Site icon MuslimahHTM News

Apabila Pembekal Senjata Terbesar Bercakap Mengenai Gencatan Senjata dan Kedamaian, Inilah Manifestasi Pembohongan dan Kemunafikan yang Sebenar

[Kenyataan Media] Apabila Pembekal Senjata Terbesar Bercakap Mengenai Gencatan Senjata dan Kedamaian, Inilah Manifestasi Pembohongan dan Kemunafikan yang Sebenar

 

Pada akhir bulan lepas Malaysiakini telah melaporkan wawancaranya dengan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan, terkait antara lain kedudukan dan polisi Amerika di Asia Barat, khususnya Palestin. Semasa ditanya mengenai “percanggahan” antara seruan untuk gencatan senjata dan pengurangan konflik di Palestin, tetapi pada masa sama menghantar senjata untuk menyokong ‘Israel’, Kagan menjawab bahawa Washington komited untuk menamatkan pertumpahan darah namun tidak bersedia untuk “berpaling” dari komitmen jangka panjang mereka terhadap keselamatan ‘Israel’. Duta itu juga percaya yang hubungan dan kekuatan komitmen Amerika kepada ‘Israel’ memberi Amerika kredibiliti untuk menjadi pengantara damai di rantau tersebut

 

Duta Amerika itu seolah-olah berkata, “Kami mahukan keamanan di Palestin dan kami mahu menghentikan semua pembunuhan ke atas rakyat Palestin dengan membekalkan ‘Israel’ sebanyak mungkin senjata dan bom yang dikehendaki ‘Israel’ untuk membunuh seluruh rakyat Palestin dan memusnahkan seluruh bumi Palestin!”. Inilah realiti pendirian Amerika! Ia tidak lagi menyembunyikan kemunafikannya apabila berbicara mengenai polisinya di Asia Barat. Sekutu rapat kepada ‘Israel’ dan pembekal senjata terbesar kepada entiti Yahudi tersebut, kini bercakap mengenai gencatan senjata, kedamaian dan penghentian pembunuhan di Palestin! Pembohongan dan kemunafikan apakah lagi yang lebih besar daripada ini?! Sesungguhnya Amerika telah hilang kewarasan mahu pun perasaan malunya apabila bercakap mengenai Palestin!

 

Malaysiakini melaporkan bahawa wawancara dengan Kagan dilakukan atas kunjungan duta Amerika itu ke pejabatnya di Petaling Jaya. Timbul tanda tanya bagaimana orang setaraf Kagan boleh berkunjung ke pejabat Malaysiakini untuk diwawancara, sedangkan Malaysiakini bukanlah corong kerajaan? Tentu ada sesuatu yang “istimewa” dengan Malaysiakini sehingga terpilih oleh wakil negara penjajah terbesar itu untuk dijadikan platform bagi menyampaikan mesejnya kepada rakyat Malaysia!

 

Dalam wawancara tersebut, Duta Amerika itu juga memuji kejayaan demokrasi di Malaysia, selain memuji pemimpin Malaysia yang tahu menghargai kepentingan Asean kepada Amerika. Sebagai seorang yang mewakili suara Amerika di Malaysia, sudah tentu pujian tersebut bukan pujian kosong tetapi ada makna di sebaliknya. Apa yang pasti, pujian itu dilontarkan tatkala Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri. Kita tentu masih ingat semasa lawatan Al Gore ke Malaysia pada tahun 1998, di mana Naib Presiden Amerika itu secara terbuka memuji gerakan reformasi yang diterajui Anwar, sebagai orang-orang yang berani melakukan perubahan terhadap demokrasi, yang memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Mahathir ketika itu. Nampaknya Anwar mempunyai “kedudukan istimewa” di mata Amerika.

 

Sebagai Muslim, kita hendaklah memahami konteks di sebalik pujian dan sokongan Amerika terhadap demokrasi di Malaysia dengan cara yang benar. Sebagai sebuah negara penganut dan penyebar demokrasi di peringkat global, Amerika akan meredhai mana-mana pemimpin dan negara yang mengamalkan demokrasi, lebih-lebih lagi di dunia Islam. Sebaliknya, Amerika akan melabelkan siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan demokrasi, apatah lagi mereka yang ingin menegakkan sebuah negara tanpa melalui jalan demokrasi, sebagai pihak yang radikal, ekstrem, pengganas dan pelbagai label negatif lainnya. Atas dasar itulah, Amerika memusuhi sebarang usaha mendirikan Khilafah, sebuah institusi politik umat Islam, yang mengancam kepentingan Amerika, apabila ia berdiri nanti. Atas dasar itu jugalah, demokrasi menjadi senjata ampuh Amerika bagi menghalang tegaknya Khilafah. Ini kerana, Amerika sangat memahami bahawa selagi umat Islam berpegang kepada demokrasi, selagi itulah Islam akan dapat dicegah daripada tegak berdiri, kerana Khilafah adalah satu-satunya jalan untuk tegaknya Islam secara kaffah.

 

Amerika akan meredhai siapa sahaja yang berpegang teguh dengan demokrasi dan Amerika sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan umat Islam tidak meninggalkan demokrasi. Walaupun dengan satu pujian kecil terhadap demokrasi di Malaysia, sudah cukup bagi Amerika untuk menyampaikan mesej bahawa; “Inilah jalanku, dan inilah satu-satunya jalan yang benar yang aku mahu kamu (wahai umat Islam) berjalan di atasnya, jika kamu mahu mendapat redhaku”. Benarlah firman Allah (swt):

 

﴿ وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti milah mereka” [Al-Baqarah (2): 120].

 

Justeru, ambillah peringatan dan pengajaran wahai kaum Muslimin! Tinggalkanlah demokrasi kerana ia merupakan jalan yang diredhai oleh musuh-musuh Allah (swt), terutamanya Amerika. Di sebalik kejahatan dan kemunafikan Amerika yang jelas lagi nyata, malangnya Malaysia tetap meneruskan hubungan diplomatik dan hubungan dagang, malah mengekalkan kesemua bentuk hubungan baik dengan negara penjajah tersebut. Sudah berlalu sembilan Perdana Menteri sejak Malaysia “merdeka” dan sejak Tanah Palestin Yang Diberkati terjajah, namun tidak ada seorang Perdana Menteri pun, termasuklah yang ke-10 pada hari ini, yang berani menghalau duta Amerika keluar dan menutup kedutaan Amerika di negara ini, sebagai tindak balas terhadap peranan jahat Amerika di Palestin!

 

Berdasarkan fakta dan juga hukum, sesungguhnya kita (umat Islam) sangat memerlukan seorang Khalifah yang amanah lagi berani, yang bukan sahaja tidak akan membenarkan musuh menempatkan duta dan kedutaannya di negara kita, malah yang akan keluar menjunjung perintah Allah (swt) untuk memerangi musuh-Nya sehingga musuh akan dikalahkan, lalu negara mereka akan menjadi sebahagian daripada Khilafah. Mereka akan tunduk kepada Islam dan akan membayar jizyah dalam keadaan tunduk, membenarkan firman Allah (swt):

 

﴿ قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [At-Taubah (9): 29].

 

Abdul Hakim Othman

Jurucakap Rasmi Hizbut Tahrir Malaysia

 

Sumber: mykhilafah

Exit mobile version