Site icon MuslimahHTM News

Kehidupan Suami Isteri (Bahagian 1)

Kehidupan Suami Isteri (Bahagian 1)

Penulis : Syafinaz Safar

 

Kehidupan suami isteri dalam sebuah perkahwinan Islam bertujuan untuk meraih keredahaan Allah SWT. Untuk mencapai redha-Nya, suami dan isteri perlu menghidupkan rumahtangga dengan perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah, dengan suami sebagai ketua keluarga. Hubungan suami isteri bukanlah seperti rakan kongsi dalam perniagaan, tetapi lebih mirip kepada persahabatan yang erat dan mesra, di mana tiada rahsia antara mereka. Persahabatan yang sejati ini membawa kedamaian dan keamanan dalam perkahwinan. Allah SWT berfirman yang bermaksud,” “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.” [TMQ ar-Rûm (30): 21].

 

Melalui ayat ini, Imam Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa sakinah atau tenteram dalam rumah tangga tercipta dari mawaddah (rasa cinta) dan rahmah (kasih sayang). Menurut Ibnu Abbas, mawaddah adalah rasa cinta dan kasih suami terhadap isteri, manakala rahmah adalah kasih sayang yang diberikan dalam keadaan apa pun.

 

Untuk mencapai sakinah mawaddah wa rahmah  dalam perkahwinan, setiap suami dan isteri perlu menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing. Rasulullah SAW memberikan nasihat semasa haji wada’ yang bermaksud, “Kewajipan isteri bagi kamu adalah tidak boleh memasukkan ke tempat tidur kamu seorang pun yang kamu tidak sukai. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membekas. Sebaliknya, mereka juga memiliki hak terhadap kamu untuk mendapatkan rezeki dan pakaian (nafkah mereka menurut cara yang makruf).” [HR Muslim no 1218].

 

Suami diwajibkan untuk memperlakukan isterinya dengan ma’ruf (baik, walaupun untuk mendidik) dan memberikan nafkah yang layak, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik sikapnya terhadap keluarga. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu terhadap keluargaku.” [HR Ibnu Majah]. Allah SWT memerintahkan suami untuk bersahabat baik dengan isteri-isterinya, yang mana persahabatan ini akan memberikan ketenangan jiwa dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Selain itu, suami perlu bersikap lembut, tidak bermasam muka tanpa sebab, dan tidak menunjukkan minat terhadap wanita lain. Ibnu Abbas menegaskan, “Para isteri berhak atas persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka wajib taat (kepada suaminya) dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka”.

 

Selain itu, suami perlu menjaga hubungan yang harmoni dengan isterinya, pandai bergurau senda, serta menjadi pemimpin yang qawwam. Suami juga perlu bersikap ramah, lembut, dan penuh toleransi, terutama ketika meminta sesuatu daripada isterinya, khususnya dalam hal privasi. Di pihak isteri, ada kewajipan yang perlu dilaksanakan terhadap suaminya. Kewajipan utama isteri adalah mentaati suaminya dengan tidak meninggalkan tempat tidur dan memastikan ketaatan itu dalam batasan syarak. Isteri juga wajib meminta izin daripada suaminya sebelum berpuasa sunat, menerima tetamu ke rumah, dan menginfakkan harta hasil kerja suami.

 

Suami berhak melarang isteri keluar rumah, kerana isteri wajib meminta izin suaminya sebelum melakukannya. Namun, suami tidak boleh melarang isteri untuk menziarahi ibu bapanya, kerana tindakan itu boleh memutuskan silaturrahim dan membawa kepada ketidaktaatan isteri, sedangkan suami diperintahkan untuk memperlakukan isterinya dengan baik. Suami juga tidak berhak melarang isteri pergi ke masjid, walaupun pada waktu malam.

 

Dalam mendidik isteri, suami mempunyai beberapa pendekatan yang boleh digunakan. Berdasarkan surah an-Nisa’, ayat 34, jika isteri berlaku derhaka (nusyuz), suami perlu menasihatinya terlebih dahulu. Jika isteri masih berdegil, suami boleh memulaukannya di tempat tidur. Jika isteri terus menolak untuk taat, suami boleh memukulnya dengan pukulan ringan yang tidak mencederakan, semata-mata untuk mendidiknya. Namun, jika isteri sudah kembali taat, suami tidak boleh mencari-cari alasan untuk menyusahkannya.

 

Kehidupan suami isteri dalam perkahwinan Islam adalah satu perjalanan yang penuh dengan tanggungjawab, kasih sayang, dan saling menghormati. Hubungan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, tetapi juga menjadi landasan untuk mencapai ketenangan jiwa dan kebahagiaan sebenar. Suami dan isteri, sebagai rakan hidup, perlu sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan hubungan mereka, dengan menjadikan mawaddah dan rahmah sebagai asas perhubungan. Dalam melaksanakan peranan masing-masing, pasangan suami isteri bukan sahaja mendekatkan diri kepada keredhaan Allah SWT tetapi juga membina sebuah rumah tangga yang sakinah. Semoga setiap pasangan diberi kekuatan untuk menempuh liku-liku kehidupan berumahtangga dengan penuh kesabaran dan keimanan, dan akhirnya meraih keberkatan serta rahmat Allah SWT dalam setiap langkah perjalanan hidup mereka.

 

Exit mobile version