Site icon MuslimahHTM News

Dalam Doktrin Ketenteraan… Apakah yang Menghalang Tentera Umat Islam Menyokong Gaza? (Bahagian 1)

Dalam Doktrin Ketenteraan… Apakah yang Menghalang Tentera Umat Islam Menyokong Gaza? (Bahagian 1)

(Terjemahan)

 

Oleh: Ustaz Bassam Farhat (Tunisia)

 

Sekali lagi, pertimbangan politik terhadap entiti Zionis sejajar dengan pencerobohan terhadap Gaza. Ia berfungsi sebagai seruan berkobar-kobar kepada medium politik, agar menyatukan semua partinya, dan menghidupkan semula sentimen rohani dan keagamaan dikalangan orang-orang yang ingatan kolektifnya telah disuap oleh tragedi berdarah pembunuhan beramai-ramai ”Joshua (Yusha‘), Saul (Talut), dan David (Daud)“ terhadap suku Kanaan (Canaan), menganggapnya sebagai “sejarah yang gemilang”.

 

Nama pelbagai operasi militer mungkin berbeza, seperti “Operation Grapes of Wrath, “Operation Cast Lead“,  “Operation Protective Edge,” “Gaza Envelope“, tetapi realitinya tetap sama: senario militer berdarah dan kejam, sengit, dan perang sepihak telah dilancarkan oleh kuasa militer ketujuh belas terkuat di dunia ini yang juga merupakan anggota persatuan nuklear, terhadap penduduk yang tidak berdaya dan tidak mempunyai tempat berlindung. Dalam perang ini, entiti yang kononnya merupakan “satu-satunya demokrasi di Timur Tengah” telah menggunakan senjata paling berkuasa dan bentuk genosid yang paling mengerikan. Situasi ini mendedahkan sejauh mana kebencian, niat jahat, kekejaman, jenayah, dan sifat dendam meluap-luap yang telah memenuhi watak entiti Y4hudi. Selama sepuluh bulan berturut-turut, pembunuhan beramai-ramai secara terbuka masih dilakukan terhadap Gaza dan penduduknya yang tetap teguh dalam ketidakberdayaan. Tindakan sadisme yang sama sekali tidak boleh diterima ini telah menyasarkan segala-galanya sebagai mangsanya, baik batuan, pokok-pokok, manusia, mahupun haiwan. Setakat penulisan ini ditulis, jumlah kematian telah mencecah 40,000 syahid, dengan 80,000 cedera, kebanyakannya adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua, berserta kemusnahan infrastruktur yang meluas.

 

Dilema ini adalah bahawa pemusnahan sistematik terhadap mata pencarian penduduk Gaza berlaku di hadapan mata, di bawah pengawasan, inspirasi, dan sokongan dunia yang kononnya bebas, dengan tindakan persekongkolan dan “restu“ yang memalukan daripada rejim-rejim Arab. Rejim-rejim ini bukan sahaja gagal menunaikan kewajipan mereka untuk memberikan sokongan kepada penduduk Gaza, malah sebaliknya mereka bertindak melampau dengan menyediakan sokongan logistik kepada entiti Zionis dengan membekalkan sumber-sumber penting seperti makanan dan bahan api kepada mereka.

 

Sebenarnya, perbuatan-perbuatan seumpama ini, yang mana binatang pun tidak melakukannya (tapi mereka memilih melakukannya), bukanlah hal yang menghairankan. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah besar Bani Israel, yang berulang kali dengan teliti, memperbaiki dan menyempurnakan prestasi mereka dari satu siri pembunuhan beramai-ramai ke siri seterusnya, sehinggalah mereka bergabung dalam projek Talmud yang diubah menjadi “Israel Raya,” semasa fasa pemindahan paling genting dan mengerikan, yang melibatkan pembersihan etnik di titik pusat “Israel Raya,” iaitu, Tanah Suci Palestin.

