[Ath-Thariq] Tatacara Beraktiviti untuk Mewujudkan Daulah Islam (Bahagian 1/3)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Ideologi Islam telah datang secara sempurna dan mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ideologi ini tidak meninggalkan satu masalah pun kecuali dengan menyodorkan solusinya. Akan tetapi, cara yang ia lakukan untuk menjelaskan solusi dan jalan keluar itu ditempuh dalam dua bentuk.
Pertama, dengan jelas dan dalam bentuk yang pasti (qath’i), ini merupakan hukum-hukum syarak yang datang dalam bentuk dalil-dalil syarak yang mengandung pengertian yang pasti (qath’i al-dilalah), seperti nas-nas yang berkaitan dengan hukuman hudud bagi pezina dan potong tangan bagi pencuri.
Kedua, dengan bentuk yang mengandungi pengertian tidak pasti (dzanni al-dilalah) yang memungkinkan lahirnya lebih dari satu pengertian dan untuk memahaminya memerlukan para mujtahid yang memahami hukum Allah yang terkandung dalam nas-nas tersebut. Hal ini seperti nas yang berkaitan dengan hukum menyentuh perempuan dan sebagainya.
Majoriti ayat Al-Quran datang dalam bentuk global (al-mujmal). Kemudian diperincikan dan tatacara pelaksaannya dijelaskan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana dalam solat dan haji. Masalah ini telah kami huraikan dalam bahasan yang lalu, sebagaimana dalam tatacara memotong tangan pencuri. Ayat yang berisi hukum potong tangan itu telah datang dalam bentuk umum (al-‘am). Allah SWT berfirman,
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوْٓا اَيْدِيَهُمَا جَزَاۤءًۢ بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ
“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya.” (TMQ Al-Maidah: 38).
Ayat ini tidak menjelaskan bahagian dari tangan pencuri yang perlu dipotong. Apakah tangan sebatas bahu, lengan bawah (hasta), jari-jarinya, atau pergelangannya? Rasulullah SAW menetapkan pergelangan tangan (al-rusghu) sebagai bahagian yang perlu dipotong dari tangan pencuri. Begitu pula dengan hukum-hukum lainnya.
Oleh sebab itu, seluruh hukum syarak yang mewakili sebuah fikrah (idea atau pemikiran) agar dapat dilaksanakan mestilah memiliki thariqah (metode) yang menjelaskan tatacara pelaksanaannya. Untuk meraih redha Allah SWT, maka thariqah tersebut mestilah diambil dari Islam itu sendiri. Allah SWT berfirman,
وَمَآ اٰتٰىكُمُ الرَّسُوْلُ فَخُذُوْهُ وَمَا نَهٰىكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوْاۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِۘ
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (TMQ Al-Hasyr: 7).
Oleh kerana itu, jika kita ingin melaksanakan sebuah hukum syarak, agar dapat mengetahui metode penerapannya, kita hendaklah merujuk pada Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW-dengan perbuatannya-menjelaskan tatacara pelaksanaan hukum-hukum (al-ahkam) yang telah disyariatkan Allah SWT dan kerana Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk merujuk pada Rasulullah SAW.
Berdasarkan hal ini, dalam rangka mengetahui tatacara pelaksanaan solat dan puasa, zakat, jihad, nikah, dan berniaga, serta tatacara menegakkan negara Islam untuk membangkitkan umat Islam, semua tatacara tersebut mestilah diketahui dari sunnah Rasulullah SAW yang meliputi segala perkataan (al-aqwal), perbuatan (al-af’al), dan persetujuan (at-taqrir) beliau SAW.
Dengan merujuk pada sirah Rasulullah SAW, kita ketahui bahawa beliau SAW telah menapaki jalan yang jelas, sejak diutusnya beliau SAW oleh Allah SWT hingga kejayaannya dalam menegakkan Daulah Islam yang tegak lebih dari tiga belas abad, menjadi tuan bagi dunia dan cahaya yang menyinari semesta.
Adapun memaparkan langkah yang telah dilakukan Rasulullah SAW dalam rangka menegakkan negara Islam memerlukan ruang dan waktu yang cukup luas dan panjang. Oleh kerana itu, kita cukup meringkas saja langkah-langkah yang telah dijalankan Rasulullah SAW agar langkah-langkah tersebut dapat kita ikuti. Semoga Allah SWT menganugerahkannya pada kita dengan pertolongan dari sisi-Nya dan memberikan jalan pada kita untuk menegakkan daulah yang dengan izin-Nya akan menjadi asas bagi kebangkitan, kemuliaan, dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.
Setelah kita mencermati metode Rasulullah SAW dalam menegakkan Daulah Islam, kita dapati bahawa beliau SAW telah berjalan melalui tiga tahapan:
- Tahapan Pertama:
Tahapan ini dimulakan dengan turunnya Al-Quran pada Rasulullah SAW dan dengan turunnya perintah Allah pada Rasulullah SAW untuk menyebarkan dakwah Islam dan beraktiviti untuk mewujudkan Daulah Islam. Dengan adanya daulah ini memungkinkan Islam agar dapat tegak berdiri dan berkuasa di dalam kancah kehidupan. Allah SWT telah berfirman,
“Wahai orang yang berselimut, berdirilah dan berilah peringatan.” (TMQ Al-Muddatsir: 1—2).
Dakwah Rasulullah SAW pada tahapan ini boleh dikategorikan sebagai dakwah individu (ad-da’wah al-fardiyyah). Boleh diamati bahawa Rasulullah SAW sering kali mengunjungi kenalan dan teman-temannya, atau orang-orang yang dekat dengannya, sebagaimana boleh diamati pula beliau melakukan tatsqif (pembinaan) masalah akidah.
Rasulullah SAW menjelaskan kepada orang yang mengimaninya tentang betapa rosaknya akidah orang kafir yang saat itu berkuasa. Beliau juga menjelaskan–dengan menggunakan dalil yang pasti dan Al-Quran–kejahilan sikap orang yang menyembah patung dan berhala. Beliau kemudian memberikan khabar gembira kepada kaum muslim dengan adanya syurga dan memperingatkan mereka akan pedihnya api neraka.
Situasi ini terus berlangsung selama beberapa tahun. Orang yang mengimaninya pada awalnya berjumlah empat puluh orang, terdiri dari lelaki dan perempuan. Diriwayatkan bahawa mereka sering berkumpul di rumah Arqam (Dar al-Arqam). Rasulullah mengajarkan Islam pada mereka sehingga mereka menjadi orang yang berkeperibadian Islam, yang hidup untuk Islam, dan tidak meredhai kehidupan dunia kecuali dalam naungan Islam. Hal itu terus berlangsung, dakwah individu, pengajaran dan pendidikan, dan mempersiapkan serta membangun peribadi mereka yang mengimani Islam.
Hal ini berlangsung hingga datangnya perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk melakukan sebuah aktiviti yang baru, sebagai tambahan atas aktiviti-aktiviti terdahulu. Dengan adanya perintah ini, selesailah tahapan dakwah yang pertama.
[Bersambung ke bahagian 2/3]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

