Site icon MuslimahHTM News

Peristiwa Penting dalam Rabi’ul Awwal

Peristiwa Penting dalam Rabi’ul Awwal

 

Bukan hanya kelahiran Nabi saw., banyak peristiwa penting terkait umat Islam yang terjadi dalam bulan Rabi’ul Awwal ini, baik yang menggembirakan mahupun yang memilukan. Di antara peristiwa yang menggembirakan adalah kelahiran Nabi Muhammad saw., peristiwa hijrah baginda ke Madinah yang menandai awal tegaknya Daulah Islam, juga peristiwa perlantikan Abu Bakar as-Shiddiq ra. sebagai khalifah.

 

Peristiwa memilukan yang berlaku dalam bulan Rabi’ul Awwal juga tidak sedikit; wafatnya Rasulullah saw.; runtuhnya kekuasaan Islam di Andalusia; lebih dari seratus kali berulang Rabi’ul Awwal, umat Islam di seluruh dunia masih hidup tanpa naungan khilafah, yang menjadikan mereka tercerai-berai dan lemah, hingga tidak mampu walaupun sekadar membebaskan Palestin dari serangan genosid Zionis.

 

Nabi saw. dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal Tahun Gajah di Mekah. Kelahiran Nabi saw. adalah rahmat bagi semesta alam. Allah SWT berfirman:

 

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ  ١٠٧

“Tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam (TMQ al-Anbiya’ [21]: 107).

 

Imam Abul Hasan al-Wâhidi (w. 468 H) mengutip perkataan Ibnu Abbas RA., “Maksudnya adalah rahmat bagi orang yang berbuat kebajikan mahupun kemungkaran. Sebab, setiap nabi, selain Nabi Muhammad, jika didustakan, maka Allah akan menghancurkan orang yang mendustakan tersebut. Namun, Allah akan menunda penghancuran orang yang mendustakan Nabi Muhammad saw. sehingga orang tersebut mati atau sampai Hari Kiamat. Adapun orang yang membenarkan Nabi Muhammad maka kami segerakan baginya rahmat di dunia dan akhirat.”[1]

 

Imam Al-Baidhawi (w. 685 H) menjelaskan bahawa rahmat itu terletak pada risalah yang Rasulullah saw. bawa, “Kerana risalah yang baginda bawa merupakan sebab kebahagiaan mereka, sekaligus menyebabkan  kemaslahatan kehidupan mereka, dunia dan akhirat.”[2]

 

Oleh kerana itu, dari penjelasan ini, orang-orang yang mengingkari baginda tidak akan mendapat rahmat, sebaliknya mendapat fitnah dan kerugian.[3]

 

Hanya saja mereka tetap mendapat rahmat dari sisi lain, yakni mereka tidak dihancurkan seperti umat-umat terdahulu, juga memperoleh rahmat dari sisi secara tidak langsung, yakni jika hukum syariah diterapkan dalam masyarakat sehingga mereka dengan sukarela atau terpaksa mengikuti sebahagian syariah yang bersifat umum, maka mereka akan memperoleh kebahagiaan hidup di dunia.[4]

 

Dengan menjalankan risalah Nabi Muhammad saw. inilah rahmat Allah akan terwujud. Nasab dan kehormatan manusia terjaga saat zina diharamkan, juga diharamkan menuduh orang berzina tanpa mendatangkan 4 orang saksi. Di sisi lain Islam memudahkan urusan nikah. Nyawa manusia terpelihara, membunuh diharamkan dan adanya hukum qisas dalam masalah pembunuhan dan penganiayaan. Rumah tangga terpelihara dengan syariah yang mengatur pembahagian fungsi utama antara lelaki dan perempuan, pengaturan nafkah, pengasuhan, serta syariah dalam urusan sosial. Akal manusia terpelihara saat khamr (arak) diharamkan dan hukuman yang berat diberlakukan ke atas muslim yang terlibat dengannya (10 keadaan yang terkait arak). Keperluan asas juga dijamin dengan aturan syariah dalam masalah ekonomi, juga saat kepemilikan kekayaan milik umum diharamkan. Manusia pun akan mempunya visi jauh ke hadapan, yakni meraih kebahagiaan akhirat, tanpa melalaikan hidup mereka di dunia, dan menjadikan sandaran kebahagiaan mereka adalah redha Allah SWT. semata.

