Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Pemerintahan menurut Hukum Islam (Bahagian 2/2)

[Pemikiran Politik Islam] Pemerintahan menurut Hukum Islam (Bahagian 2/2)

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

[Sambungan dari Bahagian 1/2]

 

“Jika engkau menemui mereka dalam peperangan, maka cerat-beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka supaya mereka mengambil pelajaran. Dan jika engkau khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.” (TMQ Al-Anfal: 57—58).

 

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.” (TMQ Al-Anfal: 61).

 

Allah SWT juga berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah perjanjian-perjanjian itu.” (TMQ Al-Ma’idah: 1).

 

“Dan janganlah sebahagian kalian memakan harta sebahagian yang lain di antara kalian dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kalian membawa (urusan) harta itu kepada hakim dengan tujuan supaya kalian dapat memakan sebahagian harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui.” (TMQ Al-Baqarah: 188).

 

“Dan pada hukum qishas itu ada (jaminan) hidup bagi kalian, hai orang-orang yang berakal supaya kalian bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah: 179).

 

“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan Allah.” (TMQ Al-Ma’idah: 38).

 

Allah SWT berfirman, “Kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak) kalian untuk kalian, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” (TMQ Ath-Thalaq: 6).

 

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan bagi orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya.” (TMQ Ath-Thalaq: 7).

 

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu engkau (membersihkan dan) menyucikan mereka.” (TMQ At Taubah: 103).

 

Dengan demikian, kita menemukan berbagai pedoman mengenai masalah awam, ketenteraan, jenayah, politik, dan kewangan yang tercantum dengan jelas dalam ratusan ayat, selain hadis-hadis yang sangat banyak. Semuanya itu diturunkan untuk dijadikan sumber peraturan, diterapkan, dan dilaksanakan oleh penguasa.

 

Seluruh peraturan itu telah dipraktikkan pada masa Rasulullah SAW, Khulafau Rasyidin, dan para khalifah setelah itu. Hal ini membuktikan bahawa Islam merupakan suatu sistem negara dan pemerintahan untuk mengatur masyarakat, kehidupan, umat, dan setiap peribadi.

 

Keterangan di atas menunjukkan bahawa negara tidak berkuasa untuk memerintah, kecuali sesuai dengan sistem Islam. Islam tidak akan terwujud dalam kehidupan sampai ditegakkan dalam suatu negara yang menerapkan hukum-hukumnya. Islam merupakan suatu agama, sedangkan ideologi serta sistem pemerintahan merupakan sebahagian daripadanya.

 

Tegaknya negara adalah satu-satunya metode (thariqah) yang disyariatkan untuk menerapkan hukum-hukum Islam dalam kehidupan manusia. Islam tidak dapat benar-benar diwujudkan dalam kehidupan, kecuali ia memiliki institusi negara yang menerapkan hukum-hukumnya dalam segala aspek.

 

Negara Islam adalah suatu institusi politik yang manusiawi, bukan institusi ketuhanan (teokrasi) yang membawa pesan-pesan spiritual semata. Negara Islam juga bukan institusi yang memiliki sifat suci, demikian pula ketua negaranya tidak memiliki sifat maksum (terpelihara dari dosa dan kesalahan).

 

Sistem pemerintahan Islam adalah sistem yang menjelaskan tentang bentuk negara, karakter, asas, pilar-pilar, struktur, dasar-dasarnya, pemikiran-pemikirannya, konsep-konsepnya, dan kriteria-kriteria yang mengatur berbagai urusan, serta perlembagaan dan undang-undang yang digunakan.

 

Islam merupakan sistem yang khas dan unik untuk sebuah negara yang khas dan unik. Sistem Islam sama sekali berbeza dengan sistem-sistem pemerintahan yang ada. Perbezaan tersebut dapat kita lihat dari dasar-dasar sistem, pemikiran, konsep, dan ukuran-ukuran yang digunakan dalam mengatur urusan umat. Perbezaan tersebut juga jelas boleh dilihat dari bentuk pemerintahan dan undang-undang, serta peraturan-peraturan yang digunakannya.

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version