Kekuatan Prasangka dalam Mendidik Anak
Oleh : Ustaz Iwan Januar
Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis qudsi dari jalan Abu Hurairah ra.,
« أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى إِنْ ظَنَّ بِى خَيْراً فَلَهُ وَإِنْ ظَنَّ شَرًّا فَلَهُ »
“Bahawasanya Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Aku bergantung prasangka hamba-Ku. Apabila dia berprasangka baik kepada-Ku, maka kebaikan baginya, dan apabila berprasangka buruk, maka keburukan baginya.”
Dalam hadis yang agung ini dijelaskan, janganlah difahami Allah itu lemah atau kekuatan-Nya bergantung kepada prasangka hamba-hamba-Nya. Namun, firman Allah ini justeru mengajarkan agar kita berhati-hati berprasangka. Ini kerana prasangka itu adalah sikap hati seorang manusia terhadap keadaan yang akan menimpanya.
Jika dia berprasangka buruk kepada Allah, bererti dia telah menuduh Allah akan menimpakan yang buruk-buruk saja kepadanya. Sikap hati seperti ini adalah tercela dan berdosa. Oleh kerana itu, wajar apabila Allah akan menimpakan keburukan kepada orang tersebut.
Namun jika sebaliknya, kita menyangka Allah tidak akan pernah menzalimi makhluk-Nya, selalu menyayangi, dan tidaklah musibah menimpa kita melainkan sebatas ujian yang akan berhujung dengan kebaikan, maka kebaikanlah yang akan datang kepada kita.
Orang-orang soleh terdahulu seperti para sahabat, mereka tidak pernah berfikir tentang Allah melainkan tentang kebaikan-Nya semata. Begitu juga ketika mereka menghadapi ujian besar. Semasa Perang Ahzab, para sahabat tergetar hatinya dan tercekik tenggorokannya menyaksikan jumlah bala tentera kaum kafir yang dibangunkan kaum musyrik Quraisy untuk mengepung Madinah. Di dalam surah Al-Ahzab digambarkan oleh Allah rasa takut yang mencengkam para sahabat laksana “hatimu menyesak sampai tenggorokan.”
Bagaimanapun juga, Allah SWT mengetahui kaum mukmin tetap berprasangka baik kepada-Nya. Allah berfirman, “Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.” (TMQ Al-Ahzab: 22).
Akhirnya, Allah pun memberikan pertolongan dan kemenangan kepada kaum mukmin, memporak-perandakan bala tentera kaum kafir, menyudutkan orang-orang munafik, dan selanjutnya menghancurkan pengkhianatan kaum Yahudi.
Sayangnya, kita sering terlupa dengan perintah “prasangka baik kepada Allah”. Tipisnya iman kita membuatkan pemahaman berprasangka baik kepada Allah itu sebatas urusan rezeki, yakni wang, wang, dan wang. Sesungguhnya, perintah husnuzan kepada Allah itu berlaku dalam setiap perkara, termasuk dalam pengasuhan dan pendidikan anak-anak kita.
Pernahkah kita merasa begitu putus harapan mendidik anak-anak kita dalam kebaikan? Diberitahu malah melawan, diajarkan sebaliknya membangkang, dan dinasihati malah mengabaikan. Akhirnya, anak-anaklah yang kita persalahkan. Tertanam dalam hati para ibubapa, bahawa anaknya culas, pembohong, nakal, suka mencuri, malas belajar, dan berbagai karakter negatif yang melekat dalam diri anak.
Ayah bonda, anak-anak adalah anak-anak. Di antara sifat mereka adalah kerap berulang-ulang melakukan kesalahan. Keperibadian mereka belum teratur. Tindakan mereka lebih banyak berdasarkan naluri (instinct) berbanding akal sehat. Cuba kita berfikir dengan jernih, orang dewasa mana yang masih mahu berebut mainan atau makanan dengan adiknya? Tidak ada bukan? Akan tetapi itu boleh terjadi pada anak-anak.
Setelah membaca hadis qudsi di atas, terlintaskah dalam fikiran bahawa boleh jadi perilaku negatif anak-anak sebaliknya ‘diciptakan’ oleh kita, ibubapanya sendiri? Ketika berprasangka buruk kepada Allah bahawa anak-anak kita karakternya negatif atau nakal, maka pada saat itu pula Allah “mengabulkan” semua prasangka kita.
Ketika kita curiga terus menerus bahawa anak kita suka mencuri, mengganggu adiknya, pemalas, dan lainnya, seketika Allah akan “mewujudkan” itu pada anak-anak kita. Semaklah baik-baik firman Allah tadi, “Apabila ia berprasangka baik kepada-Ku, maka kebaikan baginya, dan bila berprasangka buruk, maka keburukan baginya.”
Saya teringat cerita seorang kerabat ketika anak-anaknya masih kecil. Kepada ayahnya–datuk dari anak-anaknya–dia mengatakan, “Insyaallah yang satu ini bakal jadi doktor.”
Masyaallah, perkataan itu terealisasi kemudian. Anak yang dia maksudkan benar-benar menjadi doktor, bahkan bersuamikan seorang doktor. Inilah kebesaran Allah Taala.
Ayah bonda, ketika merasa anak-anak kita bermasalah, kita perlu melakukan introspeksi diri. Pasti ada sesuatu yang salah dalam diri kita. Salah satunya boleh jadi disebabkan kita menyimpan berbagai prasangka buruk kepada Allah tentang anak kita.
Sikap ibubapa pada ketika anak bermasalah sebaiknya tetaplah berkeyakinan bahawa Allah tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya, apalagi anak yang belum menanggung dosa berada dalam kezaliman dan kesesatan. Yakinlah bahawa kelak anak kita akan faham berbagai nasihat, arahan, dan kesedihan ibubapanya. Oleh kerana itu, jangan lelah dan berputus asa membimbing anak-anak kita agar selalu berada dalam kebaikan dengan cara dan bahasa yang baik pula.
Kemudian, panjatkan doa kepada Allah. Mohonlah agar Allah senantiasa melipatgandakan kesabaran kita dalam mendidik anak-anak, juga memberikan hidayah kepada kita dan anak keturunan kita.
Hati-hatilah dalam berprasangka kepada Allah tentang anak-anak kita. Jangan biarkan syaitan merosakkan prasangka dan keyakinan baik kita kepada Allah. Mohonlah perlindungan Allah saat kita menghadapi ujian yang berasal daripada anak-anak kita.
لاَ يَمُوتَنَّ أَحَدُكُمْ إِلاَّ وَهُوَ يُحْسِنُ الظَّنَّ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
“Janganlah salah seorang di antara kamu mati melainkan dia tetap berprasangka baik kepada Allah Azza wa Jalla.” (HR Muslim).