 

Bukan hanya manusia, haiwan dan mahkluk lain juga mendapatkan rahmat ini. Islam melarang membebani haiwan dengan pekerjaan di luar kemampuannya, melarang membunuh binatang untuk suka-suka, dan Islam menyeru kemudahan dalam penyembelihan. Kezaliman kepada haiwan juga diancam dengan seksaan, sebagaimana sabda Rasulullah saw., “Seorang wanita masuk ke dalam neraka disebabkan oleh seekor kucing. Dia mengikatnya, tidak memberinya makan dan tidak melepaskannya agar dapat memakan serangga tanah.”[5]

 

 

Nabi saw. meninggalkan rumahnya pada 27 Safar tahun 1 H menuju Gua Tsur. Malam Isnin tanggal 1 Rabi’ul Awwal baginda meninggalkan Gua Tsur, lalu sampai di Quba’ pada hari Isnin tanggal 8 Rabi’ul Awwal. Baginda berdiam di Quba’ selama empat hari. Seterusnya baginda memasuki Madinah pada hari Jumaat tanggal 12 Rabi’ul Awwal tahun 1 H.[6]

 

Tibanya baginda di Madinah merupakan simbolik penegakan Daulah Islam secara fakta (de facto). Adapun secara hukum (de jure) Nabi saw. sudah menjadi ketua negara di Madinah sejak Peristiwa Baiat Aqabah II di Mekah. Baiat ‘Aqabah II ini berkonsekuensi penyerahan kekuasaan kepada Nabi saw., pengisytiharan baginda sebagai ketua negara, dan penegakan Daulah Islam. Al-Murakibi dalam tesisnya menyatakan:

 

وَمِمَّا يَنْبَغِيْ عَلَيْنَا مُلاَحَظَتُه أَنَّ هَذِهِ الْبَيْعَة كَانَتْ بِمُثَابَة عَقْدِ تَأْسِيْسِ الدَّوْلَةِ اْلاِسْلاَمِيَّةِ بَين رَسُوْلِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَ بَين قَادَة اْلاَوْسِ وَاْلخَزْرَجِ وَمُمَثِّلِيْهِمْ

Yang mesti kita perhatikan adalah bahawa Baiat (Aqabah II) ini sama dengan akad pendirian Negara Islam antara Rasulullah saw. dengan para pemimpin Aus dan Khazraj dan perwakilan mereka.[7]

 

Dengan demikian, 12 Rabi’ul Awwal 1 H merupakan tanggal sempurnanya pendirian Daulah Islam secara de jure mahupun de facto. Setibanya Rasulullah saw. di Madinah, baginda segera menerapkan syariah Islam dan bertindak sebagai ketua negara.

 

 

Nabi saw. wafat pada hari Isnin tanggal 12 Rabi’ul Awwal tahun 11 H.[8]  Pada hari yang sama, saat jenazah Nabi saw. belum dimakamkan, umat Islam telah membaiat Abu Bakar ash-Shiddiq ra. dengan baiat in’iqâd (baiat khâshah) sebagai khalifah. Pada Selasa pagi, Abu Bakar ash-Shiddiq ra. dibaiat oleh kaum Muslim di masjid dengan baiat taat (bai’at ‘âmmah) dan selesai pada waktu isyak malam Rabu. Setelah itu barulah Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq ra. memimpin proses pemakaman jenazah Nabi saw. dan selesai pertengahan malam pada malam Rabu itu.

