[Afkar] Ulama, Penegakan Khilafah dan Jebakan Penjajah
Oleh: Yuana Ryan Tresna
Ulama adalah pelita di tengah kegelapan. Kebaikan pada diri umat Islam ini akan terus ada selama ada para ulama yang menjadi pelita di tengah-tengah mereka. Kedudukan mereka yang tinggi—kerana ilmu dan dakwahnya—akan menjadi kebaikan bagi umat dan penguasa. Sebaliknya, rosaknya ulama akan menjadi sebab kerosakan pada umat dan penguasa. Imam al-Ghazali mengatakan, “Tidaklah terjadi kerosakan rakyat itu kecuali dengan kerosakan penguasa. Tidaklah rosak para penguasa kecuali dengan kerosakan para ulama.”[1]
Lebih dari satu abad setelah keruntuhan Khilafah Islam, berbagai upaya telah dilakukan oleh kaum Muslim dari masa ke masa. Dalam sejarahnya, ulama memiliki peranan yang sangat penting. Mereka menjadi benteng ilmu bagi Khilafah Islam. Mereka menjadi penggerak perjuangan untuk mewujudkan kembali Khilafah yang saat ini sudah tidak ada. Perjuangan tersebut tidak pernah sepi dari jebakan negara kafir penjajah yang tidak menghendaki Khilafah hadir kembali.
Ulama Adalah Pelita
Ulama bagaikan bintang bagi penduduk bumi. Abu Muslim al-Khaulani berkata, “Ulama bagi penduduk bumi bagaikan bintang di langit. Ketika menampakkan diri kepada manusia, mereka akan mendapat petunjuk. Jika tidak menampakkan diri kepada manusia, mereka akan kebingungan.”[2]
Keutamaan ulama kerana keutamaan ilmu mereka serta adanya pujian dari Allah dan Rasul-Nya kepada mereka. Allah SWT berfirman,
يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١١
“Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan yang diberi ilmu di antara kalian ke beberapa darjat. Allah Maha Tahu atas apa sahaja yang kalian lakukan.” (TMQ al-Mujadilah [58]: 11)
Imam Badruddin Ibnu Jama’ah memberikan penjelasan atas firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 18, “Allah SWT memulai dengan Diri-Nya (dalam persaksian), lalu malaikat-malaikat-Nya, kemudian orang-orang yang berilmu. Cukuplah hal ini sebagai bentuk kemuliaan, keutamaan, keagungan dan kebaikan (buat mereka).”[3]
Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada siapa saja yang tidak mengetahui untuk kembali kepada mereka (ulama) dalam segala hal. Di dalam ayat ini terdapat pujian terhadap para ulama, juga cadangan Allah SWT agar orang-orang yang tidak berpengetahuan bertanya kepada mereka. Masih banyak ayat lainnya yang menjelaskan keagungan ilmu dan para ulama (Lihat, misalnya: QS an-Nahl [16]: 43; QS al-Ankabut [29]: 4; QS al-Bayyinah [98]: 8; dan QS Fathir [35]: 28).
Imam Ibnu Jama’ah berkata, “Kedua ayat ini (QS Fathir ayat 28 dan QS al-Bayyinah ayat 8) mengandungi makna bahawa ulama adalah orang-orang yang takut kepada Allah. Orang-orang yang takut kepada Allah adalah sebaik-baik manusia. Dari sini disimpulkan bahawa ulama adalah sebaik-baik manusia.”[4]
Dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ
“Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR at-Tirmidzi).
Imam Ibnu Jama’ah al-Kinani mengatakan, “Cukup darjat ini menunjukkan satu kebanggaan dan kemuliaan. Martabat ini adalah martabat yang tinggi dan agung. Sebagaimana tidak ada kedudukan yang tinggi daripada kedudukan nubuwwah, begitu juga tidak ada kemuliaan di atas kemuliaan pewaris para nabi.”[5]
Keteladanan Ulama dalam Politik
Pada saat tegak Khilafah Islam, sejarah telah mencatat peranan penting para ulama. Peranan penting mereka paling tidak dapat dilihat dari tiga aspek:
Pertama: Amar makruf nahi mungkar dan muhasabah kepada penguasa.
Kedua: Menjadi rujukan bagi Khalifah dalam masalah hukum syariah mana yang akan diterapkan.
Ketiga: Menjadi qaadhi (hakim) pada Khilafah Islam yang menyelesaikan persengketaan di tengah manusia.
