Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Tatacara Beraktiviti untuk Mewujudkan Daulah Islam (Bahagian 3/3)

[Ath-Thariq] Tatacara Beraktiviti untuk Mewujudkan Daulah Islam (Bahagian 3/3)

Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat

 

[Sambungan dari Bahagian 2/3]

 

Ada beberapa dalil yang menunjukkan wajibnya mendirikan parti (al-hizb) dalam rangka menegakkan negara Islam, di antaranya:

 

Allah SWT berfirman,

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali Imran: 104).

 

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk mendirikan jemaah atau parti di antara kaum muslim, kerana makna kata “al-ummat” dalam bahasa bererti “kelompok (al-jama’ah)” atau “parti (al-hizb)”. Adapun tugas dan misi parti ini adalah untuk menyeru kepada Islam, memerintahkan kebaikan (al-amru bi al-ma’ruf), dan mencegah kemungkaran (al-nahyu ‘an al-munkar).

 

Ayat ini tidak memberikan maksud sebagaimana yang difahami sebahagian kalangan bahawa parti yang dituntut itu adalah umat secara keseluruhan, tetapi ia memberikan maksud “sebahagian kalangan dari kaum muslim”, kerana ayat ini tidak mengatakan “waltakunu” (hendaklah kalian semua), tetapi mengatakan “waltakun minkum” (hendaklah ada di antara [dari sebahagian] kalian), dan juga difahami bahawa kata “min” mengandung makna “sebahagian”.

 

Berdasarkan hal ini, maka ayat tersebut mewajibkan kepada kaum muslim untuk mewujudkan satu parti atau lebih di antara mereka yang tugas dan misinya adalah untuk untuk menyeru kepada Islam, memerintahkan yang baik, dan mencegah dari sesuatu yang buruk. Apakah ada di antara zaman yang umat begitu memerlukan tegaknya sebuah parti Islam, selain zaman ini?

 

Apakah Islam pernah hilang dari permukaan bumi dan begitu rendah keadaannya sebagaimana hal itu terjadi pada masa sekarang ini? Adakah amar makruf yang lebih agung selain aktiviti untuk menegakkan negara yang akan mewujudkan Islam secara kaffah? Dan adakah kemungkaran yang lebih keji dan lebih besar selain sikap mengabaikan hukum-hukum Islam secara keseluruhan?

 

Disebabkan ini semua dan juga kerana sikap tidak mahu melaksanakan sebuah kewajipan akan membawa pada dosa, selanjutnya berakibat kehinaan di dunia dan seksa neraka di akhirat, serta kerana sikap melaksanakan sebuah kewajipan akan membawa pada kebahagiaan di dunia dan memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat kelak, yang luasnya meliputi langit dan bumi, sedangkan redha Allah itu lebih besar lagi maknanya, berdasarkan ini semua kaum muslim wajib untuk mewujudkan parti yang diperintahkan Allah tersebut.

 

Parti (al-hizb) itu merupakan sebuah ungkapan atas sekelompok orang yang berhimpun bersatu padu dan saling bahu-membahu memperjuangkan sebuah pemikiran (fikrah) atau beberapa idea yang telah ditentukan demi teraihnya sebuah tujuan yang diinginkan. Adapun yang menentukan kehalalan dan keharaman kelompok/parti itu adalah tujuan (al-ghayah) yang diusahakannya serta idea yang disepakatinya sehingga tidak boleh dikatakan bahawa parti itu adalah sesuatu yang halal atau sesuatu yang haram.

 

اَلَآ اِنَّ حِزْبَ اللّٰهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan Allah (hizbullah) itulah golongan yang beruntung.” (TMQ Al-Mujadilah: 22).

 

اَلَآ اِنَّ حِزْبَ الشَّيْطٰنِ هُمُ الْخٰسِرُوْنَ

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan (hizbu syaithan) itulah golongan yang merugi.” (TMQ Al-Mujadilah: 19).

 

Dan Allah SWT telah mengkategorikan orang-orang yang beriman—dalam beberapa ayat-Nya—bahawa mereka itu adalah hizbullIah.

