[Pemikiran Politik Islam] Pengalaman Politik
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Salah satu syarat menjadi seorang ahli politik adalah berpengalaman politik. Seseorang dapat berpengalaman politik dari keterlibatannya dalam politik dan melakukan aktiviti-aktiviti politik sehingga dia layak dijuluki sebagai ahli politik. Namun, boleh juga tanpa melakukan aktiviti politik, misalnya ahli politik akademik. Seseorang disebut berpengalaman politik apabila dia mempunyai tiga perkara penting, iaitu informasi politik, pengetahuan yang berkesinambungan mengenai berita/peristiwa politik, dan pilihan yang baik mengenai berita politik.
Informasi politik merujuk pada informasi sejarah (khususnya fakta-fakta sejarah), informasi mengenai berbagai kejadian dan peristiwa, serta berbagai aktiviti dan individu-individu yang berkaitan. Semua ditinjau dari sudut pandang politik. Informasi politik boleh berupa informasi tentang hubungan politik antara individu dan negara, serta pemikiran-pemikiran mereka.
Informasi ini mengungkap makna pemikiran politik dari berbagai berita, aktiviti politik, atau suatu prinsip, baik berupa suatu keyakinan atau suatu hukum. Tanpa informasi tersebut, pemikiran politik tidak akan dapat difahami, secerdas dan segenius apa pun seseorang itu. Hal ini disebabkan kerana ini merupakan masalah pemahaman, bukan masalah kecerdasan akal.
Keperluan terhadap berita-berita mutakhir, khususnya berita politik, timbul kerana berita-berita tersebut merupakan informasi mengenai kejadian dan peristiwa politik mutakhir yang menjadi objek yang perlu difahami, dipelajari, dan dikenali. Sesungguhnya urusan kehidupan sangat bervariasi, mudah berubah, dan adakalanya saling bertentangan. Dengan demikian, perlu terus-menerus diikuti agar kita senantiasa sedar terhadap kehadirannya.
Dengan kata lain, informasi tentang berbagai aktiviti politik mutakhir perlu senantiasa difahami. Dengan demikian, mereka mampu menghadapi berbagai aktiviti politik yang muncul di depannya pada waktu yang tepat. Tanpa memutakhirkan (update) pengetahuannya, seorang ahli politik akan kehilangan momentum yang tepat dalam menghadapi permasalahan politik.
Oleh sebab itu, sangat penting bagi para ahli politik untuk berusaha dengan sungguh-sungguh mengikuti perkembangan peristiwa dan berita, tanpa ketinggalan satu pun peristiwa atau berita, baik yang penting maupun tidak. Dia perlu bersedia untuk bersusah payah mengumpulkan informasi, meski bagaikan mencari sebatang jarum dalam setumpuk jerami.
Tiada seorang pun mengetahui bila suatu kejadian penting akan terjadi sehingga seseorang itu perlu mengikuti setiap peristiwa dan berita, penting mahupun tidak penting. Ini kerana setiap peristiwa merupakan mata rantai yang saling berhubungan. Apabila satu mata rantai hilang, rantai tersebut tidak dapat disatukan sehingga permasalahan menjadi sukar difahami.
Apabila rantai tidak dapat disatukan, sangat mungkin terjadi kesalahan dalam memahami permasalahan, lalu menghubungkan situasi dengan kejadian atau pemikiran yang sudah tidak lagi ada. Oleh sebab itu, seseorang itu perlu mengikuti setiap peristiwa dan berita secara berkesinambungan untuk dapat memahami permasalahan politik dengan sebaik-baiknya.
Pemilihan berita yang baik diperoleh dengan mempertimbangkan semua informasi yang diterima dengan sebaik-baiknya. Seorang ahli politik tidak semestinya mempertimbangkan semua berita yang dia terima. Dia hanya perlu mempertimbangkan berita-berita yang penting saja.
Oleh kerana itu, seorang ahli politik hendaklah mampu menyaring berita-berita yang perlu dipertimbangkan dan yang tidak, meskipun dia perlu mendengarkan semua informasi yang masuk. Dia hanya akan mempertimbangkan berita yang bermanfaat.
Berita yang tidak berguna harus disingkirkan, walaupun berita tersebut memberikan suatu informasi. Jadi, tujuan dalam mengikuti berbagai rangkaian berita adalah untuk mempertimbangkannya, bukan sekadar untuk mendengarkannya.
Sumber: Syeikh Abdul Qodim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