 

Walau bagaimanapun, seperti kata pepatah, “disebalik awan ada cahaya”, setiap yang buruk ada baiknya. Salah satu faedah daripada pencerobohan yang tidak adil ini ialah umat Islam mula mendapat semula keyakinan mereka di hadapan para tentera. Ummah kini menangani mereka secara langsung selepas berdekad-dekad ditimpa perpecahan, ketidakpercayaan, dan permusuhan yang mendalam. Namun, persoalannya masih sama: Adakah institusi ketenteraan di negara-negara Islam layak menerima amanah ini, dan bersedia untuk membelanya? Jika tidak, bagaimanakah mereka ini dapat diselamatkan daripada cengkaman penjajahan, dikembalikan ke dakapan ummah, dan dikerah untuk mempertahankan perjuangan ummah?

 

Menjauhkan Ummah dari Kekuatannya

 

  1. Kekecewaan dan Keputusasaan:

 

Sejak pertengahan abad ke-20, retorik kekecewaan dan keputusasaan, sama ada pihak rasmi, partisan, atau popular, telah terus-menerus memperlekehkan tentera ummah. Retorik mereka telah memperkecilkan kepentingan para tentera, mempersoalkan keupayaan pertempuran mereka, dan juga meragui integriti mereka. Mereka sering digambarkan sebagai sama ada pasukan tirani yang dilarang untuk mengharapkan bantuannya, atau sebagai alat untuk menindas rakyat dan melindungi ejen pemerintah. Ia membawa kepada kepercayaan bahawa tiada kebaikan boleh datang daripada mereka, dan pembebasan hanya boleh dicapai dengan penyingkiran mereka.

 

Tuntutan toksik ini seperti ini sebenarnya bercanggah dengan kedua-dua norma sosial dan prinsip politik. Pembebasan daripada penjajahan hanya boleh direalisasikan secara praktikal apabila disokong oleh pasukan tentera yang menyokongnya, melindunginya, dan menghapuskan halangan fizikal yang menghalangnya. Kesedaran dan keinginan semata, tanpa sokongan mereka yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan, tidak mencukupi untuk membawa perubahan yang diingini. Entiti ketenteraan hanya boleh disingkirkan dengan efektif oleh entiti lain yang mempunyai sifat yang sama.

 

Dakwaan ini juga bercanggah dengan realiti ketenteraan ini. Mereka adalah sebahagian daripada ummah Islam, terdiri dari kalangan pahlawan terbaik yang memiliki kepedulian dan kemenangan yang sama, sebagaimana umat lainnya, mereka turut melindungi kesucian, dan mendambakan pembebasan dan kemuliaan dari janji Allah. Memang benar bahawa institusi ketenteraan di negeri-negeri umat Islam jelas bercanggah dengan agama. Intitusi tersebut tidak bersedia dari segi politik, psikologi, mahupun ideologi untuk mendapatkan bantuan, mahupun untuk pergi membantu kaum Muslim. Sesungguhnya institusi tersebut (pada hari ini) sebaliknya menjadi alat untuk menindas orang awam, berperang melawan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, melindungi kepentingan-kepentingan kolonialisme, melaksanakan projek-projek mereka dan menjaga keamanan para ejen mereka di singgahsana.

 

Akan tetapi, penting untuk membezakan antara institusi ketenteraan sebagai kaki tangan rasmi yang diasaskan penjajah, dilatih dan dipersenjatai untuk tetap setia kepada kuasa penjajah, dengan individu-individu daripada pasukan tentera yang menjadi sebahagian daripada ummah. Para tentera ini berkongsi kepercayaan (dasar iman) yang sama dengan ummah, semangat untuk agama, dan turut merasakan penderitaan di bawah api kapitalisme. Oleh itu, adalah mungkin untuk menangani iman keislaman yang mendasari mereka, mencetuskan rasa tidak puas hati mereka dengan status quo yang korup, serta menarik mereka untuk menyokong projek Islam.

