Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Konsep Islam tentang Kebebasan (Bahagian 1/2)

[Ath-Thariq] Konsep Islam tentang Kebebasan (Bahagian 1/2)

Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat

 

Tidak ada sesuatu pun dalam Islam yang bernama al-hurriyat (kebebasan) dalam makna sebagaimana yang dinyatakan kapitalisme, atau empat kebebasan, yakni kebebasan berakidah, kebebasan kepemilikan, kebebasan berpendapat, dan kebebasan berkeperibadian. Semua yang terdapat dalam Islam adalah kebebasan atau kemerdekaan yang bertentangan dengan perhambaan, yakni memperhambakan manusia pada manusia. Adapun penghambaan seorang manusia pada Sang Pencipta, maka ini menjadi salah satu asasnya.

 

Islam memandang seluruh manusia sebagai hamba Allah Swt., kerana Allah Swt. telah menciptakan dan memberikan rezeki dan menguasai mereka, Dia-lah Zat yang menghidupkan dan mematikan mereka serta yang akan membangkitkan dan menghisab mereka. Adapun pernyataan yang dikaitkan dengan Umar bin Khattab ra., “Mengapa kalian memperhambakan manusia, padahal ibu-ibu mereka telah melahirkannya dalam keadaan merdeka,” maka ini merupakan kiasan penolakan Islam atas segala bentuk perhambaan manusia pada saudaranya (manusia).

 

Oleh kerana itu, tidak ada yang disebut kebebasan berakidah ataupun kebebasan beribadah dalam Islam, tiada lain kerana jika seseorang masuk dan memeluk Islam, maka dia diwajibkan untuk meyakini seluruh arkan al-aqidah (pilar-pilar akidah) dan juga diwajibkan untuk menyembah Allah dengan cara yang telah ditetapkan Islam dalam aturan ibadah. Dengan demikian, seseorang silanya, tidak boleh melakukan solat asar lima rakaat atau tiga rakaat, tetapi dia hendaklah mendekatkan diri kepada Allah dengan menggunakan metode solat yang telah ditetapkan aturan ibadat dalam Islam.

 

Adapun berkaitan dengan firman Allah Swt.,

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat.” (TMQ Al-Baqarah: 256).

 

maka ayat ini berkaitan dengan orang-orang yang belum masuk Islam. Islam menetapkan bahawa mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam, kerana masuk dan memeluk Islam hendaklah didasarkan pada keyakinan seseorang akan kebenaran Islam. Jika dia merasa yakin, dia mestilah beriman dengan seluruh bahagian akidah yang lain dan dia perlulah berkomitmen dengan segenap ibadah yang wajib dilaksanakan.

 

Dalam Islam pun tidak ada huriyat al-sakhshiyah (kebebasan berkeperibadian), maka kemudian seorang muslim tidak boleh memperlakukan tubuhnya sebagaimana yang dia inginkan sesuka hati kerana tubuhnya itu bukan miliknya, tetapi merupakan amanat dari Allah yang diberikan padanya. Oleh kerana itu, bunuh diri diharamkan dalam Islam.

 

Rasulullah saw. bersabda,

“Barang siapa yang membunuh dirinya dengan besi (benda tajam), maka besi yang ada di tangannya akan dipukulkan ke dalam perutnya dalam neraka jahanam, sedangkan dia kekal di dalamnya.”

 

Begitu pula zina diharamkan dan merupakan sebuah kejahatan (dosa), baik dengan paksaan atau adanya kerelaan dari kedua belah pihak. Allah Swt. berfirman,

 

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (TMQ Al-Isra: 32).

 

Rasulullah saw. bersabda,

“Tidak diperbolehkan seorang lelaki dengan seorang wanita berkhalwat (berdua- duaan), kecuali jika wanita itu disertai mahram-nya.”

 

Jika seseorang berzina, dia akan dihukum; jika berkhalwat dengan seorang wanita tanpa mahram, akan dihukum pula; dan jika mengubah bentuk tubuhnya tanpa pembahasan atau alasan yang boleh dibenarkan hukum syarak, maka dia pun akan dihukum. Oleh kerana itu, jelaslah bahawa perilaku peribadi atau kebebasan berkeperibadian, tidak ada tempat bagi keduanya dalam Islam. Hal ini kerana seorang muslim diwajibkan untuk mengarahkan aspek ini berdasarkan perintah dan larangan Allah Swt.. Jika tidak, dia akan dihukum di dunia dan akan diseksa di neraka pada hari kiamat kelak.

 

Begitu juga kebebasan berpendapat yang membawa maksud bahawa seseorang bebas untuk mengatakan apa pun, mengemukakan pendapatnya dengan cara apa pun, tanpa kecuali, maka tidak termasuk ajaran Islam. Islam membolehkan seorang muslim untuk menyampaikan sebuah perkataan yang baik, berguna, dan selaras dengan hukum syarak. Rasulullah saw. bersabda,

 

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau (bila tidak mampu) diam.”

 

Rasulullah saw. bersabda tentang pendapat yang berkaitan dengan amar makruf nahi mungkar,

“Pemimpin para syuhada adalah Hamzah dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim, dia memerintahkannya pada kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran, lalu dia dibunuh oleh raja.”

 

Beliau saw. bersabda,

“Jihad yang paling utama adalah mengatakan kebenaran di depan penguasa yang zalim.”

 

Ini berkaitan dengan perkataan yang dianjurkan atau pendapat yang baik.

 

[Bersambung ke bahagian 2/2]

 

Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

 

Exit mobile version