Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Penglibatan dalam Politik Merupakan Kewajipan Setiap Muslim

[Pemikiran Politik Islam] Penglibatan dalam Politik Merupakan Kewajipan Setiap Muslim

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada para Amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengakui perbuatannya dan (ada yang) mengingkarinya. Siapa saja yang mengakui perbuatannya (kerana tidak bertentangan dengan hukum syariat), maka dia tidak akan dimintai tanggungjawabnyanya. Dan siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat. Akan tetapi siapa saja di antara kalian yang rela (dengan perbuatannya yang bertentangan dengan hukum syariat) dan mengikutinya, (maka dia telah berdosa).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, apakah kita tidak memerangi mereka itu dengan pedang?” Beliau SAW menjawab, “Tidak, selama mereka menegakkan solat (hukum-hukum Islam).” (HR Muslim dari Ummu Salamah ra.).

 

“Jihad yang paling utama adalah mengatakan kebenaran (al-haq) di hadapan seorang penguasa yang zalim.” (HR Abu Dawud dari Abu Sa’id al-Khudri).

 

Rasulullah SAW juga bersabda, “Penghulu syuhada adalah Hamzah bin ‘Abdul Muththallib dan (yang setara dengannya) seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, menyerukan (kepadanya) untuk berbuat baik dan melarangnya (berbuat kemungkaran), kemudian dia dibunuh.” (HR Al-Hakim dari Jabir ra.).

 

Begitu juga dari ‘Ubadah Ibnu Ash-Shamit berkata, “Rasulullah SAW menyeru kami dan kami pun membaiat beliau. Salah satu bahagian dari baiat tersebut adalah agar kami mendengar dan taat pada saat lapang mahupun sempit, pada saat sukar mahupun senang, dan tidak mengutamakan diri kami. Dan kami tidak boleh merebut kekuasaan dari yang berhak. Sabda Rasulullah SAW, “Kecuali jika kalian melihat kekufuran yang nyata, yang kalian mempunyai bukti yang nyata dari sisi Allah Taala.” (HR Al- Bukhari).

 

Allah SWT berfirman (yang maknanya), “Alif Lâm Mím. Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. Dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam tiga sampai sembilan tahun lagi. Milik Allahlah urusan sebelum dan sesudah kemenangan mereka. Dan pada hari itu (kemenangan bangsa Romawi) bergembiralah orang-orang yang beriman.” (TMQ Ar-Rûm: 1—4).

 

Hadis-hadis dan ayat Al-Quran di atas menunjukkan bahawa penglibatan dalam politik merupakan kewajipan bagi kaum muslim. Hal ini kerana siyasah (politik) secara lughawi bererti memelihara urusan umat. Mengurus kaum muslim sama ertinya dengan mengurus kepentingan hidup mereka. Mengurus kepentingan mereka bererti mengurus mereka dan mengetahui cara penguasa mengatur umatnya. Menentang kebijakan penguasa (yang tidak syarie) merupakan bentuk aktiviti politik, juga bermakna mengurus umat.

 

Menyerukan kebaikan dan melarang perbuatan mungkar terhadap penguasa yang zalim merupakan aktiviti mengurus umat. Begitu juga bersikap kritis dan berseberangan dengan penguasa ini, tidak lain juga merupakan satu bentuk aktiviti mengurus umat dan kepentingan mereka. Perintah dalam hadis ini bersifat tegas.

 

Ini bererti bahawa Allah SWT menuntut kaum muslim dengan tuntutan yang tegas untuk mengurus umat Islam, iaitu dengan melibatkan dirinya dalam aktiviti politik. Dengan demikian, dari sini diketahui bahawa melibatkan diri dalam politik merupakan suatu kewajipan bagi kaum muslim. Penglibatan dalam politik bertujuan melindungi kaum muslim dari kerosakan akibat tindakan penguasa yang zalim dan musuh-musuh umat.

 

Perintah untuk terlibat dalam kehidupan politik sesuai makna hadis-hadis di atas tidak sekadar bertujuan untuk melindung umat dari penguasa yang zalim, tetapi juga dari kerosakan yang disebabkan oleh musuh-musuh Islam. Jarir ibnu ‘Abdullah berkata bahawa dia datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “‘Aku berbaiat kepadamu atas Islam.’ Kemudian, Rasulullah mensyaratkan kepadaku untuk memberi nasihat (an-nushhu) kepada setiap muslim.” (HR Al-Bukhari).

 

Kata an-nushhu pada hadis ini bersifat umum, termasuk memberikan nasihat kepada kaum muslim untuk melindungi mereka dari penguasa yang zalim dan dari musuh-musuh kaum muslim. Ini bererti bahawa kaum muslim perlu terlibat dalam politik dalam negeri, iaitu senantiasa waspada terhadap kepemimpinan penguasa dalam mengurus kepentingan umat.

 

Kaum muslim mesti terlibat dalam politik antarabangsa (politik luar negeri) dengan selalu waspada terhadap rencana dan tindakan negara-negara kafir yang merugikan dan membahayakan umat, serta berusaha mengungkap (membongkar makar, ed.) dan menghentikannya.

