Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Demokrasi Adalah Sistem Kufur

[Pemikiran Politik Islam] Demokrasi Adalah Sistem Kufur

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Demokrasi ialah sistem pemerintahan yang diguna pakai oleh manusia sejak zaman dahulu menjawab permasalahan terkait pemerintahan. Pada masa itu, manusia mengalami penderitaan akibat penindasan para penguasa yang mengaku sebagai wakil Tuhan di muka bumi. Para penguasa ini mendakwa bahawa mereka memerintah manusia atas perintah Tuhan sehingga Tuhanlah yang memberinya kuasa ke atas umat manusia.

 

Dalam erti kata lain, penguasa menerima kekuasaan daripada Tuhan. Sebagai reaksinya, ahli falsafah dan pemikir membincangkan masalah terkait pemerintahan, kemudian merangka satu sistem untuk mentadbir umat manusia. Sistem itu dipanggil sistem demokrasi. Dengan demikian, demokrasi diwujudkan untuk membebaskan manusia daripada penindasan penguasa yang zalim.

 

Sistem demokrasi menyatakan bahawa penguasa memperoleh kuasanya daripada manusia, bukan daripada Tuhan. Dinyatakan juga bahawa manusia (rakyat) adalah pihak yang memilih dan melantik seseorang untuk menjadi penguasa mengikut kesepakatan mereka. Demokrasi adalah salah satu idea pemikiran yang disebarkan oleh negara-negara Barat dalam pencerobohan budaya mereka ke atas negeri-negeri kaum Muslim.

 

Dalam Persidangan Berlin pada akhir abad ke-18 untuk membahagikan Daulah Uthmaniyyah’ “The Sick Man of Europe”, negara-negara Barat tidak bersetuju untuk membahagikan wilayah Daulah Uthmaniyyah, tetapi mereka bersetuju untuk memaksa Daulah Uthmaniyyah untuk mengamalkan sistem demokrasi. Oleh itu, Khilafah kemudiannya memperkenalkan sistem Sadr A’zham (Perdana Menteri) dan menteri kabinet yang merupakan sebahagian daripada sistem demokrasi.

 

Selepas penghapusan Khilafah Islam pada awal abad ke-20, Barat memperhebatkan usahanya untuk menyerang pemikiran dan konsep Islam di negeri-negeri kaum muslim dengan sistem demokrasi. Hasilnya ialah kemunculan buku-buku yang menggambarkan Islam sebagai agama yang membawa konsep demokrasi dan demokrasi diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Islam.

 

Demikian pula, ketika Barat mengubah gaya penjajahannya dengan menubuhkan pelbagai negara dan sistem pemerintahan, mereka menjadikan sistem demokrasi sebagai asas negara-negara tersebut. Akibatnya, banyak negara yang didirikan di atas landasan sistem demokrasi.

 

Pada awal abad ke-20, ketika Islam masih dianggap sebagai perkara yang sangat penting dan hidup di hati umat Islam, mereka memperkenalkan sistem demokrasi sebagai sebahagian daripada Islam. Tetapi hari ini, mereka tidak lagi menyatakan bahawa demokrasi adalah sebahagian daripada Islam, tetapi mereka memperkenalkan demokrasi kepada ummah sebagaimana adanya, iaitu, sebagai suatu sistem pemerintahan. Dengan demikian, rakyat menganggap demokrasi tidak lebih daripada suatu sistem pemerintahan. Kini, beberapa golongan umat yang mendakwa berpegang teguh dan memperjuangkan Islam telah pun mengamalkannya, bahkan turut meenyerukan demokrasi.

 

Demokrasi ialah pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Ini bermakna bahawa manusia dalam sesebuah kelompok masyarakat bersatu untuk membentuk kehendak orang awam, dan setiap individu bersetuju untuk membentuk sebuah komuniti di mana mereka tinggal di dalamnya. Kesepakatan sedemikian sering dirujuk sebagai “kontrak sosial“. Selaras dengan kontrak (perjanjian), setiap individu bersetuju untuk menyerahkan haknya kepada kesepakatan semua anggota komuniti.

 

Setiap individu memberikan segenap kemampuan dan seluruh dirinya kepada pemimpin pemerintahan (kerajaan) yang mewakili kehendak orang awam. Daripada kontrak ini, suatu bangunan kolektif akan muncul dalam bentuk institusi politik atau negara, berbentuk republik atau bentuk lainnya.

 

Oleh itu, demokrasi bermaksud bahawa negara merupakan perwujudan seluruh rakyat. Setiap individu atau warganegara mempunyai hak yang sama seperti warganegara lain dalam menentukan isu-isu kenegaraan, seperti dari segi pemilihan pemimpin negeri, serta merangka undang-undang dan peraturan negara.

