Site icon MuslimahHTM News

Bagaimana Sikap Muslim terhadap non-Muslim?

Bagaimana Sikap Muslim terhadap non-Muslim?

Penulis: Ustazah Rahmah

 

Perbincangan tentang sikap orang muslim terhadap non-muslim masih kerap timbul dan tidak sedikit yang mengkritik Islam yang didakwa tidak bertoleransi. Lebih-lebih lagi bila membincangkan tentang jihad, seolah-olah Islam itu zalim terhadap orang kafir. Sebenarnya, jika mereka ingin mendalami agama Islam, Islam sebenarnya telah mengatur dengan sangat terperinci cara berjiran, baik dengan orang kafir sekali pun, bahkan mengenai kerjasama dan membuat perjanjian dengan negara kafir. Sudah tentu bukan dengan mana-mana orang atau negara kafir, tetapi semua ini dikawal secara terperinci oleh syarak.

 

Hanya saja, sebelum kita membincangkan dengan lebih mendalam, ada baiknya kita membahas siapakah yang dikategorikan sebagai non-muslim atau kafir supaya lebih mudah untuk memahami perbincangan ini.

 

Kategori Kafir atau non-Muslim

 

Islam telah menjelaskan secara terperinci siapakah yang dikategorikan sebagai kafir, serta membincangkan secara terperinci bagaimana bermuamalah dengan mereka. Tidak dapat dinafikan istilah seperti kafir harbi, musta’min, dan ahli dzimmi adalah istilah yang kurang diketahui oleh umat Islam masa kini. Adalah penting bagi seorang muslim untuk memahami cara membincangkan siapa yang dikategorikan sebagai kafir dan cara bermuamalah dengan mereka.

 

Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya Asy-Syakhshiyah al-lslamiyyah Juz II menerangkan secara terperinci tentang pecahan orang kafir dan layanan negara khilafah dan umat Islam terhadap mereka. Orang kafir terbahagi kepada kafir harbi, musta’min, mu’ahid, dan ahli dzimmi. Jadi, bagaimana gambarannya dan bagaimanakah pengaturan Islam berkenaan muamalah yang dijalankan oleh negara-negara Islam dengan negara-negara kafir tersebut?

 

Ketika khilafah mengadakan perjanjian dengan negara kafir, rakyatnya digelar mu’ahidin. Negara ini dinamakan ad-daulah al-mu’ahidah (negara yang mempunyai perjanjian dengan khilafah). Istilah lain bagi orang kafir mu’ahid, sebagaimana disebutkan oleh Al-Qayyim dalam kitab Ahkam Ahl adz-Dzimmah adalah ahl al-hudnah atau ahl ash-shulh. Orang yang digolongkan sebagai mu’ahid dikira sebagai kafir harbi hukman kerana selepas perjanjian dengan khilafah berakhir barulah mereka kembali menjadi kafir harbi seperti kafir harbi lain yang negaranya tidak mempunyai perjanjian dengan khilafah.

 

 

Sikap Seorang Muslim terhadap non-Muslim

 

Islam sebagai agama yang sempurna telah memberikan panduan kepada umat Islam bagaimana sepatutnya bersikap terhadap orang-orang kafir. Panduannya adalah sebagai berikut:

 

Pertama, sebagai seorang muslim kita mesti percaya bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar. Apa-apa selain Islam adalah bathil dan haram untuk dipercayai dan diterapkan. Allah SWT. berfirman, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah adalah Islam.” [TMQ Ali Imraan (3): 19]

 

Juga firman Allah, “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” [TMQ Ali Imraan (3): 85]

 

Kaum muslim perlu menunjukkan jati dirinya sebagai seorang muslim dan haram mengikuti serta menyerupai orang kafir. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong dalam kalangan mereka.” (HR. Abu Dawud no.4931)

 

Kedua, haram menjadikan orang kafir sebagai pemimpin, dan tidak memberikan wala’ (kesetiaan) dan kecintaan kepada orang kafir. Dalam surah An-Nisa’ ayat 141, Allah SWT. berfirman, “dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.”

