[Pemikiran Politik Islam] Mendirikan Parti Politik Adalah Fardhu Kifayah
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Memuhasabah pemerintah sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada kaum muslim boleh dilakukan secara sendiri-sendiri atau berkelompok. Allah SWT mewajibkan kaum muslim untuk menyeru kepada Islam, menyuruh berbuat kebaikan (makruf) dan melarang keburukan (mungkar), serta memuhasabah pemerintahan. Allah SWT juga memerintahkan umat Islam untuk mendirikan organisasi politik di kalangan kaum muslim.
Kelompok ini akan menyerukan kebaikan (al-khair), iaitu Islam, menyuruh berbuat makruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, serta memuhasabah pemerintah. Ini sebagaimana firman Allah SWT, “Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh berbuat baik, dan mencegah perbuatan mungkar.” (TMQ Ali Imran: 104).
Ayat ini bermaksud agar kaum muslim mendirikan suatu jemaah di antara mereka yang memiliki sifat-sifat sebagai suatu organisasi dan melaksanakan dua fungsi, iaitu beraktiviti menyeru kepada Islam, serta menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan yang mungkar.
Tuntutan untuk mendirikan suatu organisasi merupakan bentuk tuntutan yang tegas. Ini kerana tugas jemaah (kelompok) yang ditunjukkan ayat tersebut merupakan kewajipan bagi kaum muslim sebagaimana disebutkan dalam banyak ayat dan hadis. Tugas wajib jemaah itu menunjukkan suatu qarinah (indikasi) yang menjadikan tuntutan pendirian kelompok tersebut sebagai tuntutan yang tegas.
Dengan demikian, perintah pada ayat tersebut merupakan suatu bentuk kewajipan. Tugas itu adalah fardhu kifayah bagi kaum muslim. Maksudnya, apabila kewajipan tersebut telah dilaksanakan oleh sebahagian orang, maka terlepaslah beban kewajipan tersebut dari kaum muslim lainnya. Kewajipan tersebut bukan kewajipan peribadi setiap muslim (fardhu ain). Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT yang memerintahkan kaum muslim untuk mendirikan suatu jemaah dari kalangan mereka yang menyerukan kebaikan, menyuruh berbuat baik, dan melarang perbuatan yang munkar.
Allah SWT tidak memerintahkan seluruh kaum muslim untuk melakukan peranan ini. Allah SWT hanya memerintahkan kaum muslim untuk mendirikan suatu jemaah di kalangan mereka untuk melaksanakan kewajipan tersebut. Dengan demikian, subjek perintah dalam ayat tersebut terfokus pada pendirian suatu jemaah, bukan pada pelaksanaan kedua fungsi tersebut. Kedua fungsi itu hanya merupakan penjelasan tentang tindakan yang perlu dilakukan jemaah tersebut. Dengan demikian, keduanya merupakan suatu gambaran mengenai jenis jemaah yang wajib didirikan.
Agar dapat melaksanakan kedua fungsi tersebut, suatu jemaah mestilah memenuhi sejumlah persyaratan. Yang pertama, jemaah itu mestilah memiliki suatu ikatan yang menyatukan setiap anggotanya. Dengan demikian, mereka dapat membentuk satu tubuh sebagaimana sebuah kelompok (kutlah).
Tanpa adanya ikatan tersebut, tidak akan terwujud suatu jemaah yang mampu menjalankan fungsinya sebagai suatu organisasi. Selanjutnya, setiap organisasi mestilah mempunyai seorang pemimpin (amir) yang wajib ditaati. Hal ini sesuai dengan perintah syariat yang mewajibkan setiap jemaah yang terdiri dari tiga orang atau lebih untuk memiliki seorang amir. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak halal bagi tiga orang yang ada di padang Sahara, kecuali mereka mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai amır (pemimpin).”
Kedua persyaratan tersebut (iaitu ikatan yang menyatukan tiap anggota jemaah dan seorang pemimpin kelompok) sesuai firman Allah SWT, “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat…” Ini bermakna bahawa hendaklah ada di antara umat, suatu jemaah orang yang memiliki ikatan antara anggotanya dan seorang pemimpin yang ditaati.
Kelompok itu dapat disebut sebagai organisasi, persatuan, parti, atau sebutan lain yang menggambarkannya sebagai suatu jemaah yang mampu menjalankan fungsinya sebagai suatu organisasi. Dengan demikian, jelas bahawa ayat Al-Quran tersebut memerintahkan pendirian kelompok-kelompok, organisasi-organisasi, parti-parti, persatuan-persatuan, dan berbagai bentuk kelompok lainnya.
Dapat difahami bahawa ayat tersebut memerintahkan pendirian jemaah politik di kalangan umat. Pemahaman ini diambil dari kenyataan bahawa ayat tersebut telah menentukan aktiviti jemaah, iaitu menyeru kepada Islam, serta memerintahkan kebaikan dan mencegah perbuatan yang mungkar. Aktiviti memerintahkan kebaikan (al-amru bil makruf) dan mencegah perbuatan yang mungkar (an-nahyu ‘anil munkar) tersebut bersifat umum sehingga termasuk juga memerintahkan penguasa untuk berbuat baik dan melarangnya berbuat yang mungkar.
