Site icon MuslimahHTM News

Solat bagi Faqidu Al-Thahurain

[Soal-Jawab] Solat bagi Faqidu Al-Thahurain (Orang Yang Tidak Dapat Berwudhuk atau Bertayammum)
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi

Soalan:

Ustaz saya ingin bertanya. Alhamdulillah bapa saya telah berjaya pembedahan bypass jantung dan kini sedang dalam tempoh penyembuhan. Masih banyak kabel-kabel di badan. Dan tidak dapat bertayamum. Lalu bagaimana dengan solatnya? (Hamba Allah).

Jawapan :

Kes seperti di atas dalam kitab-kitab fiqih Islam disebut dengan solat orang Fāqidu Al-Thahūrain, iaitu orang yang tidak dapat berwudhuk atau bertayammum. Alasannya ada dua kemungkinan;

Pertama, orang itu tidak menemukan sama sekali air untuk berwudhuk atau debu untuk bertayammum.

Kedua, orang itu tidak dapat menggunakan air untuk berwudhuk atau debu untuk bertayammum, disebabkan oleh suatu halangan syarak (al-māni’), misalnya seorang muslim mengalami kecederaan (misalnya luka melecur akibat terbakar) pada seluruh tubuh, yang tidak memungkinkan dia untuk berwudhuk atau bertayammum. Atau misalnya kerana seorang muslim ditahan dalam suatu tempat tahanan atau penjara yang lantainya ada najis (misal air kencing, dsb) yang merata di seluruh lantai. Atau misalnya pada badan seorang muslim itu ada najis yang tidak dapat dipisahkan daripada badannya, dan sebagainya. Atau misalnya seorang muslim sedang berada di atas kapal terbang, lalu tidak mendapat air atau debu untuk bersuci (untuk wudhuk atau tayammum). (‘Ali Rāghib, Ahkāmus Sholāt, hlm. 9-10; Al-Khathīb Al-Syarbini, Mughni Al-Muhtāj, 1/274; Manshūr bin Yūnus Al-Bahūti, Kasysyāful Qinā’, 1/71; Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 32/190-191).

Lalu bagaimanakah muslim melaksanakan solatnya, jika dia berada dalam dua keadaan tersebut? Di sini terdapat perbezaan pendapat (ikhtilāf) di kalangan ulama mengenai tatacara solat wajib bagi muslim tersebut. Dalam masalah ini ada 3 (tiga) pendapat ulama;

Pertama, muslim itu tidak perlu solat. Ini adalah pendapat ulama Malikiyyah.

Kedua, muslim itu solat dalam keadaan apa adanya dia, dan mengulangi solatnya setelah dia terlepas dari dua keadaan di atas. Ini adalah pendapat ulama Hanafiyyah dan Syafi’iyyah.

Ketiga, muslim itu solat dalam keadaan apa adanya, dan tidak wajib mengulangi solatnya. Ini pendapat ulama Hanabilah. (https://islamqa.info/ar/answers/325602/هل-يصلي-فاقد-الطهورين-النوافل; Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 32/190-191).

Pendapat yang rājih (kuat) dan dipilih oleh Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullah, adalah pendapat ketiga, iaitu muslim yang tidak mendapatkan air untuk berwudhuk, atau tidak mendapati debu untuk bertayammum, maka dia wajib solat dalam keadaan apa adanya dia, dan tidak wajib mengulangi solatnya, ketika dia mendapati (atau mampu menggunakan) air untuk berwudhuk dan debu untuk bertayammum. Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullah, berkata :

