Site icon MuslimahHTM News

Menanggapi Perbezaan Pendapat

Menanggapi Perbezaan Pendapat

Sesungguhnya hukum yang di-istinbath daripada dalil-dalil syariah dengan ijtihad syar’ie yang sahih adalah hukum syar’ie bagi pemilik ijtihad itu. Ia adalah pendapat yang islami walaupun ia bertentangan dengan pendapat yang kita terima pakai (tabanni). Terutamanya jika pendapat ini adalah pendapat mujtahid dari imam-imam mazhab yang terkenal dengan ilmu dan ketakwaan mereka seperti ijtihad para imam empat mazhab.

 

Disebutkan dalam buku Mafâhin Hizbi at-Tahrîr seperti berikut:

 

Iman dalam Islam berbeza dengan kefahaman terhadap hukum-hukumnya dan tasyri’-nya. Ini kerana iman dalam Islam ditetapkan melalui akal atau melalui apa yang asalnya ditetapkan dengan akal. Oleh itu, ia tidak boleh dimasuki keraguan. Kefahaman terhadap hukum-hukum Islam tidak bergantung kepada akal semata-mata. Ia juga bergantung kepada pengetahuan bahasa Arab, kekuatan istinbath dan pengetahuan mengenai hadis-hadis yang sahih dan dha’if. Oleh itu, para pembawa dakwah hendaklah menganggap kefahaman mereka terhadap hukum syariah sebagai kefahaman yang tepat yang mengandungi kemungkinan salah (fahmu shawâb yahtamilu al-khatha‘) dan menganggap kefahaman orang lain sebagai kefahaman yang salah yang mengandungi kemungkinan tepat (fahmu al-khatha‘ yahtamilu as-shawâb). Hal itu supaya mereka dapat menyeru kepada Islam dan hukum-hukumnya sebagai kefahaman yang tepat yang mengandungi kemungkinan salah. Oleh itu, tidak boleh bagi para pembawa dakwah untuk mengatakan tentang pemahaman mereka, bahawa ini adalah pendapat Islam. Namun, mereka mesti mengatakan tentang pendapat mereka, bahawa ini adalah pendapat yang islami. Dahulu, imam-imam mazhab dari kalangan mujtahid menganggap istinbath mereka terhadap hukum syariah sebagai pendapat yang tepat, tetapi ia mengandungi kemungkinan salah (shawâban yahtamilu al-khatha‘)… Begitu juga para pembawa dakwah. Mereka mesti menganggap pendapat yang mereka terima pakai dengan pemahaman bahawa pendapat mereka adalah yang tepat yang mengandungi kemungkinan salah.

 

Seterusnya dinyatakan dalam buku kecil Dukhûl al-Mujtama’ seperti berikut:

 

Golongan kafir, pemerintah dan ahli politik (sekular) akan cuba memperkenalkan idea-idea yang tidak islami ke dalam masyarakat atas nama Islam sehingga menimbulkan ketidakstabilan dalam masyarakat dari sisi Islam. Umat Islam wajib mempunyai kesedaran yang sempurna tentang aspek ini supaya mereka menyerang mana-mana idea yang bertentangan dengan Islam sebagaimana mereka menyerang idea-idea kufur.

 

Sementara idea-idea Islam yang bercanggah dengan apa yang diterima pakai oleh Hizb, Hizb menjelaskan salah fahamnya, tetapi tidak menyerangnya, malah menyatakan ia adalah pendapat yang islami walaupun dalilnya lemah. Contohnya, di kalangan mujtahid, ada yang tidak membenarkan khalifah kecuali hendaklah seorang Quraisy atau dari kalangan Ahlul Bait. Di antara mereka, ada yang berpandangan bahawa wanita tidak boleh menjadi qadhi. Di antara mereka ada yang berpandangan dibolehkan menimbun emas dan perak jika dikeluarkan zakatnya. Di antara mereka ada yang berpandangan bahawa boleh menyewakan tanah untuk pertanian, dan lain-lain. Pendapat-pendapat ini adalah pendapat yang islami.Berkaitan dengan idea-idea yang islami ini, memadai dengan menjelaskan kesalahannya.

 

Jelas daripada petikan di atas bahawa Hizb tidak menafikan pernyataan pendapat fiqh pihak lain yang bercanggah dengan apa yang diterima pakai oleh Hizb asalkan pendapat tersebut diistinbath dengan ijtihad syar’ie yang sahih. Jika demikian, Hizb tidak mengingkari mereka, tetapi berbincang dengan mereka mengenai pendapat tersebut dan cuba meyakinkan mereka tentang kesalahan pendapat mereka dan kesahihan pendapat Hizb berdasarkan dalil-dalil. Hizb tidak memerangi pendapat-pendapat mereka dan tidak menyerangnya walaupun pendapat mereka marjuh dan dalilnya lemah pada pendangan Hizb.