 

Allah SWT. berfirman yang bermaksud: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman” [TMQ Ali Imraan (3): 28]

 

Ketiga, bersikap adil dan berbuat baik kepadanya dalam bermuamalah, selagi mana orang kafir tersebut bukan kafir harbi. Firman Allah SWT., “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;” [TMQ Al-Mumtahanah (60): 8]

 

Keempat, tidak mengganggu harta, darah dan kehormatannya, selama dia bukan kafir harbi kerana itu merupakan kezaliman yang dilarang oleh syariat Islam, sebagaimana yang terdapat dalam hadis qudsi. Dari Abu Dzarr ra, dari Rasulullah SAW., Allah berfirman, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya sesuatu yang diharamkan di tengah kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi”. [HR Muslim, no. 2577]

 

Kelima, tidak boleh mengambil atau memberi zakat kepada non-muslim, tetapi boleh memberikan hadiah kepadanya dan boleh juga menerima hadiah daripadanya. Sulaiman Rosyid dalam Fikih Islam menjelaskan bahawa zakat wajib diberikan hanya kepada orang Islam.

 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tatkala Rasulullah mengutus Muadz ke Yaman, baginda memerintahkan kepada Muadz, “Beritahukanlah kepada mereka (penduduk Yaman), sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah (zakat) yang diambil dari orang-orang yang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir di kalangan mereka (orang-orang Islam).” (HR Jamaah Ahli Hadis).

 

Keenam, haram menikahkan wanita muslimah dengan lelaki kafir, Firman Allah, “Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami).” [TMQ Al-Mumtahanah (60): 10]

 

Lelaki muslim pula tidak boleh menikahi perempuan musyrik, tetap boleh menikahi wanita ahli kitab. Firman Allah SWT.

 

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam)” [TMQ Al-Baqarah (2):  221].

 

Manakala berkenaan kehalalan mengahwini wanita dari ahlul kitab adalah berdasarkan firman Allah, QS Al-Maidah ayat 5. Namun perlu diingatkan bahawa dalam Islam, ketua keluarga adalah lelaki dan berkewajipan membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah, bahagia dunia dan akhirat. Oleh itu, sudah tentu lelaki sebagai ketua keluarga mempunyai kewajipan untuk menjadikan keluarganya sebagai keluarga yang bertakwa. Ini memerlukan dia untuk berdakwah kepada isterinya agar memeluk Islam. Bukan sebaliknya, perkahwinan dengan wanita yang ahli kitab adalah pintu kepada kemurtadan suami dan anak-anaknya.

 

Sikap Ketua Negara terhadap non-Muslim

 

Islam tidak hanya mengatur cara individu muslim bersikap terhadap non-muslim atau orang kafir, tetapi Islam juga mengatur tentang cara negara atau ketua negara Islam bersikap kepada negara kafir dan orang kafir.

 

Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Syakhshiyah Islamiyah jilid II menjelaskan bahawa sikap negara muslim terhadap orang kafir harbi hakiki, iaitu yang menampakkan permusuhannya dengan umat Islam, bahkan menyerang adalah dengan mendakwahkan mereka dengan Islam, jika mereka menolak, bahkan melawan dengan peperangan, maka akan diperangi.

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah dengan benar kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, menegakkan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukannya, bermaksud mereka telah menjaga jiwa dan harta mereka dariku (Muhammad SAW.), kecuali dengan alasan yang dibenarkan Islam serta hisab mereka diserahkan kepada Allah.” [HR Bukhâri].

 

Adapun, untuk orang kafir yang mengadakan perjanjian (mu’ahid) dengan daulah Islam atau kafir musta’min, tidak boleh disakiti, dianiaya atau dibunuh. Orang kafir musta’min yang telah mendapat jaminan keamanan dari pemerintahan Islam, mereka berhak tinggal di wilayah daulah Islam, tetapi tidak boleh lebih dari satu tahun. Sedangkan orang kafir mu’ahid, mereka berhak mendapatkan pelaksanaan perjanjian dari pemerintahan Islam dalam waktu yang sudah disepakati, selama mereka tetap berpegang pada janji mereka tanpa menyalahinya sedikit pun, tidak membantu musuh yang menyerang kaum muslimin serta tidak mencela agama Islam.