 

Setelah menceritakan sikap para Sahabat pada hari wafatnya Rasulullah saw., yakni saat mereka tidak segera memakamkan Nabi saw., namun lebih mendahulukan urusan baiat ini hingga berjaya mengangkat Abu Bakar ash-Shiddiq ra., dan mereka menyebutnya sebagai Khalifah Rasulillah saw., Imam al-Khatthabi (w. 388 H) menyatakan:

 

وَذَلِكَ مِنْ أَدَلِّ الدَّلِيْلِ عَلَى وُجُوْبِ الْخِلاَفَةِ

Yang demikian merupakan dalil yang paling jelas dan tegas tentang kewajipan penegakan Khilafah.[9]

 

Imam Ibnu Hajar al-Haitami (w. 974 H) juga menyatakan:

… بَلْ جَعَلُوْهُ أَهَمَّ الْوَاجِبَاتِ

“…bahkan mereka menjadikan hal itu (pengangkatan khalifah) sebagai kewajipan yang terpenting.”[10]

 

Tugas penting Khilafah adalah menjaga pelaksanaan syariah, sumber rahmat bagi alam semesta. Kerana itulah Khalifah Abu Bakar ra. mempertaruhkan nyawa dan jawatannya demi memastikan tidak ada hukum syariah yang hilang dari penerapan, “Apakah Islam akan berkurang sementara aku masih hidup?” kata beliau.[11]

 

Ini sebagaimana kata Imam al-Ghazali:

وَهَذَا قَاطِعٌ في اَنَّ نَصْبَ اْلاِمَام اَمْرٌ ضَرُورِيٌّ فِي حِفْظِ الْإِسْلَامِ

 

Ini memastikan bahawa mengangkat Imam adalah perkara yang sangat penting untuk menjaga Islam.[12]

 

Penutup

 

Segala peristiwa yang berlaku pada bulan Rabi’ul Awwal, tidaklah terjadi dengan tiba-tiba, melainkan berproses pada bulan-bulan selainnya. Jika proses yang dijalaninya baik, maka dengan izin Allah akan menghasilkan hasil yang baik. Begitu juga sebaliknya jika kita lupa memprosesnya, atau membiarkan proses pembusukan terjadi di tengah-tengah umat, maka buah busuklah yang akan dituai.

 

Apa yang terjadi di Andalusia pada Rabi’ul Awwal tahun 897 H, setelah 800 tahun umat Islam berjaya di sana, Abu Abdullah Muhammad, penguasa Islam terakhir di sana menyerahkan kunci Granada kepada Raja Ferdinand, tidaklah terjadi seketika itu juga. Ada proses panjang yang lalai untuk dijangka oleh segenap umat Islam. Kerana itulah ketika Abu Abdullah menangis saat meninggalkan istananya, ibunya berkomentar, “Kamu menangis seperti perempuan yang kehilangan, padahal kau tidak menjaganya sebagaimana layaknya lelaki.”[13]

 

Nabi saw. diutus dengan membawa risalah adalah rahmat dan ubat penyembuh derita umat manusia. Walaubagaimanapun,kiya hanya akan dapat khasiat ubat jika digunakan. Untuk itu, umat tidak cukup jika sekadar menjadi seperti ahli farmasi, seperti cerita seorang murid yang pernah mendengar gurunya -semoga Allah merahmatinya- ditanya oleh salah seorang peserta seminar di Damaskus, “Apakah Islam tidak ada solusi atas permasalahan ekonomi yang menimpa dunia ini?” Gurunya menjawab, “Kami hanyalah para ahli farmasi yang menyediakan ubat. Sayangnya, para umara’ (para pemimpin) itu tidak mahu membelinya.”

 

Ahli farmasi, doktor dan staf perubatan memang perlu, namun tidak cukup sekadar itu. Kita memerlukan “sales” yang proaktif menawarkan ubat kepada umat ini, terutama kepada para umara’nya, sehingga mereka bukan hanya mahu memakainya, namun merasa wajib untuk memakai ubat ini. Semua peranan itu, baik sebagai doktor, ahli farmasi, hingga ‘sales’ dilakukan oleh Rasulullah saw, teladan umat ini.

