW kemudian mengirim surat kepada Najasyi, meminta agar dia mewakili baginda dalam pernikahan dengan Ummu Habibah.
Isteri-isteri Rasulullah SAW Dari Golongan Sabi’
Sebahagian isteri Rasulullah SAW dinikahi dengan tujuan mengeluarkan mereka dari golongan “sabi'”, yang merujuk kepada orang-orang yang meninggalkan agama asal mereka untuk menganut agama lain. Istilah lain untuk ini adalah “al-sabi’ah.” Menurut Imam al-Thabari, “al-Sabi’un” adalah bentuk jamak dari kata “sabi'”, yang bermaksud seseorang yang menciptakan agama baru di luar agamanya yang terdahulu. Dalam masyarakat Arab, sesiapa yang meninggalkan agama asalnya untuk menganut agama lain dikenali sebagai “al-sabi’.”
Salah seorang isteri Rasulullah SAW yang termasuk dalam golongan ini adalah Ummul Mukminin Saidatina Juwairiyah, yang nama asalnya adalah Burrah binti Harith bin Abu Dhirar, puteri kepada pemimpin Bani Musthaliq. Dalam pertempuran Muraisi, tentera Muslim yang terdiri daripada pasukan Muhajirin dan Ansar berjaya mengalahkan Bani Musthaliq. Suami Juwairiyah, Musafi’ bin Shafwan, terbunuh dalam pertempuran ini, manakala harta dan wanita Bani Musthaliq, termasuk Juwairiyah, menjadi tawanan kaum Muslimin. Ketika Rasulullah SAW membahagikan tawanan wanita Bani Musthaliq, Juwairiyah diserahkan kepada Thabit bin Qais bin Syammas. Juwairiyah, dalam keadaan sangat sedih dan tertekan, mengadu kepada Rasulullah dan meminta kebebasan. Simpati terhadap keadaannya, Rasulullah SAW membebaskan Juwairiyah dan menikahinya.
Berita pernikahan Rasulullah SAW dengan Juwairiyah tersebar di kalangan para sahabat, dan mereka berpendapat bahawa Bani Musthaliq, yang kini menjadi kerabat Rasulullah, tidak layak dijadikan tawanan. Akhirnya, seluruh wanita dan kaum Bani Musthaliq dibebaskan tanpa syarat. Selepas pembebasan ini, Bani Musthaliq mengikrarkan keislaman mereka, termasuk bapa Juwairiyah, Harith, dan diikuti oleh seluruh Bani Musthaliq yang masih hidup.
Selain Juwairiyah binti Harith, Rasulullah SAW juga menikahi Safiyyah binti Huyai, yang berasal dari keturunan Yahudi Bani al-Nadhir dan merupakan seorang sabi’. Beliau adalah cucu kepada Lawi bin Nabi Allah Isra’il (Nabi Ya‘qub) bin Ishaq bin Ibrahim A.S dan juga dari keturunan Nabi Harun bin ‘Imran, saudara kepada Nabi Musa A.S. Sebahagian umat Islam berkata kepada Rasulullah SAW, “Shafiyah adalah pemuka Bani Qurayzhah dan Bani Nadhir. Dia tidak layak untuk siapa pun kecuali engkau.” Maka Rasulullah SAW memerdekakannya dan menikahinya, yang bukan hanya membebaskannya dari perhambaan tetapi juga mengangkat martabatnya.
Menikahi Janda Sahabat Yang Syahid di Medan Perang
Pada tahun kedua Hijrah, Rasulullah SAW menikahi Zainab binti Khuzaimah, yang sebelumnya merupakan isteri kepada sahabat baginda, Ubaidah ibn al-Harith ibn al-Muthalib, yang syahid dalam Perang Badar. Meskipun Zainab tidak dikenal kerana kecantikannya, beliau sangat terkenal dengan kebaikan dan kemurahan hatinya, sehingga diberi gelaran Umm al-Masakin (Ibu Kaum Miskin). Beliau hidup bersama Rasulullah SAW hanya selama dua tahun sebelum wafat.
