Site icon MuslimahHTM News

Akhlak Adalah Hukum-Hukum Syarak, Bukan Sekadar Akhlak

[Hadits Shiyam] Akhlak Adalah Hukum-Hukum Syarak, Bukan Sekadar Akhlak

 

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (TMQ An-Nahl [16]: 90).

 

Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah mencintai akhlak yang mulia dan membenci perkataan yang tidak berguna.” Sabda Rasulullah SAW lainnya, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

 

Nas-nas tersebut menunjukkan bahawasanya akhlak adalah sebahagian daripada hukum-hukum Islam. Apabila suatu ayat menunjukkan hukum tertentu daripada akhlak, ini bererti Allah, di dalam ayat tadi, memerintahkan untuk berlaku adil, berbuat baik, dan menyambung silaturahmi. Allah SWT juga melarang perbuatan yang diharamkan dan mungkar, serta melakukan permusuhan terhadap sesama manusia. Sedangkan hadis di atas menggambarkan akhlak dalam bentuk umum.

 

Akhlak adalah sifat yang menjadikan manusia itu lekat dengan sifat tersebut sehingga menjadi perilaku dan kebiasaan baginya. Firman Allah SWT, “(Agama kami) ini tidak lain hanyalah adat kebiasaan orang terdahulu.” (TMQ Asy-Syu’ara [26]: 137).

 

Maksud ayat ini adalah perilaku dan adat kebiasaan orang-orang terdahulu. Sifat tersebut jika baik, bererti akhlaknya baik. Begitu pula sebaliknya, jika buruk, bererti akhlaknya buruk. Penyebutannya akhlak, tetapi yang dimaksud adalah dien (agama) tampak dalam firman Allah SWT yang menyeru Rasulullah SAW, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (TMQ Al-Qalam [68]: 4).

 

Ini bermakna benar-benar Rasulullah SAW berperilaku berdasarkan dien (agama) yang agung. Ini kerana terdapat penyesuaian dengan ayat-ayat lainnya yang menunjukkan bahawa (yang dimaksud akhlak di sini) adalah dien.

 

“Nun. Demi kalam dan apa yang mereka tulis. Berkat nikmat Tuhanmu, kamu (Muhammad) sekali-kali bukan orang gila. Dan sesungguhnya bagi kamu benar-benar pahala yang besar yang tidak putus-putusnya. Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung. Maka kelak kamu akan melihat dan mereka (orang-orang kafir) pun akan melihat, siapa di antara kamu yang gila. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang paling Mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya. Dan Dialah Yang paling Mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (TMQ Al-Qalam [68]: 1–7).

 

Tema pembahasan di sini adalah mereka (orang-orang musyrik) berkata bahawa Rasulullah adalah gila dengan membawa risalah (Islam). Jadi tema pembahasannya memang tentang dien yang datang kepada Rasulullah SAW, bukan sekadar sifat-sifat beliau. Lagi pula mereka (orang-orang musyrik) telah mengetahui sebelum beliau diutus menjadi Nabi bahawa beliau memiliki sifat yang baik. Oleh kerana itu, makna akhlak dalam ayat di atas adalah din. Dalam tafsir Jalalain, ayat “wa innaka la’ala khuluqin” diertikan dien (adhim).

 

Akhlak yang disebutkan dalam hadis-hadis tadi berbentuk umum, serta mendorong untuk berbuat baik dan melarang untuk berbuat buruk secara umum. Selain itu, nas-nas syarak yang terdapat dalam Kitab dan Sunnah, tatkala berbentuk hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan akhlak, seperti adil, berbuat baik, berkata benar, amanah, ‘iffah, wafa (tepat janji), dan lain-lain, semua itu tidak datang semata-mata sebagai sifat akhlak. Tidak pula boleh juga dikatakan bahawa hal itu merupakan akhlak atau sifat-sifat hasanah (yang baik) saja, ditinjau dari kajian dalil shirahah, dalalah, mahupun isyarah. Sesungguhnya semua itu merupakan hukum-hukum syarak.

 

Sesuatu yang dianggap termasuk akhlak, di dalam konteks pengajaran dan beraktiviti wajib diperhatikan bahawa semua itu adalah hukum-hukum syarak. Dengan demikian, jadilah diberi sifat akhlak yang baik (hasan) kerana memang diperintahkan Allah dan diberi label sifat akhlak yang buruk kerana memang dilarang Allah Taala.

 

Kita tidak diperbolehkan hanya memfokuskan bahawa hal itu semata-mata berupa sifat akhlak. Sebabnya, seorang muslim adalah pihak yang diseru oleh hukum-hukum syarak, walaupun perkaranya terkait dengan hukum-hukum akhlak. Seorang muslim tidak diseru supaya memiliki sifat-sifat tertentu yang dinisbahkan kepada akhlak saja. Ini kerana sebutan bahawa perkara itu baik atau buruk perlu dikaitkan dengan syarak, iaitu dengan nas-nas syarak yang datang mengenai perkara tersebut. Jadi, bukan sekadar sifat.

