[Pemikiran Politik Islam] Tanggungjawab Umum (Bahagian 3/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Para pemimpin diwajibkan untuk memerintah hanya dengan Al-Quran dan Sunnah. Allah memperkenankan ijtihad berdasar Al-Quran dan Sunnah, iaitu dengan mengerahkan segenap kemampuan dalam memahami dan menggali suatu hukum dari Al-Quran dan Sunnah.
Diriwayatkan bahawa pada saat Rasulullah SAW mengutus Mu’adz ke Yaman, beliau bertanya kepada Mu’adz, “Dengan apa engkau akan memutuskan perkara?” Mu’adz menjawab, “Aku akan memutuskan dengan Kitabullah.” Rasul kembali bertanya, “Dengan apa lagi apabila engkau tidak menemukannya dalam kitabullah?” Mu’adz menjawab, “Dengan Sunnah Rasulullah.” Rasul bertanya lagi, “Dengan apa lagi apabila engkau (masih) tidak menemukannya di dalam Sunnah?” Mu’adz berkata, “Aku akan berijtihad.” Kemudian, beliau memukul dadaku dan bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah ke jalan yang disukai Allah dan Rasul-Nya.” (HR Ahmad, Abu Dawud, At-Tirimidzi, Al-Baihaqi).
Namun demikian, Allah SWT tetap akan memberikan pahala kepada pemimpin (hakim) yang membuat kesalahan dalam berijtihad. Hal ini mendorong para pemimpin untuk melakukan ijtihad dan menjauhkannya dari ketidakluwesan (tidak fleksibel) akibat pemahaman yang terbatas hanya pada makna teks yang tersurat.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Amr ibnu al-‘Ash menuturkan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang penguasa memutuskan perkara, lalu dia berijtihad, dan kemudian menghasilkan ijtihad yang benar, maka dia akan mendapat dua pahala. Sedangkan apabila dia memutuskan perkara, lalu berijtihad, kemudian dia menghasilkan ijtihad yang keliru, maka dia akan mendapat satu pahala.”
Allah SWT telah menentukan agar para pemimpin memerintah hanya dengan hukum Islam, tidak dengan yang lain. Walaupun Allah SWT memberikan hak kepada para pemimpin untuk berijtihad sekalipun menghasilkan ijtihad yang salah, tetapi perlu ditekankan di sini bahawa peraturan yang mereka buat hendaklah berasal dari Islam.
Bukan hanya itu, Islam melarang penggunaan hukum-hukum selain dari Islam. Demikian pula dilarang mencari hukum-hukum dari sumber-sumber selain Islam atau mencampuradukkan hukum Islam dengan hukum lain. Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah, “Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” (TMQ Al Maidah: 48).
Allah SWT juga berfirman, “Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah engkau terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkanmu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu.” (TMQ Al-Ma’idah: 49).
Pernyataan pada ayat tersebut ditujukan kepada Rasulullah SAW, bererti ditujukan juga kepada seluruh umat dan kepada setiap pemimpin. Imam Muslim meriwayatkan dari ‘A’isyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa membuat perkara baru dalam urusan (din) kami yang bukan menjadi bahagian darinya, maka akan tertolak.”
Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa melakukan suatu perbuatan yang tidak berdasarkan ketetapan darı kami, maka ia tertolak.”
Selain itu, Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari ‘Ubaidillah ibnu ‘Abdillah bahawa Ibnu ‘Abbâs berkata, “Wahai sekalian kaum muslim, bagaimana mungkin kalian boleh bertanya kepada para Ahli Kitab, sementara kitab kalian yang diturunkan (Allah) kepada Rasulullah adalah kitab yang paling akhir? Kalian senantiasa membacanya tanpa tercampur. Allah pun telah menjelaskan kepada kalian bahawa para Ahli Kitab telah mengganti Kitabullah dan mengubahnya dengan tangan-tangan mereka, lalu mengatakan, ‘Kitab ini dari Allah.’ (agar mereka boleh menjualnya dengan harga yang murah.) Tidakkah pengetahuan yang kalian peroleh mencegah kalian dari bertanya kepada mereka? Tidak, demi Allah, kita pun tidak pernah melihat seorang pun dari mereka yang bertanya kepada kalian tentang kitab yang diturunkan kepada kalian.”
Pernyataan-pernyataan di atas jelas menunjukkan dengan apa sepatutnya para pemimpin mengurus umatnya. Tanggungjawab pemimpin adalah memerintah dengan apa yang telah Allah SWT turunkan, yakni Al-Quran dan Sunnah.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

