Site icon MuslimahHTM News

PEMBUKTIAN CINTA TERHADAP RASULULLAH SAW.

PEMBUKTIAN CINTA TERHADAP RASULULLAH SAW.

Penulis :Ustadz Arief B. Iskandar
(Khadim Ma’had Wakaf Darun Nahdhah al-Islamiyah Bogor)

 

Pada suatu masa Sayidina Umar bin al-Khattab RA berkata kepada Rasulullah SAW, ”Wahai Rasulullah, aku mencintai engkau lebih dari segalanya, kecuali diriku sendiri.”

Baginda bersabda, ”Tidaklah sempurna iman seseorang sebelum dia mencintai aku melebihi cintanya kepada dirinya sendiri.”

 

Mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, Umar RA berkata, ”Kalau begitu, sekarang aku mencintai engkau melebihi cintaku kepada diriku sendiri.”
Baginda kembali bersabda, “Sekarang, wahai Umar.” (HR al-Bukhari).

 

Dalam kisah yang lain, ada seorang sahabat Rasulullah SAW yang menghadiri majlis baginda dan berkata, ”Wahai Rasulullah, saya mencintai engkau melebihi cinta saya pada diri, harta dan keluarga saya sendiri. Jika saya berada di rumah, saya selalu memikirkan engkau. Saya tidak dapat bersabar hingga saya berjumpa dengan engkau. Saya selalu berfikir, apakah yang akan terjadi jika saya tidak dapat berjumpa dengan engkau lagi karena engkau pasti akan meninggal, begitu juga saya. Engkau di akhirat nanti akan bersama para nabi, sedangkan saya tidak demikian. Itulah yang saya pikirkan, saya bimbang tidak akan boleh bersama engkau lagi.”

 

Rasulullah SAW. hanya berdiam diri. Tidak menjawab. Namun kemudian, turunlah wahyu Allah SWT (yang maksudnya): “Siapa saja yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka akan bersama-sama dengan orang-orang yang Allah beri nikmat iaitu para nabi, para siddiqin, para suhada dan orang-orang soleh. Mereka itulah sebaik-baik teman. Itulah kurniaan Allah Yang Maha Mengetahui” (TMQ an-Nisa [4]: 69-70). (Al-Kandahlawi, _Fadhaa’il al-A’maal_, hlm. 760).

 

Kisah sahabat lain Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan betapa besar cinta mereka kepada baginda , adalah kisah Bilal bin Rabbah RA. Bilal bin Rabbah RA adalah muazin Nabi Muhammad SAW . Setiap kali tiba waktu solat, Bilal akan mengumandangkan azan dengan suara merdunya yang khas.

 

Setelah Nabi Muhammad SAW wafat,  Bilal begitu terasa akan kehilangan Rasulullah SAW. Cintanya yang mendalam kepada Rasulullah SAW. membuat Bilal berasa tidak sanggup lagi untuk mengumandangkan azan. Ini kerana setiap kali beliau mengumandangkan azan, beliau akan  teringat kepada Nabi SAW dan tidak mampu menahan tangis.

 

Bilal kemudian memutuskan untuk meninggalkan Madinah dan tinggal di Syria. Tujuannya untuk mengurangi rasa rindu yang begitu mendalam kepada Rasulullah SAW. Namun, satu hari, Bilal kembali ke Madinah dan bertemu dengan cucu Rasulullah SAW, Hasan dan Husain. Keduanya meminta Bilal untuk kembali mengumandangkan azan. Walaupun hatinya berat, Bilal tidak boleh menolak permintaan cucu-cucu yang sangat dicintai Nabi SAW itu.

 

Ketika Bilal mulai mengumandangkan azan, seluruh penduduk Madinah kembali teringat akan masa-masa ketika Rasulullah masih hidup. Suara azan Bilal yang penuh dengan kerinduan dan kesedihan membuat mereka semua menangis. Mereka teringat betapa dalamnya cinta Bilal kepada Rasulullah SAW.

 

Kisah Bilal bin Rabbah RA ini tercatat dalam beberapa kitab. Di antaranya Al-Bidaayah wa an-Nihaayah_ karya Ibnu Katsir, _As-Siirah an-Nabawiyyah_ karya Ibnu Hisyam, _Al-Isti’aab fii Ma’rifat al-Ashaab  karya Ibnu Abd al-Barr, dll.

 

Kisah lainnya, kali ini kisah kecintaan seorang Taabi’iin  kepada Rasulullah SAW., adalah kisah Uwais al-Qarni. Uwais al-Qarni adalah seorang Taabi’iin dari Yaman. Beliau sangat mencintai Rasulullah SAW. Walaupun walaupun belum pernah bersemuka dengan baginda, kecintaan yang begitu dalam kepada Rasulullah SAW sehingga beliau  dikenali sebagai orang yang luar biasa dalam ketaatannya kepada Allah SWT dan pengabdian kepada ibunya.