 

  1. Manuver Kolonial:

 

Akibatnya, penjajah Kuffar telah berusaha untuk menjauhkan pasukan tentera daripada pergerakan ummah. Mereka menggunakan pasukan tentera untuk menundukkan rakyat mereka sendiri, membendung cita-cita mereka, dan menghalang usaha mengembalikan semula cara hidup Islam. Jelas bahawa ini adalah manuver penjajah yang berniat jahat yang bertujuan untuk memisahkan ummah daripada kekuatannya, mengasingkan mereka daripada tenteranya. Ia adalah manuver yang bertujuan untuk mewujudkan halangan psikologi dan politik yang akan menjauhkan ummah daripada sumber kekuasaan dan perlindungannya. Pemisahan ini bertujuan untuk mengekalkan kebergantungan ummah, dan menekan sebarang kemungkinan adanya pada mereka dorongan ke arah pembebasan.

 

Ironinya, strategi penjajah ini tetap mendapat pengesahan dan sokongan dalam dunia nyata. Peristiwa di Gaza menjadi contoh yang jelas. Walaupun kekejaman Zionis menimbulkan kebimbangan kemanusiaan di kalangan musuh-musuh itu sendiri, baik para rejim mahupun rakyanya, bahkan telah menggerakkan seluruh bandar-bandar besar di Eropah, menerobos pendapat umum Barat yang secara tradisinya pro-Zionis, khususnya di kubu-kubu kuat Zionisme dan universiti-universiti politik elit terkemuka Amerika dan Eropah, namun, walaupun usaha atau suara tersebut ada, ia masih tidak mendapat perhatian atau pengiktirafan yang sewajarnya. Seolah-olah seperti teriakan yang lemah di tengah-tengah tempat yang sunyi dan terpencil. Teriakan itu tidak mendapat perhatian di kalangan angkatan tentera Muslim, yang sebaliknya sibuk menindas pergerakan rakyat mereka sendiri, dan mengambil bahagian dalam pengepungan serta penindasan terhadap penduduk Gaza, bersama-sama entiti Zionis.

 

Realiti yang mengejutkan ini sukar untuk difahami, telah menggoncang kepercayaan asas kita dan menimbulkan persoalan yang membara: Apakah yang menghalang pasukan tentera umat Islam daripada menyokong saudara mereka di Gaza? Apakah mereka tidak disatukan oleh akidah Islam? Adakah mereka bahkan tidak terikat dengan ikatan asas etnik, kesukuan, dan nasionalisme? Apakah jeritan para janda dan anak yatim, rintihan mereka yang teraniaya, serta air mata kanak-kanak dan bayi tidak membangkitkan akal budi mereka terhadap kehormatan, maruah, dan tanggungjawab? Adakah pemandangan tubuh-tubuh yang berdarah, terpotong-potong, hangus serta reput itu tidak menggugah walau sedikit pun emosi asas manusia di dalam diri mereka? Bagaimana pula seorang askar Kristian Amerika, Aaron Bushnell, sanggup membakar dirinya sebagai protes terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Zionis, namun, seorang tentera muslim tidak mahu membela kehormatan dan nyawa saudara seislamnya?

 

Panel Kawalan Kepimpinan

 

  1. Keperibadian Konseptual Tentera

 

Disebalik kerumitan soalan-soalan ini dan sifatnya yang kelihatan paradoks, namun jawapan sebenarnya adalah sederhana, logik, dan bahkan jelas. Kolonialisme telah menguasai “dashboard” atau panel kawalan tentera muslim, iaitu doktrin tempur tentera mereka. Kolonialisme telah menjadikan mereka patuh kepada perintahnya dan berada di bawah kendaliannya. Sebagaimana seorang individu mempunyai keperibadian yang nyata dan ketara yang terdiri daripada akal (aqliyyah) dan sifat (nafsiyah) yang menentukan pemikiran, pemahaman, kecenderungan, tingkah laku, persepsi minat, dan tahap perkembangannya, demikianlah juga negara dan tentera memiliki keperibadian moral, virtual, dan konseptual. Keperibadian ini memiliki komponen yang sama seperti keperibadian individu. Ia mempunyai pengaruh yang sama terhadap realiti dan karakter/sifat tentera, membentuk pemikiran, pemahaman, tingkah laku, kecenderungan, minat, dan perkembangannya.