Selain Zainab binti Khuzaimah, Ummu Salamah juga menjadi isteri Rasulullah SAW setelah menjadi janda akibat kematian suaminya, Abu Salamah, yang juga seorang sahabat yang syahid dalam perang. Rasulullah SAW melamar Ummu Salamah untuk menjadi isterinya setelah empat bulan berlalu sejak kewafatan Abu Salamah.
Mengahwini Janda Anak Angkatnya
Ada di antara isteri Rasulullah SAW adalah janda kepada anak angkatnya, Zaid bin Harithah. Beliau adalah Saidatina Zainab binti Jahsy, puteri kepada Jahsy bin Ri’ab bin Asad bin Khuzaimah, seorang pemimpin Quraisy yang terkenal dengan kedermawanan dan akhlak mulia. Ibunya bernama Umaimah binti Abdul Muthalib. Nama asal Zainab adalah Barrah, tetapi Rasulullah SAW mengubahnya kepada Zainab setelah menikahinya. Zainab juga merupakan sepupu Rasulullah SAW.
Setelah Zaid menceraikan Zainab, Allah SWT memerintahkan pernikahan antara Zainab dan Rasulullah SAW melalui wahyu. Allah SWT berfirman, “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: ‘Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah,’ sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.” [TMQ al-Ahzab (33): 37]
Dari ayat ini, dapat difahami bahawa pernikahan Rasulullah SAW dengan Zainab bertujuan menghapuskan adat yang menyamakan kedudukan anak angkat dengan anak kandung, yang melarang seorang bapa angkat menikahi bekas isteri anak angkatnya.
Isteri terakhir yang dinikahi Rasulullah SAW adalah Maimunah binti Al-Harith bin Hazan. Saudara perempuannya, Ummul Fadhl binti Al-Harith, adalah isteri Al-‘Abbas, bapa saudara Nabi SAW. Maimunah juga merupakan ibu saudara (dari sebelah ibu) Abdullah Ibnu Abbas RA, seorang ahli tafsir al-Quran yang terkenal dengan ilmu dan pemahaman mendalam terhadap agama, serta ibu saudara (dari sebelah ibu) Khalid bin Walid RA, seorang panglima yang mencatat banyak kemenangan dalam sejarah.
Sebelum memeluk Islam, Maimunah telah berkahwin dengan Mas’ud bin ‘Amr as-Tsaqafi, tetapi diceraikan oleh suaminya. Setelah itu, beliau berkahwin dengan Abu Ruhm bin Abdul ‘Uzza, namun Abu Ruhm meninggal dunia. Maimunah kemudian menikahi Rasulullah SAW selepas Umrah al-Qadha’. Beliau memeluk Islam semasa peristiwa Umrah al-Qadha’. Melihat keadaannya, Al-Abbas mencadangkan kepada Rasulullah SAW untuk menikahi Maimunah, dan baginda setuju. Pernikahan ini membantu mempererat hubungan antara Rasulullah SAW dan orang-orang Quraisy.
Kisah-kisah ini menunjukkan bahawa pernikahan Rasulullah SAW bukan hanya didorong oleh faktor biologi, tetapi juga kerana peranannya sebagai ketua negara, Rasul, pendakwah, dan pemimpin politik. Pernikahan-pernikahan ini turut bertujuan untuk mengembangkan risalah Islam dan mempertahankannya. Wallahua’lam..
Sumber:
- https://zulkiflialbakri.com/ummul-mukminin-zainab-binti-jahsy-r-anha/
- https://republika.co.id/amp/nciama6/juwairiyah-binti-harits-istri-rasulullah-yang-penuh-berkah
- https://www.detik.com/hikmah/muslimah/d-6617192/kisah-maimunah-binti-al-harits-istri-terakhir-rasulullah-saw
- https://www.tintasiyasi.com/2020/06/pernikahan-nabi-muhammad-saw-dan-dakwah.html