Dalam kitab-kitab Tarikh tercatat dengan tinta emas tindakan-tindakan para ulama dalam melakukan aktiviti politik. Misalnya, apa yang dilakukan oleh Abdullah bin Thawwus. Dalam kitab Wafiyyah al-A’yaan, Ibn Khalikan meriwayatkan pertemuan antara Ibnu Thawwus yang didampingi oleh Malik bin Anas dengan Abu Ja’far al-Manshur.[6] Abdullah bin Thawwus menyampaikan nasihat tegas kepada Abu Ja’far Al-Manshur dan dia tidak mahu bersekutu dalam kemaksiatan. Ibnu Thawwus tetap teguh tanpa rasa takut meski menghadapi penyeksaan.
Ulama seperti inilah yang kita rindukan. Tidak takut kepada siapapun kecuali Al-Khaaliq yang menciptakan dia.
Masih tentang ulama, al-Qadhi Ibn Iyadh berkata[7], “Ulama itu adalah ibarat ‘bunga’ umat ketika musim luruh. Jika orang sakit melihat ulama, kalaulah tidak menyembuhkan, paling tidak akan meringankan. Jika orang fakir melihat ulama, orang tersebut merasa menjadi kaya.” Semua ini cukup bagi kita untuk menggambarkan apa dan bagaimana sosok ulama itu.
Syaikh Yusuf an-Nabhani, seorang ulama muta’akhiriin, telah memberikan keteladanan yang luar biasa. Selama masa penjajahan British, beliau menolak menjadi mufti di Palestin kerana tidak diizinkan untuk berhukum dengan hukum Islam. Beliau juga dikenal sebagai pembela utama Khilafah Uthmaniyah, terutama pada masa Khalifah Abdul Hamid II bin Abdul Majid Khan al-Ghazi. Bahkan secara khusus beliau menulis kitab Al-Ahaadits al-Arba’iin fii Wujuub Thaa’ah Amir al-Mu‘miniin dan Khulaashah al-Bayaan fii Ba’dhi Ma’atsir Mawlanaa alh-Shulthaan ‘Abdil Hamiid ats-Tsani wa Ajdaadihi Ali Utsmaan serta karya-karya lainnya. Tujuannya adalah untuk meneguhkan kedudukan Khilafah dan mengajak umat Islam untuk membela dan mendukung Khilafah. Beliau juga mengajak umat agar mengemban Jihad fi Sabilillah dalam melawan kafir penjajah seperti British, Perancis dan Rusia. Kerana itu beliau menulis kitab Al-Ahaadits al-Arba’iin fii Fadhl al-Jihaad wa al-Mujaahidiin. Beliau aktif mengkritik berbagai pemikiran yang menyerang syariah Islam serta kesatuan umat dan Daulah Islam.[8]
Peranan Ulama dalam Penegakan Khilafah
Saat tidak ada perisai yang melindungi umat Islam, sunnah ditelantarkan dan kezaliman berlaku secara terbuka di mana-mana, maka peranan ulama sangat penting. Ikhtiar mengembalikan Khilafah Islam untuk mewujudkan kehidupan Islam mesti diusahakan oleh setiap Muslim, khususnya para ahli ilmu. Oleh kerana itu, peranan penting ulama dalam mengembalikan Khilafah Islam adalah:
Pertama, menjadi sumber ilmu dan rujukan dalam aktiviti dakwah.
Kedua, berada di barisan terdepan dalam dakwah kolektif bersama umat.
Ketiga, melakukan pembetulan (muhasabah) terhadap penguasa zalim dan membela hak-hak umat yang ditelantarkan.
Aktualisasi peranan ulama saat ini seperti yang digambarkan oleh Syaikh Ali Bin Haj dalam Fashl al-Kalaam fii Muwaajahah Dzulm al-Hukkaam,[9] iaitu:
Pertama, ulama memadukan ilmu dan amal, iaitu mengaitkan antara ilmu yang dia kuasai dengan aktiviti yang dia lakukan.
Kedua, sentiasa membela dan memperjuangkan hak-hak umat.
Dalam konteks dakwah jamaie (kolektif) sebagaimana yang diwajibkan Allah SWT dalam surah Ali Imran [3]: 104, para ulama memiliki peranan strategik. Pengertian “umat” dalam ayat tersebut menurut Imam ath-Thabari adalah jemaah. Adapun menurut Syaikh Muhammad Ali ash-Shabuni dalam tafsirnya Shafwah at-Tafaasir adalah jemaah atau hizb. Kelompok tersebut aktivitinya adalah mengajak pada al-khayr, yakni mengajak pada Islam dan (menerapkan) syariah, serta melakukan amar makruf nahi mungkar. Oleh kerana aktivitinya bersifat politik, maka kelompok yang dimaksud dalam ayat ini adalah parti politik.