 

Jelaslah betapa pentingnya asas intelek yang digunakan dalam penalaran, apabila menghubungkan realiti kepada maklumat, dan motif kepada konsep. Asas ini memainkan peranan penting dalam membentuk kedua-dua aspek keperibadian dengan cara yang tersendiri. Landasan ini mengkristalkan makna ke dalam konsep yang mendorong dan membimbing tingkah laku. Ia membentuk motivasi menjadi keutamaan dan kecenderungan yang menentukan bagaimana keperluan dipenuhi.

 

Apabila persamaan disposisi-budaya ini diterapkan pada realiti angkatan tentera, ia diterjemahkan ke dalam istilah “doktrin ketenteraan.” Doktrin ini berfungsi sebagai asas intelektual yang digunakan oleh institusi ketenteraan untuk penalaran, mengukir kontur keperibadian konseptualnya, baik dari segi intelektual mahupun pada tahap sifat atau kecenderungan. Ia menyediakan tentera dengan satu set prinsip asas tentang bagaimana tentera harus berfikir dalam pelbagai situasi pertempuran, memastikan keberkesanan, kesetiaan, ketaatan, dan disiplin mereka. Walau bagaimanapun, kesetiaan kepada entiti yang mentakrifkan doktrin ketenteraan mereka, maka di situlah letak pokok permasalahannya.

 

  1. Kunci kepada Tentera:

 

Angkatan tentera moden memiliki tiga komponen kunci (utama) yang memungkinkan kawalan ke atas mereka:

  1. Struktur hierarki dan berasaskan pangkat,
  2. Sistem disiplin yang ketat, dan
  3. Doktrin ketenteraan.

 

Triad ini berfungsi sebagai panel kawalan yang membolehkan penaklukan, pengurusan, pengarahan, dan penggunaan institusi tentera untuk mencapai objektif politik negara serta memastikan keselamatan dan kepentingan tertingginya.

 

Mereka yang memegang pangkat tentera yang tinggi mempunyai “formula ajaib” atas kawalan dan kepimpinan, yang merangkumi:

  1. Kesetiaan penuh,
  2. Ketaatan buta, dan
  3. Penyerahan total.

 

Dalam bentuk ketenteraan moden, kawalan ini didasarkan pada organisasi pentadbiran yang tepat dan sistem disiplin yang ketat. Institusi tentera dibangun atas struktur hierarki yang merentangi dari atas ke bawah dalam bentuk pokok organisasi yang bercabang, dengan berbagai pemimpin dan pangkat mengawal bahagian-bahagiannya. Semakin anda bergerak ke bawah dalam kedudukan, asas (struktur- pent.)nya semakin luas, dari Jeneral ke Kolonel, Leftenan, sehinggalah ke tentera. Sebaliknya berlaku apabila anda naik ke peringkat (pangkat) atas.

 

*Ia menunjukkan bahawa apabila seseorang bergerak ke atas dalam hirarki tentera, bilangan individu yang mengawal atau memimpin semakin berkurang, menjadikan struktur menjadi lebih sempit. Sebagai contoh, terdapat lebih ramai anggota pangkat rendah berbanding dengan pangkat tinggi seperti Jeneral, yang mempunyai tanggungjawab dan kuasa yang lebih besar. (Pent.)