 

Allah SWT memerintahkan kita berkata benar dan melarang berdusta. Kedua-dua hal itu adalah hukum syarak. Kita wajib terikat dengan hukum-hukum syarak, bukan kerana sifat-sifat baiknya saja sehingga kita wajib memiliki sifat-sifat tersebut. Dengan kata lain, tidak dianggap sebagai (sifat) akhlak saja.

 

Allah SWT juga memerintahkan untuk berperilaku rahmah (kasih sayang) kerana dianggap sebagai hukum syarak. Tidak dianggap sebagai sifat-sifat baik atau sebagai akhlak saja. Alasannya kerana dibolehkan melakukan kebohongan di medan perang. Kebolehan berdusta di medan perang adalah hukum syarak.

 

Begitu pula kita diperintahkan berperilaku keras/tegas terhadap orang-orang kafir (asyiddaa-u ‘alal kuffaari). Kita juga dilarang berperilaku sayang tatkala menjatuhkan hukuman bagi pelaku zina. Firman Allah SWT, “Dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah.” (TMQ An-Nur [24]: 2).

 

Seandainya perintah untuk berkata benar dan larangan untuk berdusta, serta perintah untuk bersikap rahmah merupakan perintah yang merujuk pada sifat-sifatnya saja, iaitu perintah semata-mata untuk (nilai-nilai) akhlak, maka bagaimana mungkin berdusta atau bersikap keras dan tegas itu dibolehkan dalam keadaan tertentu? Sesungguhnya sifat itu tidak pernah berubah.

 

Manakala itu merupakan hukum syarak untuk melakukan perbuatan tertentu, bererti perbuatan tersebut sesuai dengan nas syarak. Oleh kerana itu, berdusta dalam suatu keadaan diharamkan, tetapi dalam keadaan lainnya dibolehkan. Begitu juga sikap rahmah dalam keadaan tertentu diperintahkan, tetapi dalam keadaan lain dilarang.

 

Berdasarkan hal ini, hukum-hukum syarak tidak boleh dianggap (memiliki sifat/nilai) akhlak saja, dan perintah untuk menjalankan perkara-perkara tersebut dianggap sebagai perintah untuk memiliki akhlak saja. Lebih dari itu, sepatutnya kita wajib menjadikan perkara-perkara tersebut sebagai hukum-hukum syarak sebagaimana adanya. Dengan demikian, perintah tersebut adalah perintah untuk melakukan hukum syarak yang berkait dengan akhlak, bukan akhlak semata.

 

Jika perintah itu dianggap perintah untuk berakhlak, bukan perintah hukum-hukum syarak, bererti perintah tersebut bukanlah perintah syarak, melainkan perintah akhlak. Ini tidak diperbolehkan, kerana yang diseru dari kaum muslim adalah hukum-hukum syarak, bukan akhlak saja.

 

Tidak ada perbezaan antara hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perilaku individu, seperti ‘iffah atau yang berkaitan dengan perilakunya terhadap orang lain, seperti wafa (tepat janji). Semua itu adalah perintah yang diwajibkan selaku hukum syarak. Tidak boleh dianggap sebagai perintah untuk berakhlak saja atau untuk memiliki sifat-sifat baik saja. Begitu pula yang berbentuk larangan adalah hukum syarak, bukan semata-mata sebagai akhlak yang buruk.

 

Seorang muslim apabila berkata benar kerana menganggapnya sebagai sifat-sifat baik saja, bukan sebagai hukum syarak, dia tidak memperoleh pahala kerana berkata benar. Sebabnya, dia tidak melakukannya kerana itu merupakan hukum Allah. Dia melakukannya kerana berupa sifat-sifat yang baik saja. Tentu saja berbeza dengan orang yang berkata benar kerana memang Allah memerintahkannya untuk berkata benar, iaitu menganggapnya sebagai hukum syarak. Dia akan memperoleh pahala kerana keterikatannya terhadap hukum syarak.

 

Kaum muslim perlu diberi peringatan tatkala melakukan suatu perbuatan yang motivasinya semata-mata kerana akhlak atau mendakwahkan hanya pada sifat-sifat akhlak yang mulia. Ini kerana jika itu dilakukan bererti tidak dianggap menjalankan hukum syarak atau tidak dianggap mengajak kepada hukum-hukum Allah. Tambahan lagi, perbuatan mereka dan perbuatan orang-orang kafir itu sama saja, begitu pula ajakan mereka dan ajakan orang-orang kafir juga sama.

 

Orang-orang kafir memuji akhlak yang baik kerana semata-mata memiliki sifat-sifat yang baik. Begitu juga mereka menyeru untuk berakhlak baik kerana memiliki sifat-sifat yang baik. Mereka melakukannya dengan alasan tersebut, yakni berharap untuk dipuji (sum’ah) oleh orang lain atau kerana hal itu mendatangkan manfaat. Jadi bukan kerana Allah memerintahkan mereka untuk melakukan hal itu.

 

Seorang muslim tidak boleh berlaku seperti itu. Bahkan seharusnya seorang muslim memiliki sifat-sifat yang mulia kerana Allah telah memerintahkannya, iaitu dianggap sebagai hukum-hukum syarak, bukan yang lain. Sesungguhnya akhlak dalam Islam merupakan hukum-hukum syarak, bukan sekadar sifat akhlak.

 

Sumber: Hadits Shiyam

 

Exit mobile version