 

 

Catatan kaki:

 

[1]      Abul Hasan Ali bin Ahmad Al-Wâhidi, Al-Wasîth Fî Tafsîr al-Qur’ân al-Majîd, Pensyarah dan Penta’liq: Adil Ahmad Abdul Maujud dkk (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), Juz 3, h. 255.

[2]      Nashiruddin Abu Said Abdullah bin ‘Umar Al-Baidhawi, Anwâr At-Tanzîl Wa Asrâr at-Ta’wîl, Pentahkik. Muhammad Abdurrahman al-Mar’asyali, Cet. I. (Beirut: Dâr Ihya al-Turats al-Arabi, 1418), Juz 4, h. 62.

[3]      Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Thabari, Jâmi Al-Bayân Fî Ta’wîl al-Qur’ân, Pentahkik. Ahmad Muhammad Syakir, Cet. I. (Beirut: Muassasah al-Risâlah, 2000), Juz 18, h. 552.

[4]      Tafsir Departemen Agama RI dalam Kitab Suci Alquran (Harf Information Technology (Software ver. 8.0), 2002).

[5]      Muhammad bin Isma’il Al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Pentahkik. Muhammad Zuhair bin Nashir, Cet. I. (Dâr Tûq al-Najâh, 1422), Juz 4, h. 130; Muslim bin Hajjâj, Shahih Muslim, Pentahkik. Muhammad Fuad Abd al-Baqi (Beirut: Dâr Ihyâ al-Turâts al-Arabi, t.th), Juz 4, h. 2110.

[6]      Safiyurrahman Al-Mubarakfuri, Al-Rahîq al-Makhtûm (Beirut: Dâr al-Basyir, 1994), h. 148 dst.

[7]      Jamal Ahmad as-Sayyid Jad Al-Murakibi, “Al-Khilâfah al-Islâmiyah Bayna Nuzhûm al-Hukm al-Mu’âshirah” (Disertasi, Universitas Kairo, 1414), h. 16.

[8]      Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir, Al-Sîrah al-Nabawiyyah (Beirut: Dâr al-Ma’rifah, 1976), Juz 4, h. 507.

[9]      Zainuddin Abdurrahim bin al-Husain Al-’Iraqi, Tharhu At-Tatsrîbi Fi Syarhi at-Taqrîb (at-Thab’ah al-Islamiyyah al-Qadimah, t.th), Juz 8, h. 75. At Taqrib di sini adalah Taqrîbul Asânid Wa Tartîbul Masânid.

[10] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar Al-Haitami, As-Shawâiq al-Muhriqah Muhriqah ‘ala Ahl Ar-Rafdhi Wa Adh-Dhalâl Wa Az-Zandaqah, Pentahkik. Abdurrahman bin Abdullah at-Turki, Cet. I. (Libanon: Muassasah al-Risâlah, 1997), Juz 1, h. 25.

[11] Nûr al-Dîn al-Mulla al-Harawi al-Qâri, Mirqâtu Al-Mafâtîh Syarh Misykâtu al-Mashâbîh, Cet. 1. (Beirut: Dâr al-Fikr, 2002), Juz 9, h. 3890.

[12] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali, Fadhâih Al-Bâthiniyyah, Pentahkik. Abdurrahman Badawi (Kuwait: Muassasah Dar al-Kutub att-Tsaqafiyyah, t.th), h. 171.

[13] Raghib As-Sirjani, Bangkit Dan Runtuhnya Andalusia, Penerjemah. Muhammad Ihsan dan Abdul Rasyad Shiddiq, Cet. II. (Jakarta: Pustaka Al-Kautsar, 2014), h. 814.

 

Sumber: Alwaie

Exit mobile version