Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Bagaimana Individu dan Parti Politik Dapat Mempengaruhi Politik Antarabangsa dan Dasar Negara?

[Pemikiran Politik Islam] Bagaimana Individu dan Parti Politik Dapat Mempengaruhi Politik Antarabangsa dan Dasar Negara?

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Mungkin terdapat beberapa soalan yang timbul. Bagaimanakah individu boleh mempengaruhi politik antarabangsa? Bagaimanakah parti politik boleh mengubah dasar negara, terutamanya jika ia berakar umbi dalam masyarakat dan telah wujud sejak berabad-abad?

 

Jawapannya ialah apabila individu atau parti politik telah mengambil bahagian dan terlibat dalam aktiviti politik, dan memahami konstelasi politik antarabangsa, mereka tidak boleh melakukannya hanya untuk kepuasan intelektual, seperti demi kepentingan pendidikan atau untuk menambahkan pengetahuan semata.

 

Mereka sepatutnya mengambil bahagian dalam aktiviti politik, dan terlibat di dalamnya dengan tujuan menjaga kepentingan masyarakat dunia dan untuk menentukan metode (kaedah) yang efektif dalam mempengaruhi politik antarabangsa. Dalam erti kata lain, mereka mengikuti dan terlibat dalam aktiviti politik untuk menjadi ahli politik. Mereka bukan ahli politik, jika mereka sekadar menggali maklumat politik untuk tujuan kepentingan intelektual sahaja, walaupun mereka diklasifikasikan sebagai pemikir besar.

 

Oleh itu, seorang ahli politik sentiasa mengikuti aktiviti politik dalam negeri, dan memahami keadaan dan politik antarabangsa semata-mata kerana dia seorang ahli politik, bukan kerana dia seorang intelektual atau pemikir. Menjadi ahli politik bermakna dia berusaha keras untuk menjaga kepentingan dunia, iaitu dengan berjuang mempengaruhi politik antarabangsa.

 

Selain itu, seorang ahli politik tidak berjuang untuk kepentingannya sendiri. Akan tetapi, dia berjuang sebagai sebahagian daripada umatnya dan sebahagian daripada sebuah institusi, iaitu negaranya. Walaupun dia bukan salah seorang pembuat keputusan (decision maker) atau pelaksana dasar negara, dia sangat bersemangat untuk menjadi sebahagian daripada mereka dan sentiasa memuhasabah mereka. Dengan demikian, dia akan mempunyai pengaruh antarabangsa, walaupun tidak memiliki kuasa untuk membuat keputusan atau tanggungjawab eksekutif.

 

Negara tempat di mana tempat dia berada juga akan berpengaruh diperingkat antarabangsa melalui orang-orang sepertinya, atau bersama-sama dengan orang-orang sepertinya, dia akan berjuang untuk mempengaruhi politik antarabangsa. Hal ini akan mengarah pada terbentuknya sebuah konsep politik, iaitu kemunculan pengaruh sesebuah negara terhadap politik dan situasi antarabangsa. Ini berlaku disebabkan oleh pertumbuhan dan berkembangnya individu-individu yang sedar politik dan memahami aktiviti-aktiviti politik yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya yang direkayasa negara-negara kuasa besar.

Demikian itu, langkah pertama ke arah pengaruh politik antarabangsa dan situasi antarabangsa ialah penjernihan atau kristalisasi konsep politik. Halangan pertama yang timbul adalah dalam usaha untuk memotivasikan individu-individu agar mengambil bahagian dalam aktiviti politik dan memahami politik antarabangsa, atau dengan kata lain, untuk membentuk ahli politik dengan wawasan antarabangsa.

 

Kemudian, secara alamiah, sesebuah negara akan berpengaruh terhadap situasi politik antarabangsa. Besarnya pengaruh ini menunjukkan tahap konsep politik yang dimiliki dan sejauh mana nilai konsep-konsep tersebut. Namun demikian, perlu difahami bahawa negara tidak akan mampu tampil di pentas antarabangsa, melainkan ia menjalin hubungan dengan negara lain.

 

Seseorang individu dalam masyarakat tidak akan dapat hadir di tengah-tengah masyarakatnya, melainkan dia mempunyai hubungan dengan individu lain. Status dan kedudukannya dalam masyarakat dan di kalangan manusia sepadan dengan tahap hubungan, serta pengaruhnya dalam hubungan-hubungan tersebut.

 

Begitu juga, kehadiran sesebuah negara ditentukan sejauh mana hubungannya dengan negara-negara lain. Status sesebuah negara boleh memberi kesan positif atau negatif berdasarkan hubungannya dengan negara-negara lain, serta pengaruhnya dalam hubungan antarabangsa.

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version