Ketika Islam belum diberlakukan sebagai sistem kehidupan, maka yang dilakukan parti politik adalah mengajak kaum Muslim pada Islam. Ertinya, mengajak berhukum pada hukum Allah dalam seluruh aspek kehidupan dan berjuang untuk menerapkan syariah-Nya. Selain itu, dalaalah iltizaam dari nas-nas tentang kewajipan tahkiim juga mewajibkan untuk menegakkan institusi untuk menerapkan hukum Allah tersebut.
Praktikalnya, apa yang perlu dilakukan oleh para ulama adalah melaksanan izaalah al-munkaraat ketika menyaksikan kemungkaran. Secara kolektif mereka pun berada di barisan terdepan bersama-sama dengan kaum Muslim yang lain melaksanakan aktiviti dakwah kepada Islam dan syariahnya dengan dakwah isti’naaf al-hayaah al-islaamiyyah dengan menegakkan Khilafah, serta melakukan amar makruf nahi mungkar, terutamanya muhaasabah li al-hukkaam (melakukan muhasabah kepada penguasa).
Keadaan objektif kita saat ini adalah berlakunya kerosakan di semua sudut. Hal itu selaras dengan firman Allah di dalam surah ar-Rum ayat 41. Di sinilah peranan penting ulama, iaitu berupaya menghilangkan kerosakan multi-dimensi yang terjadi.
Mengapa peranan ulama sangat ditunggu?
Pertama: Pemahaman tentang Allah SWT yang akan melahirkan sikap hanya takut pada azab Allah, sikap ikhlas, serta taat pada Allah.
Kedua, pemahaman tentang batasan-batasan atau larangan-larangan yang telah ditetapkan Allah serta hal-hal yang Dia fardhukan, yang diperlukan untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya.
Mewaspadai Jebakan Negara Penjajah
Perjuangan ulama untuk mengembalikan Khilafah bukan perkara yang luput dari cabaran, seperti adanya jebakan negara kafir penjajah. Para ulama hendaklah memiliki kesedaran politik. Hal itu kerana saat ini kita hidup dalam perang pemikiran dengan negara kafir penjajah. Mereka menggunakan cara-cara licik dan jahat untuk menjebak kaum Muslim ke dalam konspirasi memukul perjuangan Islam dalam rangka mewujudkan perubahan dan menegakkan Khilafah. Beberapa perkara yang perlu menjadi perhatian para ulama adalah sebagai berikut:
Pertama, para ulama hendaklah memiliki pemahaman, kesedaran dan pandangan jauh ke depan serta penguasaan dalam berbagai perkara. Maksud perkara-perkara ini adalah pemahaman Islam berupa akidah dan hukum. Kerana itu merupakan kaedah yang kuat, dinding yang kuat dan pintu pengaman pertama bagi umat Islam. Allah SWT, Rasul-Nya dan para Sahabat telah memberikan bimbingan atas pentingnya kesedaran, penguasaan perkara dan pemahaman yang sahih. Termasuk pemahaman itu juga adalah mengetahui apa yang terus-menerus direncanakan oleh kaum kafir. Mereka tidak menginginkan kebaikan untuk umat Islam (Lihat: QS al-Anfal [8]: 36).
Penguasaan perkara itu juga mencakup pengetahuan tentang apa yang terjadi di sekitar umat Islam berupa peristiwa dan berbagai konspirasi. Inilah yang dibicarakan pada awal surah ar-Rum.[10] Ayat ini mengkhabarkan kepada kaum Muslim pada awal dakwah tentang suatu peristiwa yang jauh dari lingkaran mereka, dan mereka berada dalam keadaan yang paling sukar, mendapatkan penyeksaan dan gangguan.
Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita bagaimana menangani perkara melalui pemahaman, kesedaran dan penguasaan suatu perkara. Beliau menggambarkan seorang Muslim dan sikapnya terhadap masalah, kehati-hatian dan kesedarannya.
لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
“Tidak selayaknya seorang Mukmin digigit dari satu lubang yang sama dua kali.” (HR Muttafaq ‘alaih).