Ini bermakna ada kewajipan untuk memuhasabah penguasa. Aktiviti memuhasabah pemerintah atau penguasa merupakan aktiviti yang bersifat politik, sekaligus merupakan tanggungjawab parti politik. Bahkan sesungguhnya, tugas memuhasabah penguasa merupakan tugas terpenting daripada parti-parti politik.
Dengan demikian, dapat difahami bahawa ayat tersebut mewajibkan pendirian parti-parti politik untuk menyeru kepada Islam, memerintahkan kebaikan, dan melarang perbuatan yang mungkar, serta memuhasabah setiap tindakan dan aktiviti penguasa/pemerintah.
Parti-parti tersebut sepatutnya merupakan parti Islam yang berlandaskan akidah Islam dan mengadopsi hukum-hukum syariat. Tidak dibenarkan parti-parti berlandaskan ideologi komunisme, sosialisme, kapitalisme, nasionalisme, patriotisme, atau parti yang menyerukan pemikiran-pemikiran demokrasi, sekularisme, atau freemasonry.
Begitu juga, parti-parti tersebut haram didirikan di atas dasar selain akidah Islam atau mengadopsi selain hukum syariat. Ini kerana ayat Al-Quran tersebut (QS Ali ‘Imran: 104) telah menentukan karakteristik parti-parti tersebut dengan menjelaskan aktiviti-aktiviti yang perlu mereka lakukan. Aktiviti parti-parti tersebut adalah menyeru kepada Islam, memerintahkan perbuatan yang baik, dan melarang perbuatan yang mungkar.
Parti yang terlibat dalam aktiviti tersebut mestilah merupakan parti Islam, berlandaskan akidah Islam, dan mengadopsi hukum-hukum syariat. Parti-parti yang didirikan atas dasar ideologi komunisme, sosialisme, kapitalisme, dan nasionalisme, serta menyebarluaskan konsep-konsep demokrasi, sekularisme, masonisme (idea freemasonry), atau patriotisme tidak mungkin menegakkan asas Islam, membawa misi-misi Islam, serta mengadopsi hukum-hukum Islam.
Parti-parti tersebut merupakan parti yang menegakkan asas kufur dan mengemban pemikiran-pemikiran kufur. Oleh sebab itu, seorang muslim diharamkan mendirikan atau ikut terlibat dalam organisasi politik yang berasaskan ideologi komunisme, sosialisme, kapitalisme, demokrasi, sekularime, masonisme, nasionalisme, patriotisme, atau asas lainnya, selain asas Islam.
Selain itu, parti-parti yang bertujuan menyeru kepada Islam, memerintahkan kebaikan, dan melarang perbuatan mungkar merupakan parti yang sah (terbuka) dan tidak bersifat rahsia. Hal ini kerana aktiviti menyeru kepada Islam, memerintahkan berbuat makruf dan melarang perbuatan mungkar, memuhasabah penguasa dan pemerintahan, serta beraktiviti untuk memperoleh kekuasaan melalui umat merupakan aktiviti yang terbuka, tidak secara rahsia atau sembunyi-sembunyi.
Lebih-lebih lagi, aktiviti mereka tidak boleh berupa aktiviti fizikal (tindakan fizikal). Ini kerana sesungguhnya aktiviti mereka bersifat verbal (dengan ucapan, mahupun tulisan), yakni menyeru kepada Islam, memerintahkan berbuat makruf, dan melarang perbuatan mungkar secara verbal.
Dengan demikian, tindakan mereka mestilah bersifat damai serta tidak menggunakan kekerasan. Mereka tidak boleh mengangkat senjata atau melakukan tindakan kekerasan sebagai bentuk aktiviti politik mereka. Mengangkat senjata melawan penguasa tidak dibenarkan sesuai dengan beberapa hadis yang melarang aksi tersebut.
Dengan demikian, aktiviti memerintahkan berbuat baik, melarang perbuatan yang mungkar, serta memuhasabah penguasa hendaklah dilakukan secara damai, tanpa mengangkat senjata untuk melawan mereka. Hanya dalam situasi tertentu tindakan fizikal dan perlawanan bersenjata boleh dilakukan, iaitu apabila penguasa melakukan kekufuran yang nyata, yang memiliki argumentasi kukuh dari Allah Taala. Ini sebagaimana hadis Nabi SAW dari ‘Ubâdah ibnu ash-Shamit, “Dan kami tidak akan mengambil suatu perkara (kepemimpinan) dari yang berhak (penguasa).”
Rasulullah SAW juga bersabda, “Kecuali kalian melihat kekufuran yang nyata yang kalian mendapati buktı yang nyata dari Allah.” (HR Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim. Lafaz adalah riwayat Muslim).
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan

