[Afkar] Al-Rijal dalam Al-Quran
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Kata “ar-rijâl” [الرجال] adalah bahasa Arab dalam bentuk plural yang berasal dari suku kata “ar-rajul” [الرجل]. Ertinya: lelaki. Kata “rijâl” memiliki banyak erti. Bergantung pada konteks ayat dan teksnya. Kadang-kadang ia bererti lelaki sejati. Boleh juga bererti kata sifat; kejantanan/keberanian atau kepahlawanan/sikap kesatria.
Allah SWT mengidentikkan keberanian dan kepahlawanan/sikap kesatria kepada lelaki. Ini kerana secara karakteristik, Allah telah memberikan banyak kelebihan pada fizikal dan sifat lelaki seperti keberanian, ketegasan dan kejantanan sehingga kepahlawanan diistilahkan oleh al-Quran sebagai “ar-rijâl”. Kata lain dari “rijâl” dalam bahasa Arab yang mengertikan lelaki adalah kata “dzakar” [ذكر]. Namun, penggunaan kata “dzakar” aslinya dikhususkan kepada jenis kelamin lelaki. Berbeza dengan kata “rijâl”. Ia boleh saja meliputi kaum wanita kerana sifat-sifat yang dia miliki. Oleh kerana itu, pepatah Arab menyebutkan: “Semua rijâl adalah dzakar. Namun, belum tentu semua dzakar adalah rijâl.” Ertinya, kata dzakar hanya menunjukkan jenis kelamin sahaja, tetapi tidak memberikan erti-erti sifat pada diri seseorang.
Di dalam al-Quran penggunaan kata “rijâl”, “rajul”, atau yang seakar kata dengannya, sangatlah banyak. Maknanya identik dengan kebaikan. Di antaranya adalah orang yang menghidupkan masjid (Surah at-Taubah [9]: 108), beramal untuk akhirat (Surah an-Nur [24]: 36-37), teguh berpegang pada prinsip (Surah al-Ahzab [33]: 23), penanggungjawab dalam keluarga (Surah an-Nisa’ [4]: 34), dan lain-lain.
Dalam konteks dakwah, makna terbaik dari kata “rijâl” adalah kader. Jika dimaknai dengan kata “kesatria” atau “kepahlawanan”, maka lebih terkesan aspek sejarahnya. Namun, jika dimaknai “kader”, maka lebih dekat dengan maksud sebenar dan lebih dekat dengan realiti.
Dengan mentadabburi beberapa ayat al-Quran yang menyebutkan kata “rijâl/rajul”, maka karakteristik kader dakwah di antaranya adalah:
- Pertama, Kader Dakwah tidak Boleh Disibukkan dengan Urusan Dunia.
Allah SWT berfirman:
رِجَالٞ لَّا تُلۡهِيهِمۡ تِجَٰرَةٞ وَلَا بَيۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ يَخَافُونَ يَوۡمٗا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَٰرُ ٣٧ لِيَجۡزِيَهُمُ ٱللَّهُ أَحۡسَنَ مَا عَمِلُواْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَرۡزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ ٣٨
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual-beli daripada mengingat Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Mereka takut pada hari ketika hati dan penglihatan menjadi goncang (hari kiamat). Mereka melakukan itu agar Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan, dan supaya Allah menambah kurniaan-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa batas.” (TMQ as-Nur [24]: 37-38).
Ayat di atas selari dengan firman-Nya yang lain:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُلۡهِكُمۡ أَمۡوَٰلُكُمۡ وَلَآ أَوۡلَٰدُكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ ٩
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-harta kalian dan anak-anak kalian melalaikan kalian dari mengingat Allah.” (TMQ al-Munafiqun [63]: 9).
Allah SWT menegaskan bahawa dunia dan kegemerlapannya tidak dapat menyibukkan mereka. Mereka mengetahui bahawa pahala yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka daripada harta benda yang ada di tangan mereka. Harta benda yang ada pada mereka pasti habis, sedangkan pahala yang ada di sisi Allah kekal. Mereka lebih mendahulukan ketaatan kepada Allah dan perintah-Nya serta apa yang Dia sukai.
Hasyim telah meriwayatkan dari Syaiban yang menceritakan sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud, bahawa dia melihat suatu kaum dari kalangan ahli pasar saat dikumandangkan seruan untuk menunaikan solat fardhu. Mereka kemudian meninggalkan jual-beli mereka, lalu bangkit menunaikan solat. Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa mereka termasuk orang-orang yang disebutkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya: Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah (Surah an-Nur [24]: 37) (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 6/62-64).
- Kedua, Kader Dakwah adalah Orang yang Bergegas Memberikan Pertolongan dan Menyampaikan Kebenaran.
