[Ath-Thariq] Para Pembantu Khalifah (Mu’awin) dan Para Wali (Al-Wulat)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Para Pembantu Khalifah (Mu’awin)
Para pembantu khalifah membantu khalifah untuk memikul tanggungjawab pemerintahan dan mengatur berbagai perkara dengan pendapat dan ijtihadnya. Para pembantu khalifah (al-mu’awin) itu terbahagi dua, yakni mu’awin tanfidz yang tugasnya melaksanakan apa yang diperintahkan oleh khalifah sehingga dia tidak boleh melakukan hal selain itu. Dan mu’awin tafwidh yang dia tidak menunggu perintah khalifah untuk melaksanakan segala urusannya, tetapi dia melaksanakan apa yang menurut pandangannya baik (soleh), kemudian memberitahukan apa yang telah dilakukannya kepada khalifah. Tirmidzi telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Dua pembantuku di bumi adalah Abu Bakar dan Umar.”
Para mu’awin ini dalam sistem Islam tidaklah sebagaimana menteri-menteri dalam sistem kapitalisme. Adapun titik perbezaan yang paling jelas adalah bahawa para mu’awin yang membantu khalifah dalam semua perkara yang diurus oleh negara, tidak hanya mengurusi satu bidang saja sebagaimana halnya menteri (wazir) dalam sistem demokrasi. Di dalam sistem demokrasi itu ada menteri perindustrian, yang lainnya menteri pendidikan, menteri kesihatan, dan sebagainya dan tidak dipilih.
- Para Wali (Al-Wulat)
Sedikit sebanyak jawatan ini menyamai kedudukan penguasa wilayah pada hari ini. Oleh kerana itu, seorang wali menjadi wakil khalifah (naib al-khalifah) untuk memerintah dan mengurus suatu daerah atau negeri. Kekuasaan wali ditentukan oleh khalifah dengan adanya akad tertentu antara keduanya. Adapun syarat menjadi wali itu sama dengan syarat yang diperuntukkan bagi khalifah dan para pembantunya.
Seorang wali bertanggungjawab di depan khalifah dan majlis syura, dan boleh dipecat oleh khalifah jika diadukan oleh majlis syura. Wilayah dibahagi ke dalam beberapa imalah (setingkat daerah), penanggungjawab imalah disebut amil. Adapun kekuasaan dan syarat-syarat amil itu sebagaimana kekuasaan dan syarat seorang wali.
Telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW bahawasanya beliau SAW telah mengangkat beberapa orang wali untuk memerintah beberapa negeri dan memberikan kewajipan mengurus negeri-negeri tersebut kepada mereka. Beliau telah mengangkat Muadz bin Jabal di Janad, Ziyad bin Labid di Hadramaut, Abu Musa al-Asy’ari di Zabid, dan Amr bin Hazm di Yaman.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