وَإِذَا لَمْ يَجِدْ الْمُكَلَّفُ لَا مَاءً وَلَا تُرَابًاً بِأَنْ حُبِسَ فِي مَوْضِعٍ نَجِسٍ، أَوْ حُبِسَ فِي مَوْضِعٍ كُلِّهِ بَلَاطٌ، أَوْ كَانَ فِي أَرْضٍ ذَاتِ وَحْلٍ، فَإِنَّهُ يَجِبُ عَلَيْهِ أَنْ يُصَلِّيَ فِي الْحَالِ عَلَى حَسَبِ حَالِهِ وَلَا تَجِبُ عَلَيْهِ الْإِعَادَةُ إِذَا وَجَدَ الْمَاءَ

“Jika seorang mukallaf tidak mendapat air atau debu, misalkan dia dikurung di tempat yang bernajis, atau dikurung di tempat yang seluruhnya ditutupi jubin (tidak ada debunya), atau (dikurung) di tanah yang penuh lumpur (tidak ada debunya), maka wajib baginya solat dengan segera saat itu sesuai dengan keadaannya yang ada, dan tidak wajib baginya mengulanginya jika dia menemukan air.” (‘Ali Rāghib, Ahkāmus Sholāt, hlm. 9).

Dalilnya adalah sabda Rasulullah SAW yang memerintahkan kita untuk melaksanakan perintah syarak semaksima mungkin sesuai kemampuan yang ada :

وَإذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوْا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Dan jika aku perintahkan kamu untuk melakukan suatu perkara, maka laksanakanlah perintah itu sekuat kemampuanmu.” (HR. Bukhari, no. 7288; Muslim, no. 1337).

Dalil lainnya adalah hadis dari ‘Aisyah RA sebagai berikut :

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءِ قِلَادَةٍ ، فَضَلَّتْهَا، فَبَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رِجَالًا فِي طَلَبِهَا، فَوَجَدُوهَا، فَأَدْرَكَتْهُمْ الصَّلَاةُ، وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَصَلَّوْا بِغَيْرِ وُضُوءٍ، فَشَكَوْا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ
Dari ‘Aisyah RA bahawa dia pernah meminjam daripada Asma seutas kalung, kemudian ‘Aisyah RA terhilangkan kalung itu. Maka Rasulullah SAW kemudian mengutuskan beberapa orang lelaki untuk mencari kalung tersebut. Mereka pun akhirnya menemukan kalung itu, lalu mereka mendapati waktu solat telah tiba, tetapi mereka tidak mendapatkan air (untuk berwudhuk). Maka mereka pun solat tanpa berwudhuk. Mereka kemudian mengadukan peritiwa tersebut kepada Nabi SAW, lalu turunlah ayat tentang tayammum.” (HR. Bukhari, no. 334; Muslim, no. 367; Abu Dawud, no. 317; An-Nasa’i, 1/163-165; Ibnu Khuzaimah, no. 261).

Imam Taqiyuddin An-Nabhani, rahimahullah, menyimpulkan bahawa dari hadis tersebut, boleh hukumnya solat tanpa berwudhuk dan tidak wajib mengulangi solat jika mendapat air sesudahnya. Imam Taqiyuddin An-Nabhani berkata :

فَهَؤُلَاءِ صَلُّوْا مِنْ غَيْرِ وُضُوءٍ وَلَمْ يَأْمُرْهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْإِعَادَةِ

“Maka mereka ini (beberapa lelaki yang mencari kalung ‘Aisyah RA), telah melakukan solat tanpa berwudhuk, dan Nabi SAW pun tidak memerintahkan mereka untuk mengulangi solatnya (jika mendapati air).” (‘Ali Rāghib, Ahkāmus Sholāt, hlm. 9).

Kesimpulannya, terhadap kes yang ditanyakan di atas, jawapan kami adalah : bapa tersebut boleh solat dalam keadaan apa adanya, tanpa berwudhuk, kerana keadaanya yang tidak memungkinkan pasca pembedahan jantung bypass, dan tidak wajib atas beliau mengulangi solatnya jika keadaannya sudah normal atau sihat. Wallāhu a’lam.

11 Oktober 2023
Muhammad Shiddiq Al-Jawi

Exit mobile version