Allah SWT berfirman:
وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ٢٠ ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسَۡٔلُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ٢١
“Datanglah dari hujung kota seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, “Wahai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tidak meminta bayaran kepadamu, dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (TMQ Yasin [36]: 20-21).
Ibnu Ishaq dalam riwayatnya yang bersumber dari Ibnu Abbas, Ka’bul Ahbar dan Wahb bin Munabbih telah mengatakan bahawa penduduk negeri tersebut hampir saja membunuh utusan-utuan mereka, tetapi telanjur datang seorang lelaki dari pinggiran kota yang datang berlari dengan cepat untuk menolong rasul-rasul itu dari ancaman kaumnya.
Menurut mereka bertiga, lelaki tersebut bernama Habib, seorang tukang tenun dan sedang sakit. Sakit yang dia derita adalah kusta (sejenis penyakit kulit). Dia seorang yang banyak bersedekah. Separuh dari hasil kerjanya dia sedekahkan. Dia adalah seorang yang berfikiran lurus.
Umar bin al-Hakam mengatakan bahawa Habib adalah seorang paderi besar. Qatadah mengatakan: Dia seorang ahli ibadah, yang menghabiskan usianya untuk beribadah di salah satu gua yang ada di pinggiran negeri tersebut. Dia berkata, “Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu.” (Surah Yasin [36]: 20). Dia menganjurkan kepada kaumnya agar mengikuti para rasul tersebut yang datang kepada mereka memberi peringatan. “Ikutilah orang yang tidak meminta bayaran kepada kalian.” (Surah Yasin [36]: 21). Kata bayaran di sini bermaksud upah/imbalan dari penyampaian risalah kepada mereka. “Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Yasin [36]: 21). Mereka mendapat petunjuk dari Allah SWT. Kerana itu mereka menyeru kalian untuk menyembah Allah semata. Tiada sekutu bagi Diri-Nya (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-Azhîm, 6/570-574).
- Ketiga, Kader Dakwah adalah Orang yang Menepati Janji dan Sentiasa Sabar dalam Perjuangan.
Allah SWT berfirman:
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٤
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya). Semoga Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan mengazab orang munafik jika Dia kehendaki atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (TMQ al-Ahzab [33]: 23-24).
Setelah menceritakan perihal kaum munafik—yakni mereka telah melanggar perjanjian mereka sendiri yang telah mereka ikrarkan kepada Allah bahawa mereka tidak akan lari dari medan perang—kemudian Allah menyebutkan sifat-sifat kaum mukmin bahawa mereka tetap berpegang teguh pada ikrar dan janji mereka.
Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa “nahbahu” bermaksud ajalnya, sedangkan menurut Imam Bukhari, ia bermaksud janjinya. Pengertian ini merujuk pada makna yang pertama di atas. “Di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).” (Surah al-Ahzab [33]: 23). Ertinya, mereka tidak mengubah janji mereka kepada Allah; tidak pula melanggar (merosak) atau menggantinya.
Imam al-Bukhari telah menuturkan riwayat dari Kharijah bin Zaid bin Sabit, dari ayahnya yang menceritakan, “Ketika kami menyalin Mushaf, kami kehilangan suatu ayat dari Surah Ahzab. Padahal aku pernah mendengar ayat itu dari Rasulullah SAW saat ayat tersebut beliau baca. Ayat itu tidak ada pada seorang pun kecuali ada pada (hafalan) Khuzaimah bin Sabit al-Ansari ra. yang kesaksiannya dijadikan oleh Rasulullah SAW sebanding dengan kesaksian dua orang lelaki.” Ayat tersebut adalah firman Allah SWT (yang ertinya): Di antara kaum Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah (Surah al-Ahzab [33]: 23).
Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang mengatakan Sahabat Anas pernah menceritakan bahawa bapa saudaranya (iaitu Anas bin Nadr ra. yang namanya sama dengan dirinya) tidak ikut bersama Rasulullah SAW dalam Perang Badar sehingga dia mengalami tekanan batin. Kemudian Anas bin Nadr mengatakan, “Aku tidak ikut perang bersama Rasulullah SAW dalam permulaan perang yang diikuti oleh dirinya. Sungguh jika Allah SWT memberikan kesempatan kepadaku dalam perang lain sesudah perang ini, aku akan ikut bersama-sama Rasulullah SAW Sungguh Allah akan menyaksikan apa yang akan aku lakukan dalam perang tersebut.”