 

Oleh itu, menyasarkan dan memenangi pangkat yang sesuai dapat memungkinkan kawalan ke atas seluruh institusi tentera, atau bahagian-bahagian pentingnya, daripada kor, divisyen, briged, dan batalion. Arahan daripada para komandan ini mesti dipatuhi tanpa ragu-ragu, atau aduan oleh mereka yang berpangkat lebih rendah berada di bawah ancaman hukuman berat, yang mungkin mencakupi pelaksanaan hukuman mati, terutama jika negara berada dalam keadaan perang, kerana ia dianggap sebagai pengkhianatan. Sistem ini mencegah sebarang pemikiran pemberontakan dalam kalangan tulang belakang dan komponen penting tentera, iaitu para tentera. Ini menyumbang kepada kepatuhan dan eskploitasi mereka.

 

  1. Tonggak Asas:

 

Tidak dinafikan, elemen yang paling penting dalam triad ini ialah doktrin ketenteraan. Ia membentuk aspek intelektual, budaya, dan ideologi tentera. Dua elemen lain, struktur hierarki dan disiplin yang ketat hanyalah pelengkap dari segi organisasi dan pentadbiran. Terdapat hubungan dialektik dan saling berkaitan antara prinsip-prinsip ketenteraan, budaya dan doktrinnya, serta kepatuhan, ketundukan, dan komitmennya. Pengaruh doktrin ketenteraan terhadap kesetiaan dan keberkesanan tentera adalah signifikan, tidak dapat dielakkan dan automatik. Ia menentukan aspek-aspek tersebut dan memastikan pematuhan terhadapnya.

 

Seorang tentera, tanpa mengira pangkat, tetaplah seorang manusia, yang perilakunya secara fundamental berkait dengan konsep kehidupan, kriteria, dan keyakinannya. Ini menentukan jenis emosi yang mendorong mereka dan cara mereka bertindak. Mengikut konsep-konsep ini, seorang tentera mengatur kepentingan mereka dan membentuk hubungan dengan orang lain. Dari perspektif ini, doktrin ketenteraan membentuk tonggak asas dalam membentuk dasar ketenteraan mana-mana kumpulan manusia, tanpa mengira tahap pembangunan atau primitifnya, sama ada ia berkaitan dengan empayar, negara, suku, atau mafia. Tiada bentuk organisasi ketenteraan boleh beroperasi dan mencapai matlamatnya tanpa doktrin ketenteraan, tidak kira betapa asas atau naluriahnya, seperti merompak dan merampas, membalas dendam dan tindakan balas. Yang penting adalah ia beroperasi mengikut idea, visi, perspektif, dan objektif yang ingin dicapai. Jika tidak, kekacauan akan berlaku, perpaduan akan hilang, dan kekalahan serta kegagalan akan menyusul.

 

Oleh itu, sesiapa yang ingin membina tentera, mendapatkan kesetiaan, sokongan, dan kemenangan daripadanya harus menumpukan perhatian kepada doktrin ketenteraan, sama ada dengan menetapkan dan merumuskannya, mengekalkan dan memberi tumpuan kepadanya, atau mengubah dan menyesuaikannya. Ini adalah pendekatan umum. Untuk menyelidiki butirannya, kita perlu menjawab soalan-soalan berikut: Apa yang dimaksudkan dengan doktrin ketenteraan? Apakah tahap dan sumbernya? Apa peranan aspek budaya asas di dalamnya? Apa hubungannya dengan doktrin politik negara? Bagaimana ia menyumbang kepada kawalan tentera dan meningkatkan keberkesanan pertempuran mereka? Bagaimana ia boleh disasarkan dan dimanfaatkan?