 

Suatu masa,  Uwais begitu teringin untuk pergi ke Madinah supaya dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Namun, ibunya sudah tua , sakit dan memerlukan penjagaannya. Lalu akhirnya, Uwais memilih untuk kekal tinggal di Yaman bagi menjaga ibunya walaupun hatinya sangat rindu untuk bertemu dengan Rasulullah SAW.

 

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda kepada para sahabatnya, termasuk Umar bin al-Khattab RA dan Ali bin Abi Thalib RA , bahawa akan datang seorang dari Yaman bernama Uwais al-Qarni yang sangat berbakti kepada ibunya.

 

Kisah Uwais al-Qarni ini menunjukkan betapa besar cinta seorang Taabi’iin kepada Rasulullah SAW, walaupun beliau tidak pernah  bersemuka dengan baginda. Uwais memilih untuk mendahulukan ibunya, yang juga merupakan perintah Rasulullah SAW. Dengan demikian kecintaannya kepada beliau bukan hanya dalam bentuk kerinduan, tetapi juga dalam ketaatan yang sempurna terhadap ajaran-ajaran Nabi SAW.

 

Kisah Uwais al-Qarni tercatat dalam beberapa kitab. Di antaranya antara lain dalam _Shahiih Muslim_ karya Imam Muslim, _Al-Isti’aab fii Ma’rifat al-Ashaab_ karya Ibnu Abd al-Barr, Asad al-Ghaabah fii Ma’rifat as-Sahaabah_ karya Ibnu al-Athir, _Hilyah al-Awliyaa’ wa Tabaqaat al-Asfiyaa’_ karya Abu Nuaim al-Isfahani, dll

 

Adapun dari kalangan Taabi’ at-Taabi’iin, kisah cinta mereka terhadap Rasulullah SAW antara lain adalah  kisah Imam Malik bin Anas RA, pendiri Mazhab Maliki.

 

Imam Malik sangat mencintai Rasulullah SAW dan menunjukkan rasa hormat yang luar biasa kepada baginda dalam pelbagai aspek kehidupannya. Salah satu contoh yang terkenal adalah sikap Imam Malik terhadap Kota Madinah, tempat Rasulullah SAW dimakamkan. Imam Malik tidak pernah menungggang haiwan tunggangan atau berjalan dengan memakai kasut di dalam Kota Madinah. Beliau mengatakan bahwa dia tidak ingin memijak tanah yang mungkin sahaja pernah disentuh oleh kaki Rasulullah SAW dengan cara yang kurang hormat.

 

Imam Malik juga dikenali sangat hati-hati apabila berbicara tentang Hadis Nabi SAW. Beliau sentiasa menjaga wudhunya dan mengenakan pakaian terbaiknya apabila menyampaikan hadis Rasulullah SAW kepada murid-muridnya. Ini karena beliau merasakan  bahwa menyampaikan hadis adalah tindakan yang sangat mulia dan harus dilakukan dengan penuh cinta dan rasa hormat kepada Rasulullah SAW.

 

Kisah Imam Malik bin Anas ra. ini tercatat dalam beberapa kitab antara lain: _Tartiib al-Madaarik wa Taqriib al-Masaalik_ karya Qadhi ‘Iyadh, _Siyar A’laam an-Nubalaa’_ dan _Tadzkiraat al-Huffaazh_ karya Imam adz-Dzahabi, dll.

 

Lalu bagaimana dengan kita hari ini yang jauh dari era mereka? Bagaimana pembuktian cinta kita kepada Nabi Muhammad SAW ? Jawapannya: Cukup dengan melaksanakan dan mengamalkan keseluruhan syariah yang baginda bawa samada secara individu, keluarga, masyarakat dan negara. Semua ini adalah semata-mata dalam rangka  demi tegaknya syariah Islam dalam semua aspek kehidupan, itulah yang perjuangan Rasulullah SAW , yang mengorbankan jiwa-raganya semenjak beliau diutus ke tengah-tengah umat manusia. Dengan itu pula Islam sebagai rahmatan lil ‘aalamiin benar-benar menjadi kenyataan.

 

Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah. []

****

اللهم انى اسالك باسمك الاعظم المكتوب من نور وجهك الاعلى الموبد الدائم الباقى المخلد فى قلب نبيك ورسولك محمد وأسالك باسمك الاعظم الوحد بوحدة الاحد المتعالى عن وحدة الكم والعدد المقدس عن كل احد وبحق بسم الله الرحمن الرحيم قل هوالله احد الله الصمد لم يلد ولم يولد ولم يكن له كفوا احد ان تصلي على سيدنا محمد سر حياة الوجود والسبب الاعظم لكل موجود صلاة تثبت فى قلبى الايمان وتحفظنى القران وتفهمنى منه الايات وتفتح لى بها نور الجنات ونور النعيم ونور النظر الى وجهك الكريم وعلى اله وصحبه وسلم…..آمين.

 

Exit mobile version