 

Allah SWT. berfirman, “Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya.” [TMQ At-Taubah (9): 4].

 

Sedangkan berkaitan dengan kafir dzimmi, maka mereka menjadi warganegara pemerintahan Islam. Kerana itu, mereka mendapat hak, perlindungan dan penjagaan dari pemerintahan Islam. Ahli dzimmi yang berkemampuan diwajibkan untuk membayar jizyah dan tunduk terhadap hukum-hukum Islam yang diterapkan oleh negara. Sebagaimana warganegara muslim, warganegara non-muslim juga mempunyai hak untuk mendapatkan layanan yang sama. Tidak boleh ada diskriminasi. Pemerintahan Islam perlu menjaga dan melindungi keyakinan, kehormatan serta harta bendanya.

 

Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa membunuh seorang mu’ahid (kafir yang mendapatkan jaminan keamanan) tanpa alasan yang haq, maka dia tidak akan mencium wangi syurga, bahkan dari jarak empat puluh tahun perjalanan sekalipun.” [HR Ahmad].

 

Selain itu, kafir dzimmi dibolehkan untuk tetap memeluk agama mereka dan beribadah berdasarkan keyakinannya. Begitu juga halnya berkaitan dengan urusan makan dan pakaian sesuai agama mereka dan tetap dalam koridor hukum syariat Islam. Urusan pernikahan dan perceraian antara non-muslim dilaksanakan menurut aturan agama mereka. Sedangkan dalam bidang umum seperti muamalah, uqubat (sanksi), sistem pemerintahan, sistem perekonomian dan sebagainya, negara menerapkan syariat Islam kepada seluruh warganegara, baik muslim mahupun non-muslim, tanpa terkecuali.

 

Pemerintahan Islam akan mensejahterakan seluruh rakyatnya, baik muslim mahupun non-muslim dengan melaksanakan politik ekonomi yang menjamin seluruh keperluan rakyatnya terpenuhi. Pemerintah akan menyediakan pendidikan yang berkualiti secara percuma; perkhidmatan kesihatan yang juga percuma; keselamatan; birokrasi, jalan raya, pasar dan beberapa fasiliti umum lainnya yang berkualiti dan percuma. Pakaian, makanan dan tempat tinggal (perumahan) juga dalam harga mampu milik. Pelaksanaan politik ekonomi ini akan mensejahterahkan semua rakyatnya tanpa diskriminasi, baik muslim mahupun non-muslim. (Politik Ekonomi Islam, Abdurrahman al-Maliki)

 

Secara ringkas Syeikh Taqiyyuddin an-Nabhani dalam kitab Nizham al-Islam, menjelaskan tentang bagaimana Islam mengatur layanan terhadap warganegara non-muslim, di antaranya:

  1. a) Pemerintahan Islam akan menerapkan seluruh hukum Islam;
  2. b) Semua warganegara baik muslim mahupun non-muslim mempunyai hak dan kewajipan sesuai dengan syariat Islam;
  3. c) Negara tidak boleh melakukan diskriminasi kepada warganegaranya, baik muslim mahupun non-muslim dalam masalah hukum, perundangan dan urusan rakyat yang lain;
  4. d) Negara menerapkan syariat Islam atas seluruh warganegara baik muslim mahupun non-muslim.

 

Demikianlah Islam telah mengatur dengan sedemikian rupa hubungan kaum muslim dengan orang kafir. Demikian juga, Islam mengatur khalifah atau negara Islam dengan orang kafir dan negara kafir. Wallahualam bissawab.

 

Sumber: https://muslimahnews.net/2024/09/05/31805/

Exit mobile version