 

Mengenai Doktrin Ketenteraan

 

  1. Definisi dan Skop:

 

Seperti mana-mana perkara yang sangat penting, doktrin ketenteraan telah ditakrifkan dalam pelbagai cara, membahasnya dari pelbagai perspektif, teknikal, prosedur, strategik, politik, etika, dan ideologi. Di sebalik kepelbagaian takrifan ini, kesemuanya berkongsi benang yang sama berpusat pada doktrin politik negara, keselamatan negara dan dasar ketenteraan amnya. Mereka juga secara kolektif bertujuan untuk menjawab soalan-soalan penting berikut: Bilakah kita bertempur? Siapa yang kita lawan? Dengan siapa kita berperang? Bagaimana kita berperang? Kenapa kita berperang? Berapa lama kita berperang?

 

Definisi doktrin ketenteraan yang paling ringkas dan komprehensif ialah: “Seni dan sains menguruskan konflik bersenjata untuk mencapai doktrin politik negara.” Definisi ini meletakkan doktrin ketenteraan sebagai pelayan, pelindung, pendorong, dan penguatkuasa doktrin politik negara, yang terdiri daripada sejumlah ajaran, nilai-nilai tertinggi, dan prinsip-prinsip politik, ketenteraan, ekonomi, sosial, dan kerohanian yang berasal dari tamadun masyarakatnya, dan tertanam dengan mendalam dalam jiwa dan semangat kolektif mereka.

 

Menurut definisi ini, doktrin ketenteraan dipupuk oleh beberapa sumber utama, yang paling penting termasuk:

 

– Doktrin negara, sama ada ia bersifat agama, ideologi, atau prinsip, yang dirumuskan oleh pemimpin politik.

– Nilai, prinsip, adat, tradisi, dan norma yang lazim dalam negara, dan diterima secara meluas oleh rakyatnya.

– Sejarah ketenteraan negara, yang merupakan hasil kumulatif daripada pengalaman, eksperimen, dan pengajaran yang diperoleh selama bertahun-tahun.

– Pembangunan teknologi dan teknikal, yang memerlukan kemas kini dan penyesuaian berterusan untuk kekal relevan.

– Keperluan keselamatan nasional, termasuk sumber ancaman dan perubahan dalam tatanan global, serta perang yang dijangkakan dari segi jenis, bentuk, tahap, dan skop.

 

Pertimbangan geostrategik negara, termasuk lokasinya, sumber, keadaan ekonomi, sosial, politik, dan budaya, yang secara signifikan menentukan saiz, struktur, dan jenis organisasi ketenteraannya, serta kaedah operasi dan pengaruhnya terhadap dasar dalam dan luar negara.

 

Berdasarkan pemahaman ini, doktrin ketenteraan adalah isu kedaulatan dan intrinsik yang khusus untuk setiap negara. Ia disesuaikan dengan keadaan dan ciri uniknya. Tiada doktrin ketenteraan universal yang boleh diterapkan kepada semua negara sebagai standard. Sebaliknya, setiap negara mempunyai doktrin ketenteraan sendiri yang mencerminkan realiti, keadaan, dan keunikan mereka.

 

Membenarkan sebuah negara lain merumuskan doktrin ketenteraan untuk sesebuah negara adalah kemuncak jenayah, kerana hal itu secara efektif bermaksud bahawa penjajahan, pemanfaatan, dan penaklukan berlaku ke atas negara tersebut demi kepentingan negara yang lain.

 

Tahap Doktrin Ketenteraan:

 

Berdasarkan sumber-sumber yang disebutkan, kita boleh membezakan antara lima tahap doktrin ketenteraan:

 

  1. Tahap Doktrin Ideologi: Tahap ini mendefinisikan asas intelektual dan budaya, serta latar belakang ideologi tentera secara keseluruhan, termasuk kepercayaan khusus para tenteranya. Ia membentuk pandangan dunia keseluruhan tentera dan pemikiran individu anggotanya.

