[Pemikiran Politik Islam] Tanggungjawab Umum (Bahagian 5/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Dalam riwayat Muslim disebutkan, “Siapa saja yang membenci perbuatannya (kerana bertentangan dengan hukum syariat), maka dia tidak dimintai tanggungjawabnya. Siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat, tetapi siapa saja yang rela dan mengikutinya (maka dia berdosa).”
Dalam riwayat Muslim yang lain disebutkan, “Siapa saja yang membenci perbuatannya (kerana bertentangan dengan hukum syariat), maka dia terlepas (dari dosa). Siapa saja yang mengingkari perbuatannya, maka dia akan selamat, tetapi siapa saja yang rela dan mengikutinya (maka dia berdosa).”
An-Nawawi menjelaskan hadis ini dengan menyatakan, “Ucapan Rasulullah, (Faman kariha faqad bari’a, ‘Siapa saja yang menolak (perbuatan mungkar tersebut) akan selamat’) bererti bahawa orang yang membenci kemungkaran tersebut akan selamat dari dosa dan hukuman yang akan menimpa mereka (pemimpin tersebut). Ini bagi orang yang tidak mampu mengingkarinya dengan tangannya mahupun lisannya sehingga hendaklah dia membenci dengan hatinya dan berlepas diri (dari kemungkaran pemimpin tersebut).”
Adapun yang meriwayatkan hadis ini dengan redaksi (“faman ‘arafa bari’a, Siapa saja yang mengenali, maka sungguh akan selamat”), maknanya (dan Allah yang lebih mengetahui) adalah bahawa siapa saja yang mengenali perbuatan mungkar tanpa keraguan, maka pengetahuannya tersebut dapat menjadi jalan baginya untuk terlepas dari dosa dan hukuman yang akan menimpa pemimpin yang melakukan kemungkaran tersebut. Caranya, dia mengubahnya dengan tangan atau mulutnya. Namun apabila dia tidak mampu, hendaklah dia membenci perbuatan itu dalam hatinya. Ucapan “Tetapi siapa saja yang menerima dan mengikuti” bererti bahawa siapa saja yang menerima kemungkaran itu di dalam hati dan mengikutinya dalam perbuatan, maka dia tidak akan selamat dan tidak terbebas dari dosa.”
Pada hadis ini, Rasulullah SAW memerintahkan kita menentang tindakan salah dari para pemimpin. Beliau SAW mewajibkan kita bermuhasabah (berintrospeksi) dengan cara apa pun, baik menggunakan tangan atau melalui tindakan fizikal, sejauh tidak mengakibatkan peperangan atau tanpa menggunakan senjata.
Muhasabah juga dapat dilakukan menggunakan lisan melalui berbagai pernyataan, atau dengan hati apabila tidak mampu menggunakan tangan dan mulutnya. Siapa saja yang tidak menentang perbuatan salah para pemimpin akan berdosa di hadapan Allah SWT, sebagaimana pernyataan dalam hadis tersebut bahawa, “Siapa saja yang rela dan mengikutinya (perbuatan mungkar), maka dia akan berdosa.”
Namun demikian, penolakan dan penentangan ini hanya diterapkan manakala para pemimpin tersebut melakukan perbuatan yang haram, sedangkan mereka memerintah berdasarkan sistem Islam secara umum. Dalam kes di mana mereka tidak lagi menerapkan Islam dan melaksanakan peraturan-peraturan kufur, penolakan dengan tangan, mulut, dan hati tidaklah cukup.
Islam menjadikan peperangan bersenjata sebagai cara untuk mengubah tindakan mereka. Pada hadis Ummu Salamah ra. tersebut diungkapkan bahawa para sahabat bertanya, “Jadi, apakah kita tidak memerangi mereka?” Beliau menjawab, “Tidak, selama mereka masih solat (menerapkan hukum-hukum Islam).”
Dalam riwayat lain disebutkan, “Apakah kita tidak memerangi mereka, ya Rasulullah?” Rasul menjawab, “Tidak, selama mereka melakukan solat.”
Pada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari ‘Auf ibnu Malik disebutkan, “Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah kita tidak perangi saja mereka itu dengan pedang?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat di antara kalian.’”
Di dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan, “Kami mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, apakah kita tidak memerangi mereka itu ketika mereka berbuat demikian (memerintah dengan peraturan yang haram)?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, selama mereka menegakkan solat di antara kalian.’”
Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Ubâdah ibnu ash- Shâmit berkata, “Rasulullah memanggil kami dan kami berbaiat kepadanya. Sebahagian dari baiat tersebut adalah agar kami mendengar dan mematuhi Rasul, baik pada saat lapang mahupun pada saat sempit, pada saat mudah mahupun pada masa sulit, dan untuk tidak mengutamakan diri kami dan hendaklah kami tidak merebut kekuasaan dari yang berhak. Beliau kemudian melanjutkan, ‘Kecuali kalian melihat kekufuran yang nyata dan mendapati bukti yang jelas dari Allah tentang itu.’”
Makna dari hadis ini adalah bahawa kita boleh memerangi para pemimpin negara Islam hanya setelah kita melihat mereka melakukan kekufuran yang nyata atau apabila mereka tidak lagi menegakkan solat. Menegakkan solat dalam hubungan dengan tanggungjawab penguasa bermakna memerintah berdasarkan peraturan-peraturan Islam.
Dengan kata lain, selama mereka memerintah dengan hukum-hukum Islam, umat tidak diperkenankan mengangkat senjata dan memberontak kepadanya. Namun, apabila para pemimpin tersebut memerintah dengan peraturan selain dari Islam, maka mereka hendaklah diperangi. Berdasarkan parameter ini, Islam telah menjamin sepenuhnya pelaksanaan kewajipan dan tanggungjawab umum para pemimpin negara Islam.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

