Site icon MuslimahHTM News

[Pemikiran Politik Islam] Masalah Politik Umat dan Negara Islam

[Pemikiran Politik Islam] Masalah Politik Umat dan Negara Islam

Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum

 

Istilah “masalah politik” bermaksud masalah-masalah yang dihadapi oleh umat dan negara, dan perlu diselesaikan sebagai sebahagian daripada kewajipan untuk menjaga kepentingan umat. Masalah itu boleh bersifat umum sehingga boleh disebut masalah politik utama, atau ia juga boleh disebut spesifik sebagai kes politik. Boleh jadi juga kes itu adalah sebahagian daripada satu masalah sehingga ia merupakan salah satu daripada sejumlah pertanyaan yang berkaitan dengan masalah tersebut.

 

Sebagai contoh, masalah yang dihadapi dan wajib diperjuangkan oleh umat Islam adalah penegakan semula Khilafah Islam dalam kehidupan umat Islam. Masalah ini adalah masalah politik. Masalah lain yang dihadapi, seperti masalah Palestin dan Caucasus (Chechnya), adalah salah satu daripada beberapa persoalan yang berkaitan dengan masalah Khalifah.

 

Memang benar bahawa masalah Palestin dan Caucasus adalah masalah umat Islam yang menuntut perhatian dan penyelesaian. Walau bagaimanapun, perlu disedari bahawa kedua-dua kes ini adalah sebahagian daripada masalah mendirikan semula Khalifah. Sebaik sahaja Khilafah Islamiyah didirikan, masalah politik yang dihadapi adalah penerapan Islam di negeri dan dakwah Islam ke seluruh dunia.

 

Apabila Islam telah dilaksanakan sepenuhnya dalam Khilafah Islam dan Khilafah mempunyai kekuatan sebenar di dunia antarabangsa, maka masalah politik yang dihadapi oleh umat Islam adalah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada seluruh dunia. Ini dilakukan sehingga Allah menjadikan Islam menang atas semua agama/ideologi di dunia.

 

Oleh kerana itu, masalah politik merupakan masalah yang penting dan fundamental sehingga syariah mewajibkan negara dan umat Islam untuk melaksanakan dan menyelesaikannya. Oleh itu, Negara Islam mesti bertindak seperti yang diperintahkan oleh syariat dalam perkara ini.

 

Negara tidak memerlukan perintah khusus kerana ini adalah sebahagian daripada konsep penerapan peraturan-peraturan syariat dalam setiap peristiwa. Akibatnya, masalah politik akan berbeza-beza untuk setiap peristiwa. Segala-galanya mesti dilaksanakan dan diselesaikan oleh negara dan umat Islam.

 

Masalah politik yang dihadapi oleh Rasulullah SAW ketika beliau menyampaikan Islam di Mekah adalah kemenangan Islam. Diriwayatkan bahawa bapa saudaranya berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu telah datang kepadaku dan mengatakan begini dan begitu. Jadi selamatkanlah diriku dan dirimu. Janganlah engkau bebani aku dengan (masalah) yang tidak sanggup aku hadapi.”

 

Rasulullah SAW beranggapan bahawa dengan pernyataan tersebut bapa saudaranya akan meninggalkan dan menyerahkan beliau, dan tidak lagi sanggup menolong dan berdiri bersama beliau. Kemudian beliau bersabda, “Wahai pakcik, demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan dakwahku, aku tidak akan menghentikannya sehingga Allah memberikan kemenangan atau aku mati kerananya.”

 

Pernyataan Rasulullah SAW tersebut menunjukkan bahawa masalah politik yang dihadapi beliau ketika itu adalah kemenangan Islam. Semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan menegakkan Negara Islam, beliau melakukan sejumlah peperangan melawan musuh utama Islam yang dipimpin oleh kaum kafir Quraisy.

 

Dengan demikian masalah politik yang dihadapi pada waktu itu tetap sama, iaitu kejayaan dan kemenangan Islam. Pada saat Rasulullah SAW dalam perjalanan untuk menunaikan ibadah haji, sebelum beliau sampai di Hudaibiyah, beliau mendengar bahawa kaum Quraisy telah mengetahui perihal perjalanan Rasulullah SAW dan bersiap-sedia untuk mengusir beliau kembali ke Madinah.

 

Seorang lelaki dari Bani Ka’ab mengatakan kepada beliau, “Mereka (Quraisy) telah mengetahui perjalanan anda dan mereka mempersiapkan diri mereka, serta berselubung kulit harimau (menunjukkan kekuatan yang menakutkan). Mereka berkemah di Dzi Thuwa dan bersumpah kepada Allah tidak akan membiarkanmu memasuki Mekah selamanya.”

 

Kemudian, Rasulullah SAW menjawab, “Celakalah kaum Quraisy. Mereka telah dihancurkan oleh peperangan. Apa kerugian mereka jika mereka membiarkan masalah antara aku dan semua manusia lainnya? Apa yang mereka (Quraisy) fikirkan? Demi Allah, aku akan meneruskan jihad untuk menegakkan apa yang Allah mengutusku dengan membawanya, sampai Allah memberi kemenangan atau leherku terpisah.” (HR Ahmad dari Mihwar ibnu Makhramah).

 

Terpisahnya leher bermakna kematian, iaitu sampai beliau meninggal. Dengan demikian, masalah politik pada kedua masa tersebut sama. Pada saat di Mekah, beliau bertekad untuk menyerukan Islam sampai Allah memberi kemenangan, sedangkan ketika di kota Madinah setelah pendirian negara Islam, beliau bertekad melanjutkan jihad sampai Allah memberi kemenangan.

 

Rasulullah SAW pernah membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini merupakan penaklukan besar kerana perjanjian ini mengawali tertakluknya (futuh) Mekah dan masuknya bangsa Arab ke dalam Islam dalam jumlah besar. Dengan demikian, masalah politik yang dihadapi Rasulullah SAW bukan hanya kemenangan Islam, tetapi juga dominasi Islam atas semua agama di muka bumi, termasuk bangsa Romawi dan Parsi.

 

Dalam hal ini, Allah SWT menyebutkan dalam surat Al-Fath sebagai berikut, “Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak (benar) agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama.” (TMQ Al-Fath: 28).

 

Atas dasar ayat di atas, tampak jelas bahawa saat itu negara Islam telah menerapkan Islam secara sempurna dan mempunyai karakter yang kuat di mata antarabangsa. Dengan demikian, masalah politik yang dihadapi adalah menjadikan kemenangan Islam atas semua agama. Negara Islam juga mempersiapkan diri untuk menghancurkan berbagai ideologi dan pemikiran kufur di atas dunia.

 

 

Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.

 

Exit mobile version