 

  1. Tahap Strategik: Tahap ini mengenal pasti dan mendefinisikan ancaman, risiko, dan cabaran yang sedang dihadapi oleh negara pada masa ini atau yang dijangkakan akan dihadapi. Ia melibatkan penyelarasan doktrin ketenteraan dengan doktrin keselamatan negara dan strategi keselamatan nasional, memastikan bahawa polisi ketenteraan disesuaikan untuk menangani ancaman ini dengan berkesan.

 

  1. Tahap Teknologi Teknikal: Tahap ini memberi tumpuan kepada memodenkan senjata, peralatan, dan keupayaan keseluruhan tentera. Ia memastikan bahawa tentera mengikuti perkembangan teknologi dalam persenjataan, latihan, dan sokongan logistik, seterusnya mengekalkan kesiapsiagaan operasionalnya.

 

  1. Tahap Operasi Taktikal: Tahap ini berkaitan dengan usaha perang, termasuk mobilisasi sumber dan angkatan bersenjata negara untuk peperangan. Ia melibatkan pembinaan doktrin pertempuran tentera, merangkumi organisasi, perancangan, persiapan, dan latihan untuk terlibat dalam pertempuran dan mencapai objektif ketenteraan.

 

  1. Tahap Etika: Tahap ini menangani aspek kemanusiaan dan moral dalam doktrin ketenteraan. Ia menyediakan tentera dengan simpanan nilai-nilai murni, membimbingnya ke arah kebaikan, dan mengenakan sekatan agama, kemanusiaan, dan etika ke atas tingkah lakunya semasa pelaksanaan misi.

 

Setiap tahap atau peringkat ini memainkan peranan penting dalam membentuk doktrin ketenteraan yang komprehensif, yang bukan sahaja menentukan cara tentera beroperasi, tetapi juga memastikan keselarasan dengan objektif dan nilai yang lebih luas bagi negara yang ia berkhidmat.

 

Kelima-lima tahap ini saling berkaitan. Adalah mustahil untuk memisahkan atau mengabaikan mana-mana satu daripadanya, kerana setiap tahap melengkapi yang lain. Bersama-sama, mereka membentuk doktrin ketenteraan yang komprehensif dalam erti kata sepenuhnya, yang boleh ditakrifkan sebagai “sekumpulan nilai dan prinsip intelektual, bertujuan untuk menubuhkan teori sains ketenteraan dan seni perang, menentukan struktur dan penggunaan angkatan bersenjata pada waktu aman dan perang untuk mencapai kepentingan dan objektif tertinggi negara.”

 

Walaupun kebanyakan tahapan ini mempunyai sifat teknikal dan prosedural, aspek budaya dan doktrin berfungsi sebagai benang pengikat antara mereka. Tahap doktrin ini bukan semata-mata menentukan cara bertempur. Ia juga menetapkan satu set prinsip asas yang membimbing pemikiran para tentera dalam pelbagai situasi tempur. Ia menentukan dengan siapa mereka bersekutu, dengan siapa yang mereka lawan, dengan siapa mereka berperang, bagaimana, bila, mengapa, dan sejauh mana mereka berperang. Dalam pengertian ini, doktrin ketenteraan berfungsi sebagai otak, emosi, dan hati nurani institusi ketenteraan.

 

Oleh itu, ia merupakan pintu masuk yang penting bagi sesiapa yang berhasrat untuk menyasarkan institusi tersebut melalui pengambilan, mobilisasi, atau sokongan, dengan syarat mereka bergantung kepada doktrin yang dikongsi oleh para tentera dan rakyat. Walau bagaimanapun, jika tubuhnya adalah Muslim tetapi minda, emosi, dan derianya berorientasikan Barat, Kristian, atau Zionis, ini adalah resipi untuk penjajahan, kemusnahan, dan bunuh diri politik.

 

[Bersambung]

 

Sumber: Majalah Al-Waie, Edisi 456

Tahun 39, Muharram 1446 H, bersamaan Ogos 2024 M

https://www.al-waie.org/archives/article/19459

Exit mobile version