Kedua, para ulama hendaklah berhati-hati terhadap kaum kafir, dan tidak mentaati mereka dalam perkara apapun, sekalipun mereka menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang munkar. Para ulama tidak boleh bergabung dengan badan-badan internasional atau regional mereka sekalipun mereka mendakwa tujuan-tujuan luhur dan tujuan-tujuan mulia selama badan-badan tersebut masih ada di bawah kepemimpinan dan kekuasaan orang kafir. Para ulama juga tidak terlibat dengan mereka dalam perang apa pun sekalipun perang itu melawan negara yang menjadi musuh kaum Muslim, baik itu negara kafir yang terikat perjanjian atau berdamai.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ ١٠٠
“Hai orang-orang yang beriman, jika kalian mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi al-Kitab, nescaya mereka akan mengembalikan kalian menjadi orang kafir sesudah kalian beriman.” (TMQ Ali Imran [3]: 100).
Liga Bangsa-bangsa (LBB), misalnya, merupakan lembaga yang dibentuk untuk memukul Daulah Islamiyah. Beberapa negara dikumpulkan untuk tujuan ini pada tahun 1919 setelah Perang Dunia Pertama (PD I). Perkara itu berlanjut sampai ada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan internasionalnya yang dibentuk pasca PD II pada tahun 1945.
Umat Islam tidak boleh terlibat dalam badan-badan ini meskipun menyerukan yang makruf dan melarang yang mungkar. Sebab, perkara ini dibungkus dengan tujuan-tujuan jahat, disasarkan untuk memukul Islam dan kaum Muslim dan usaha-usaha kaum Muslim dalam mewujudkan perubahan. Dulu, Turki Uthmaniyah terlibat dengan beberapa negara Eropah dalam PD I. Lalu negara-negara Eropah itu memperguna Khilafah Turki Uthmaniyah dalam tujuan-tujuan yang bukan berkhidmat untuk kaum Muslim. Itu menjadi sebab penghancuran Khilafah Turki Uthmaniyah secara militer dan jatuh di bawah belas kasihan negara penjajah. Lalu Khilafah Turki Uthmaniyah terpecah-belah dan hancur.
Allah SWT telah memberikan perumpamaan yang jelas dalam kisah Masjid Adh-Dhiraar. Kaum munafik dan kafir di belakang mereka mensasarkan kaum Muslim di pusat negeri mereka. Hal tu melalui aktiviti kebajikan, iaitu membina masjid! Jadi aktiviti itu di dalamnya kelihatan baik, tetapi ternyata menyimpan aktiviti jahat, iaitu makar terhadap kaum Mukmin.[11]
Bukti jebakan itu adalah ketika kita menyaksikan sebahagian tokoh cuba menggantikan peranan Khilafah dalam kepemimpinan tunggal dunia dengan PBB atas nama prinsip maqaashid syarii’ah.
Penutup
Peranan ulama dalam menegakkan Khilafah adalah perkara yang pasti. Khilafah bukan hanya kewajipan, tetapi juga akan menjadi solusi persoalan umat. Para ulama hendaklah memiliki kesedaran politik yang baik agar tidak terjebak oleh perangkap negara-negara penjajah. Para ulama juga hendaklah memiliki kesedaran tentang hakikat Daulah Islam sehingga perkara ini menjadi jelas bagi kaum Muslim. Sebab, negara kafir penjajah akan terus berusaha menyesatkan kaum Muslim, dan mengalihkan mereka dari tujuan mulia mereka. Para ulama juga hendaklah sentiasa menebarkan semangat harapan dalam jiwa umat dan mengingatkan masa lalu umat secara terus menerus, serta mengukuhkan pemahaman Islam, sehingga tidak runtuh di depan makar negara penjajah.
WalLaahu a’lam bi ash-shawwaab.
Catatan kaki:
[1] Lihat Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, juz 2, hlm. 238.
[2] Lihat Ibnu Jama’ah, Tadzkirah al-Sami’ wa al-Mutakallim, hlm. 89
[3] Lihat Ibnu Jama’ah, hlm. 82.
[4] Lihat Ibnu Jama’ah, hlm. 83.
[5] Lihat Ibnu Jama’ah, hlm. 85
[6] Lihat Ibn Khalikan, Wafiyyah al-A’yan, juz II, hlm. 511.
[7] Lihat Abu Abdul Fatah Ali bin Haj, Fashl al-Kalam fi Muwajahati Dzulm al-Hukkam, hlm. 255.
[8] Lihat Abdurrahman al-Khaddami, Biografi Syaikh Yusuf an-Nabhani, https://tsaqofah.id/biografi-syaikh-yusuf-an-nabhani/, tanggal akses: 8 Februari 2023
[9] Lihat Abu Abdul Fatah Ali bin Haj, hlm. 255-258.
[10] Lihat QS. al-Rum, ayat 1-6.
[11] Lihat QS. al-Taubah, ayat 107-108.

