Site icon MuslimahHTM News

Kehidupan Suami Isteri (Bahagian 2)

Kehidupan Suami Isteri (Bahagian 2)

Penulis : Syafinaz Safar

 

Ayat 34 surah an-Nisa’ menjelaskan peranan suami sebagai pemimpin (qawwam) dalam keluarga. Sebagai pemimpin, suami wajib menjalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan, manakala isteri wajib taat kepada suami selagi ketaatan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ketaatan isteri kepada suami bukanlah tanda kelemahan, tetapi merupakan penghormatan kepada institusi keluarga yang dibina bersama.

 

Walaupun begitu, terdapat kes-kes di mana isteri berlaku nusyuz (derhaka) kepada suami. Islam, dengan penuh hikmah, menyediakan penyelesaian terbaik dalam situasi ini melalui al-Quran dan as-Sunnah. Suami juga wajib sedar dan tahu bahawa Allah SWT mengawasi setiap tindakannya sebagai ketua keluarga, dan dia akan dipertanggungjawabkan di Hari Kiamat kelak.

 

Dalam Islam, walaupun suami adalah pemimpin (qawwam), ini tidak bermakna dia mempunyai kuasa veto seperti seorang diktator. Menurut hukum syarak, kepimpinan suami terhad kepada urusan pengaturan dan pemeliharaan rumah tangga sahaja. Isteri bukanlah seorang pekerja kepada suaminya, tetapi seorang sahabat karib. Isteri berhak menyuarakan pendapat dan memberi input terhadap keputusan suami, serta berbincang dengan baik. Dalam rumah tangga, ruang untuk perbincangan dan penambahbaikan sentiasa terbuka, dan di sinilah peranan suami sebagai qawwam lebih jelas terlihat.

 

Dalam perlaksanaan tugas rumah tangga, isteri wajib melayani suami dengan sebaik mungkin. Tugas-tugas seperti memasak, membersihkan rumah, dan menyediakan makan minum adalah tanggungjawab isteri jika diminta oleh suami. Suami pula wajib menyediakan semua keperluan isteri, termasuk air, elektrik, bekalan makanan untuk dimasak, peralatan kebersihan, dan keperluan untuk isteri berdandan serta keperluan anak-anak.

 

Secara keseluruhannya, tugas-tugas di dalam rumah adalah kewajipan isteri, manakala urusan di luar rumah adalah tanggungjawab suami. Ini menunjukkan betapa indahnya peraturan Allah SWT dalam mengatur kehidupan suami isteri. Rasulullah SAW juga pernah meminta isteri-isterinya untuk melayan Baginda seperti yang diriwayatkan dalam hadis-hadis berikut. Sabda Rasulullah SAW, “Ya ‘Aisyah, tolong ambilkan aku minum, ya ‘Aisyah tolong ambilkan aku makan, ya ‘Aisyah tolong ambilkan aku pisau dan asahlah dengan batu”.  Fatimah RA juga pernah mengadu kepada Baginda SAW tentang tangannya yang sakit akibat menggiling gandum.  “Bahawa Fatimah pernah datang kepada Rasulullah SAW mengadukan apa yang diderita tangannya kerana menggiling gandum dan meminta kepada ayahandanya seorang pembantu yang dapat meringankan pekerjaannya” [Muttafaq ‘alayh dari jalur ‘Ali].

 

Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa melayani suami dan mengurus rumah adalah antara kewajipan seorang isteri, namun pelaksanaannya mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal seorang wanita. Jika tugas rumah tangga terlalu banyak sehingga membebankan isteri, suami wajib menyediakan pembantu. Namun, jika tugas rumah tangga sedikit dan mampu diselesaikan oleh isteri, suami tidak wajib menyediakan pembantu, tetapi membantu isteri dalam urusan rumah tangga untuk menggembirakan hatinya. Isteri pula harus bersyukur dan redha dengan setiap pemberian suami, agar sakinah, mawaddah dan rahmah sentiasa wujud dalam hubungan perkahwinan mereka.

 

Begitulah indahnya pengaturan hidup suami isteri dalam Islam. Tidak ada istilah siapa yang beli beras, dialah yang berkuasa dalam rumahtangga dan tidak membantu pasangannya seperti yang difahami oleh generasi pada hari ini. Seperti yang dijelaskan dalam bahagian 1, kehidupan suami isteri seharusnya seperti sahabat karib, tanpa rahsia, saling memahami, dan sentiasa terbuka untuk berbincang demi kebaikan rumah tangga. Dengan memahami peranan masing-masing, sakinah, mawaddah dan rahmah akan sentiasa menyinari rumahtangga yang ingin mencari keredhaan Ilahi. In sya Allah.

 

 

 

 

 

 

 

Exit mobile version