 

Berdasarkan perjanjian atau kesepakatan dalam kontrak sosial tersebut, setiap individu menyerahkan sepenuhnya semua haknya kepada kesepakatan komuniti. Kesepakatan komuniti adalah manifestasi keinginan orang ramai yang mempunyai kedaulatan penuh. Jadi, rakyat adalah segala-galanya.

 

Permulaan sistem demokrasi adalah apabila manusia dianggap memiliki kedaulatan dan menjadi sumber kehendak awam. Rakyatlah yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang dan memilih pemimpin mereka. Rakyat juga yang bertanggungjawab ke atas segala sesuatu dalam negara dan wilayah mereka. Jadi, sumber keinginan dan kedaulatan awam, serta segala sesuatu untuk kepentingan rakyat adalah rakyat itu sendiri. Dengan demikian, rakyat adalah penguasa ke atas diri mereka sendiri. Rakyat mengatur diri mereka dengan peraturan yang mereka buat. Rakyat yang dimaksudkan adalah semua individu dalam sesebuah negara, tanpa memandang aliran politik, agama, atau bahasa, asalkan mereka adalah manusia.

 

Jadi, kedaulatan adalah kehendak orang ramai yang diwakili dalam bentuk suatu negara. Oleh itu, negara adalah penjelmaan seluruh rakyatnya. Rakyat adalah penguasa ke atas diri mereka sendiri. Mereka berdaulat sepenuhnya dan membentuk kehendak orang ramai. Walau bagaimanapun, kehendak orang ramai adalah sesuatu yang bersifat formaliti semata-mata.

 

 

 

Dalam rangka melaksanakan kepentingan rakyat, mereka membentuk suatu pemerintahan (kerajaan) dengan kuasa eksekutif. Sebab itu, di negara-negara yang berpegang kepada sistem demokrasi, terdapat dua institusi iaitu badan legislatif yang menyediakan pelbagai undang-undang dan peraturan, dan badan eksekutif yang dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan hasrat mereka yang termaktub dalam undang-undang.

 

Walau bagaimanapun, adalah mustahil bagi semua rakyat untuk menjadi anggota badan legislatif. Oleh itu, mereka memilih wakil-wakil mereka. Wakil-wakil rakyat tersebut membentuk parlimen. Justeru, parlimen dalam negara yang berpegang kepada sistem demokrasi mewakili kehendak rakyat. Merekalah yang memilih kerajaan (pemerintahan) dan ketua negara, serta merekalah juga yang bertindak sebagai pemimpin negara dan wakil masyarakat untuk melaksanakan kehendak rakyat.

 

Oleh kerana itu, sistem demokrasi mempunyai makna bahawa rakyat adalah penguasa ke atas mereka. Rakyatlah yang membuat undang-undang dan peraturan, serta memilih pemimpin mereka. Justeru, sebelum berlakunya rekayasa, sistem demokrasi terdiri daripada dua bentuk kekuasaan iaitu kuasa legislatif yang dilaksanakan oleh parlimen dan pemerintah yang melaksanakan kehendak rakyat. Setelah direkayasa, demokrasi kemudiannya terdiri daripada tiga tonggak kekuasaan, iaitu kuasa legislatif yang diwakili oleh parlimen, kuasa eksekutif yang dilaksanakan oleh kerajaan/pemerintah, dan kuasa judikatif (kehakiman) yang dilaksanakan oleh para hakim atau mahkamah agung.

 

Ketiga-tiga kuasa ini adalah tonggak negara demokrasi. Kuasa legislatif merupakan institusi wakil rakyat. Kuasa judikatif adalah institusi kehakiman yang menerapkan undang-undang dan peraturan. Manakala kuasa eksekutif adalah institusi yang melaksanakan keputusan institusi kehakiman dan perundangan yang digubal oleh parlimen. Ketiga-tiga kuasa tersebut bebas dan tidak saling campur tangan dalam hal ehwal setiap institusi.

 

Demokrasi dalam erti kata sebenar tidak pernah dan tidak akan pernah direalisasikan. Adalah mustahil bagi rakyat untuk menjaga semua kepentingan awam, mentadbir negara, dan melaksanakan kehendak orang ramai secara bersama-sama. Itulah sebabnya mereka bersembunyi di sebalik topeng demokrasi, memanipulasinya, dan memperkenalkan kuasa pemerintah/kerajaan, pemimpin negara, dan parlimen.

 

Dikatakan bahawa demokrasi adalah pemerintahan daripada rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Kenyataan ini tidak sepenuhnya tepat. Rakyat tidak benar berkuasa secara mutlak. Kekuasaan ke atas semua kepentingan awam berada di tangan pemimpin negara atau pemerintah.

 

Islam melarang demokrasi atas tiga sebab:

Pertama, kerana mereka yang merekayasa dan berdiri di belakang idea demokrasi adalah negara-negara kafir di Barat. Ini adalah satu bentuk serangan budaya Barat terhadap negeri-negeri kaum muslim. Sesiapa pun yang menerima idea demokrasi sebenarnya telah menerima pencerobohan budaya dan menyumbang kepada kejayaan serangan tersebut.