 

Antara contoh ini ialah penyataan bahawa wajah dan dua tapak tangan wanita adalah aurat. Ini adalah pendapat fiqhiyah islami yang dikemukakan oleh sebahagian fuqaha’ dan mujtahid. Kami tidak mengingkari mereka yang memegang pendapat sedemikian. Namun, kami menyeru mereka kepada pendapat kami bahawa wajah dan dua tapak tangan wanita bukanlah aurat. Kami kemudian menjelaskan kepada mereka dalil-dalil syar’ie yang kami pandang sahih. Kami tidak menyerang pendapat-pendapat mereka kerana ia adalah pendapat yang islami yang diutarakan oleh fuqaha’ dan mujtahid.

 

Manakala pendapat mengenai hisab astronomi, terdapat lebih dari satu pendapat. Di antara mereka ada yang berpandangan jika hilal telah terbit pada satu malam, maka malam itu adalah permulaan Ramadhan. Di antara mereka ada yang mengatakan jika hilal telah terbit pada siang hari dan terbenam selepas matahari terbenam, tidak kira berapa lama pun, maka malam ini adalah permulaan Ramadhan. Di antara mereka ada yang cuba mempertemukan antara hisab dan rukyah. Mareka mengatakan bahawa jika hilal terbit pada siang hari dan terbenam selepas matahari terbenam dengan tempoh masa yang memungkinkan rukyah, maka malam itu adalah permulaan Ramadhan. Kemudian mereka berbeza pendapat tentang lamanya tempoh masa itu, sama ada 10, 15 atau 20 minit. Dan seterusnya.

 

Dalam hal ini saya tidak menyatakan bahawa ini adalah ijtihad yang sahih. Ini kerana nas-nas yang ada jelas mengaitkan puasa dan berbuka dengan rukyah (bukan hisab, ed.).

 

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ

“Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu kerana melihat hilal. [HR Muslim].

Jadi, bagaimana mereka beralih dari rukyah kepada hisab? Apatah lagi Rasulullah SAW menjadikan rukyah kerana mendung, sebagai contoh – hilal berada di belakang awan tetapi dilitupi mendung sehingga tidak dapat dilihat – sebagai alasan untuk mewajibkan agar digenapkan Sya’ban 30 hari (bukan dengan hisab).

 

فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمُ الشَّهْرُ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ

“Jika bulan tertutup mendung di atas kamu, maka genapkanlah 30 hari.” [HR Muslim].

 

Semua ini menegaskan bahawa sebab puasa dan berbuka adalah rukyah. Bukan sebab lain.

 

Oleh itu, saya mempunyai penilaian sendiri terhadap hisab astronomi sebagai pendapat yang diistinbath dengan ijtihad syar’ie yang sahih. Kami telah menjelaskan rukyah syar’ie, iaitu mu’tamadah berdasarkan ijtihad yang sahih mengikut ushul syar’ie yang sahih dengan izin Allah.

 

Secara ringkas, kami tidak menyerang mana-mana pendapat yang islami yang dinyatakan oleh para mujtahid yang muktabar selagi ia diistinbath dari Islam dengan istinbath yang syar’ie. Walau bagaimanapun, kami berbincang dengan mereka dengan cara yang baik bahawa pendapat kami adalah tepat (shawâb). Kami menyebut dalil-dalilnya dan kami juga mendengar dalil-dalil daripada mereka.

 

Namun, kami tegas dalam menghadapi mereka yang ingin memperkenalkan pendapat yang tidak Islami dan menyesatkan orang dengan pendapat tersebut, padahal pendapat tersebut jauh dari Islam seperti jarak antara Barat dan Timur! Dalam hal ini, tidak wajar untuk bersikap lemah dalam menjelaskan kepalsuan pendapat seperti kebolehan riba, kebolehan mengambil bahagian dalam sistem kufur dan memerintah selain daripada hukum Allah, kebolehan berdamai dan normalisasi dengan Yahudi dan lain-lain

 

أَلَا سَآءَ مَا يَحۡكُمُونَ ٥٩

”Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” [TMQ an-Nahl (16): 59].

 

Pendapat-pendapat sebegini yang disebarkan pada zaman kita tidak diistinbath dengan istinbath syar’ie yang sahih. Malah ada di antaranya yang bercanggah dengan dalil-dalil qath’ie dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Pendapat-pendapat seperti ini tidak kami anggap sebagai hukum syariah dan pendapat yang islami. Kami mengingkari orang yang mengatakannya dan mengambilnya. Kami memerangi dan kami menghalang kewujudannya.

 

Wallâhu a’lam wa ahkam.

 

[Dipetik daripada Soal-Jawab Syaikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah – 25 Sya’ban 1442 H/07 April 2021 M]

 

Sumber:

http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/74751.html

https://web.facebook.com/1704790693100281/posts/2897825613796777/%D8%9F_rdc=1&_rdr

 

 

 

Exit mobile version