 

Oleh sebab itu, kewajipan terlibat dalam politik tidak terbatas pada politik dalam negeri saja, tetapi juga politik luar negeri (antarabangsa). Lebih lanjut, firman Allah SWT, “Alif Lâm Mim. Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. Dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun lagi.” (TMQ Ar-Rum: 1—3).

 

Ayat di atas secara jelas menunjukkan perhatian Rasulullah SAW dan para sahabat terhadap politik luar negeri dan masalah antarabangsa. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu Syihab bahawa dia berkata, “Telah sampai kepadaku khabar bahawa kaum musyrikin telah berdebat dengan kaum muslim di Mekah sebelum Rasulullah SAW hijrah ke Madinah. Mereka berkata, ‘Orang-orang Romawi percaya bahawa mereka adalah ahli kitab dan orang-orang Majusi (ternyata) mengalahkan mereka. Dan kalian menyangka akan dapat mengalahkan kami (kaum Quraisy) dengan kitab yang diturunkan kepada nabi kalian. Bagaimana orang Majusi dapat mengalahkan Romawi, sedangkan mereka (Romawi) adalah ahlulkitab? Oleh kerana itu, kami akan mengalahkan kalian sebagaimana Persia mengalahkan Romawi.’ Kemudian Allah SWT menurunkan ayat di atas.”

 

Riwayat ini membuktikan bahawa kaum muslim di Mekah sejak sebelum berdirinya negara Islam telah melakukan perdebatan dengan orang-orang kafir mengenai berbagai masalah luar negeri dan hubungan antarabangsa. Dalam riwayat tersebut dikatakan bahawa Abu Bakar ra. bertaruh dengan orang-orang kafir bahawa bangsa Romawi akan menjadi pemenang.

 

Abu Bakar ra. melaporkan pertaruhannya tersebut kepada Rasulullah SAW dan beliau menyatakan persetujuannya. Kemudian, beliau meminta Abu Bakar ra. menangguhkan masa pertaruhannya dengan menjadikan beliau sebagai teman bertaruhnya. Riwayat ini menunjukkan bahawa pemahaman terhadap permasalahan dan hubungan antarabangsa telah dilakukan oleh kaum muslim sejak awal keberadaannya dan hal itu disetujui oleh Rasulullah ﷺ.

 

Selain itu, kaum muslim berkewajipan menyampaikan dakwah ke seluruh dunia. Kaum muslim tidak akan dapat melaksanakan tugas itu tanpa kewaspadaan dan pemahaman terhadap kebijakan negara-negara lain. Oleh sebab itu, pemahaman terhadap politik antarabangsa dan politik negara-negara lain yang akan disampaikan dakwah kepada rakyatnya dan menolak makar mereka kepada kaum muslim merupakan fardhu kifayah bagi kaum muslim.

 

Dengan demikian, pemahaman terhadap politik dan hubungan antarabangsa merupakan fardhu kifayah bagi kaum muslim. Hal ini sesuai dengan kenyataan bahawa penyampaian dakwah serta usaha melindungi umat merupakan kewajipan atas kaum muslim. Kewajipan tersebut tidak dapat dipenuhi, kecuali dengan memahami sepenuhnya politik dan hubungan antarabangsa.

 

Kaedah syariat menyatakan, “Sesuatu yang menyebabkan tidak sempurnanya suatu kewajipan, kecuali hanya dengan adanya sesuatu itu, maka ia (sesuatu itu) menjadi wajib.”

 

Oleh kerana itu, memahami dan melaksanakan politik antarabangsa merupakan fardhu kifayah atas kaum muslim. Syariat telah membebani kaum muslim untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia. Dengan demikian, merupakan kewajipan pula untuk selalu berhubungan dengan masyarakat antarabangsa, senantiasa waspada terhadap situasi antarabangsa, menyedari permasalahannya, serta mengetahui motif setiap negara dan bangsa. Kemudian, selalu mengikuti setiap aktiviti politik yang dilakukan negara-negara tersebut, mengamati gaya politik dan hubungan antarabangsa mereka, serta memantau setiap manuver politik yang dilakukannya.

 

Aktiviti penguasa terhadap negara-negara lain merupakan sebahagian dari politik luar negeri suatu negara. Jadi, aktiviti tersebut merupakan bahagian yang akan dimuhasabah. Kaedah syariat yang menyatakan, “Sesuatu yang diperlukan untuk memenuhi suatu kewajipan, maka sesuatu itu merupakan kewajipan” menunjukkan bahawa pemahaman tentang aktiviti dan tindakan negara (pemerintah) dalam melaksanakan tugasnya mengurusi kepentingan umat dan melaksanakan politik antarabangsa (merupakan suatu kewajipan).

 

Hal ini sesuai dengan kenyataan bahawa tidak mungkin kaum muslim dapat melaksanakan tugasnya dalam kehidupan politik, yakni memuhasabah pemerintah (penguasa) tanpa memahami sikap dan aktivitinya. Apabila sikap dan aktivitinya tidak dapat diketahui dengan pasti, mustahil kaum muslim dapat melaksanakan aktiviti politik secara benar.

 

Atas dasar alasan-alasan di atas, telah jelas bahawa melaksanakan aktiviti politik, baik dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri, merupakan fardhu kifayah atas kaum muslim. Apabila kewajipan tersebut tidak dilaksanakan, mereka akan menerima beban dosa.

 

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version