 

Untuk menentang serangan budaya itu, terutamanya terhadap idea demokrasi, tidak ada cara lain, kecuali menolak demokrasi sepenuhnya. Sesiapa pun yang menyeru dan menyokong pelaksanaan idea demokrasi adalah kroni-kroni penjajah kafir Barat. Apabila Barat cuba mengubah bentuk kolonialismenya, mereka telah menubuhkan negara-negara berdasarkan sistem demokrasi.

 

Oleh itu, sesiapa saja yang menggalakkan pelaksanaan demokrasi sebenarnya telah menyokong kolonialisme, negara-negara kafir Barat, serta para penguasa boneka Barat. Dengan demikian, perjuangan untuk menghapuskan penjajahan sepenuhnya memerlukan penentangan terhadap sistem yang menyokong kehadiran penjajahan ini, iaitu sistem demokrasi.

 

Sebab kedua ialah demokrasi adalah sistem semu yang tidak boleh diimplementasikan sepenuhnya. Apabila sesebuah negara cuba menerapkan idea demokrasi, mereka seringkali terpaksa melakukan pembohongan. Parlimen tidak menggubal undang-undang dan peraturan, sebaliknya pemerintahlah yang mencadangkan rang undang-undang, manakala parlimen hanya memberikan persetujuannya.

 

Parlimen tidak memilih pemerintah, tetapi pemimpin negaralah yang membentuk kerajaan pemerintah. Parlimen hanya mengesahkannya sebagai satu bentuk formaliti. Tambahan pula, para penguasa di negara-negara demokrasi bukanlah institusi parlimen sebagai perwujudan seluruh rakyat, tetapi si pemimpin negara. Akhirnya, kekuasaan hanya boleh dilaksanakan di tangan satu orang. Maksudnya, bagaimana mungkin kuasa pemerintahan (kerajaan) boleh dilaksanakan oleh seluruh rakyat?

 

Jadi, sistem demokrasi bertentangan dengan realiti pemerintahan dan kehidupan. Oleh itu, sistem demokrasi adalah idea yang mustahil dan semu, yang tidak mungkin untuk dilaksanakan sepenuhnya. Demokrasi juga seringkali diselubungi berbagai pembohongan, manipulasi, dan rekayasa sehingga menyesatkan manusia.

 

Ketiga, sistem demokrasi adalah sistem buatan manusia. Sistem ini disusun oleh rakyat dan untuk rakyat. Sebenarnya, manusia tidak boleh lari daripada kesilapan. Sebaliknya, hanya Allah yang bebas daripada kesalahan. Oleh itu, hanya sistem daripada Allah saja  yang layak dipatuhi. Ini bermakna bahawa berpegang kepada demokrasi dan menolak sistem daripada Allah adalah kesilapan fatal yang mengakibatkan bencana.

 

Begitu juga, sistem demokrasi adalah sistem kufur kerana ia bukan hukum syariat. Sistem pemerintahan dalam Islam merupakan hukum syariat daripada Allah. Jadi, demokrasi adalah sistem kufur. Oleh itu, memerintah dengan sistem demokrasi bermaksud memerintah dengan kekufuran, manakala menyeru kepada sistem demokrasi bermakna menyeru kepada sistem kufur.

 

Dengan demikian, dilarang dalam apa jua keadaan untuk menyeru atau menganut sistem demokrasi. Tambahan pula, demokrasi bertentangan dengan sistem pemerintahan Islam. Islam tidak berkaitan dengan sistem demokrasi. Ummah adalah pihak yang mempunyai hak untuk mengangkat seorang pemimpin negera, tetapi ummah tidak mempunyai kuasa untuk menurunkannya daripada jawatannya.

 

Pembuat hukum dan undang-undang adalah Allah SWT, bukan manusia, rakyat, atau umat. Kekuasaan ke atas manusia dan para penguasa, serta kedaulatan, adalah milik Allah. Sistem demokrasi memberikan kedaulatan kepada rakyat untuk melantik pemimpin dan menggubal undang-undang. Ini bermakna demokrasi bertentangan dengan sistem pemerintahan Islam.

 

Sistem pemerintahan Islam memberi kekuasaan kepada umat untuk mengangkat pemimpin mereka, tetapi tidak memberi kuasa untuk menggulingkan pemimpin negara daripada kerusi kepimpinan. Lebih-lebih lagi, Islam memberikan kedaulatan kepada hukum syariat, bukan kepada manusia. Islam juga menjadikan Allah sebagai satu-satunya pihak yang berautoriti untuk menentukan hukum dan perundangan. Justeru, sistem demokrasi bertentangan dengan sistem pemerintahan Islam sehingga haram untuk diterapkan mahupun diajak kepadanya.

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

 

 

Exit mobile version