Terkait firman Allah SWT, “Mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya).” (Surah al-Ahzab [33]: 23), mereka sama sekali tidak mengubah janjinya dan tidak mengkhianatinya. Bahkan mereka tetap berpegang teguh kepada janji mereka kepada Allah. Mereka tidak mengingkarinya, tidak seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang munafik, iaitu mereka yang mengatakan: “Sungguh rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga).” Rumah-rumah itu sekali-kali tidak terbuka. Mereka tidak lain hanyalah hendak lari (Surah al-Ahzab [33]: 13), sampai dengan firman-Nya: “Sungguh mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah bahawa mereka tidak akan berpatah ke belakang (mundur).” (Surah al-Ahzab [33]: 15 (Lihat: Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 6/392-395).
Menyongsong Kemenangan
Kader dakwah dengan kriteria tersebut di atas hendaklah berada di baris hadapan dalam menyongsong kemenangan.
Ada tiga kunci dalam menyongsong pertolongan Allah SWT tersebut:
- Pertama, melayakkan diri sebagai hamba yang teguh keimanannya, dalam keilmuannya dan dekat dengan Allah SWT.
- Kedua, melakukan usaha perubahan dari suatu keadaan menuju keadaan lain yang lebih baik secara optimum.
- Ketiga, sabar atas panjangnya perjuangan dan bahaya tipu daya musuh.
Mengapa perlu melayakkan diri dari sisi keimanan dan ketakwaan? Kerana kemenangan bagi umat Islam adalah kurniaan dari Allah. Adapun yang wajib kita lakukan adalah melakukan ikhtiar dalam perjuangan untuk mengubah keadaan dunia yang sebelumnya jauh dari aturan Islam menuju keadaan yang tunduk dan patuh pada aturan Allah SWT. Inilah perubahan menuju penerapan syariah Islam secara kaffah.
Perubahan itu hendaklah diusahakan sendiri oleh umat Islam. Ini kerana perubahan itu bersifat aktif. Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ ١١
“Sungguh Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (TMQ ar-Ra’d [13]: 11).
Imam al-Quthubi dalam Tafsirnya menjelaskan: Tentang firman Allah SWT, “Sungguh Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum hingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,” maka Allah SWT memberitahukan di dalam ayat ini, bahawa Dia tidaklah mengubah keadaan suatu kaum sampai mereka melakukan perubahan dari: (1) kalangan mereka; (2) orang yang mengurus mereka; atau (3) salah seorang mereka dengan hubungan apapun. Demikian sebagaimana Allah mengubah keadaan orang-orang yang kalah pada Perang Uhud yang disebabkan oleh perubahan sikap para pemanah, dan contoh-contoh lainnya yang ada dalam syariah.” (HR al-Bukhari, Muslim, Nasa’i dan Ibnu Majah) (Lihat: Al-Qurthubi, Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, 9/294).
Imam al-Baidhawi juga menyatakan: “Allah tidak mengganti sesuatu yang ada pada kamu dari kesihatan dan kenikmatan sampai mereka mengubah dengan individu mereka dari keadaan yang baik dengan keadaan yang buruk.” (Lihat al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta’wîl, 3/183).
Dengan memperhatikan penafsiran di atas, perubahan yang dimaksud boleh bermakna mengubah yang buruk menjadi baik. Boleh juga bermakna merawat agar anugerah yang baik dari Allah tak berubah menjadi buruk kerana perilaku kita. Hal kedua inilah yang dicontohkan oleh Imam al-Qurthubi dan Imam al-Baidhawi di atas.
Adapun terkait sabar, Allah SWT berfirman:
وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ ١٢٨
“Bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu tidak akan terwujud kecuali dengan pertolongan Allah. Janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (TMQ an-Nahl [16]: 127-128).
Ungkapan “bersabarlah dan kesabaranmu itu tidak akan terwujud kecuali dengan pertolongan Allah” adalah penegasan perintah bersabar dan pemberitahuan bahawa sabar itu tidak akan boleh diperoleh kecuali dengan kehendak Allah, dengan pertolongan Allah, dan kekuatan Allah. Bersabar menghadapi musuh dakwah yang menyalahi dan menentang dakwah adalah kunci kemenangan. Ini adalah sunnatulLâh. Berusaha dan berdoalah agar kita beroleh sabar.
Penutup
Dengan demikian karakteristik rijâl (kader dakwah) adalah: tidak dilalaikan dengan urusan dunia; bergegas memberikan pertolongan dan menyampaikan kebenaran kepada umat; menepati janji dan sentiasa sabar dalam perjuangan. Sesungguhnya Allah ingin menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan rasa takut dan kegoncangan (gentar) agar Dia membezakan mana yang berhati buruk dan mana yang berhati baik. Dengan begitu apa yang ada di dalam hati mereka menjadi kelihatan dalam bentuk sikap dan perbuatan. Inilah karakter (sajiyyah) yang perlu melekat pada kader dakwah. Hal ini kerana, sudah menjadi sunatulLâh bahawa pada setiap zaman ada rijâl (tokoh)-nya dan setiap tokoh ada zaman (masa)-nya.