 

Dalam surah Al-Maidah dinyatakan,

وَمَنْ يَّتَوَلَّ اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ وَالَّذِيْنَ اٰمَنُوْا فَاِنَّ حِزْبَ اللّٰهِ هُمُ الْغٰلِبُوْنَ

“Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”(TMQ Al-Maidah: 56).

 

Dalam surah Al-Mujadilah pun dinyatakan,

لَا تَجِدُ قَوْمًا يُّؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ يُوَاۤدُّوْنَ مَنْ حَاۤدَّ اللّٰهَ وَرَسُوْلَهٗ وَلَوْ كَانُوْٓا اٰبَاۤءَهُمْ اَوْ اَبْنَاۤءَهُمْ اَوْ اِخْوَانَهُمْ اَوْ عَشِيْرَتَهُمْۗ اُولٰۤىِٕكَ كَتَبَ فِيْ قُلُوْبِهِمُ الْاِيْمَانَ وَاَيَّدَهُمْ بِرُوْحٍ مِّنْهُ ۗوَيُدْخِلُهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْاَنْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَاۗ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُۗ اُولٰۤىِٕكَ حِزْبُ اللّٰهِ ۗ اَلَآ اِنَّ حِزْبَ اللّٰهِ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Kamu tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak, atau saudara-saudara, ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang dari-Nya. Dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan Allah itulah golongan yang beruntung.” (TMQ Al-Mujadilah: 22).

 

Dalam ayat ini Allah mengkategorikan kaum mukmin—kerana keimanan mereka—bahawa mereka itu adalah hizbullah. Dengan demikian, jelaslah bahawa hizb (parti) itu merupakan sesuatu yang mubah (dibolehkan), bahkan boleh saja keberadaannya menjadi sesuatu yang fardhu bagi kaum muslim sehingga mereka akan berdosa bila melalaikannya.

 

Allah SWT telah mewajibkan kepada kita untuk beraktiviti dalam rangka menegakkan negara Islam yang dalil-dalil tentang hal itu telah kami jelaskan terdahulu, dan Rasullah SAW telah menegakkan negara setelah mewujudkan sebuah parti. Ketaatan kita atas perintah Allah untuk ber-iltizam (mengikatkan diri) pada metode Rasulullah SAW menuntut kita agar beraktiviti sesuai dengan yang telah dilakukan Rasullah SAW, yakni mendirikan sebuah parti dalam rangka mendirikan Daulah Islam.

 

Lebih jauh lagi, berdasar realiti yang ada, bahawasanya tidak mungkin sebuah gerakan yang berupaya mendirikan sebuah negara boleh berhasil mencapai tujuannya kecuali gerakan tersebut dilakukan oleh kelompok (harakah jama’iyyah), atau parti (al-hizb). Setiap gerakan yang berhasil mendirikan sebuah negara nescaya berbentuk parti.

 

Ketahuilah, sesuatu akan menjadi wajib bila hanya dengannya sebuah kewajipan dapat dilaksanakan secara sempurna. Haji merupakan sebuah kewajipan dan tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya sarana pengangkutan, maka mewujudkan alat pengangkutan itu menjadi sebuah kewajipan pula. Begitu juga halnya dengan aktiviti mendirikan negara yang tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya sebuah parti. Oleh sebab itu, mendirikan sebuah parti Islam (al-hizb al-islamiy) untuk mendirikan Daulah Islam menjadi sebuah kewajipan juga.

 

Parti yang berusaha mendirikan Daulah Islam hendaklah memiliki persyaratan yang menjadikannya layak dan mampu meraih tujuannya. Jika parti tersebut telah ada, wajib bagi setiap muslim untuk bergabung bersamanya. Hal itu tiada lain hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT dan menggugurkan kewajipan mengemban dakwah sehingga siapa saja yang tidak mahu bergabung dengan parti yang benar dan lurus ini akan berdosa. Bila parti tersebut belum ada, menjadi kewajipan bagi kaum muslim untuk mewujudkannya.

 

Apakah persyaratan yang perlu dipenuhi sebuah parti Islam berideologi itu? Inilah yang akan menjadi objek pembahasan dalam tulisan berikutnya. InsyaAllah.

 

Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

 

Exit mobile version