Site icon MuslimahHTM News

[Ath-Thariq] Berbagai Macam Kesukaran yang Merintangi Parti Berideologi (Bahagian 3/4)

[Ath-Thariq] Berbagai Macam Kesukaran yang Merintangi Parti Berideologi (Bahagian 3/4)

Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat

 

[Sambungan dari Bahagian 2/4]

 

  1. Perbezaan antara tsaqafah parti dengan berbagai tsaqafah yang menguasai Masyarakat

 

Jika adanya kontradiksi ideologi parti dengan sistem yang diterapkan—pihak penguasa—menjadi pencetus pertentangan antara parti dengan sistem tersebut, adanya kontradiksi antara tsaqafah parti dengan satu atau beberapa tsaqafah yang ada dalam masyarakat akan menjadi pemicu pertentangan  atau konflik antara parti di satu pihak dengan penguasa dan umat di pihak lain.

 

Jika konflik yang pertama (antara parti dengan sistem) menjadi pendorong timbulnya kekaguman pada diri umat dan berkumpulnya umat di sekitar parti—ketika parti berjaya dalam penentangannya terhadap sistem—konflik kedua ini kadang kala mengakibatkan terpisahnya umat dan permusuhan mereka terhadap parti, seandainya parti dan para anggotanya sangat tidak mahir dalam menghadapi konflik tersebut.

 

Oleh kerana itu, parti dan anggotanya (syabab) perlu memiliki komitmen yang kuat terhadap metodologinya (kaedahnya) yang cemerlang dalam menghadapi perang pemikiran dengan umat agar parti dapat mengalihkan umat dari tsaqafah Barat kepada tsaqafah Islam. Ketahuilah bahawa kaedah tersebut adalah,

 

اُدْعُ اِلٰى سَبِيْلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ اَحْسَنُۗ اِنَّ رَبَّكَ هُوَ اَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيْلِهٖ وَهُوَ اَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِيْنَ

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (TMQ An-Nahl: 125).

 

Jika dalam perang pemikiran melawan penguasa ditujukan untuk memunculkan bahawa sang penentang dan pemilik idea dan ideologi sebagai yang terkuat, tujuan itu sebaliknya perlu dihindari oleh parti ketika ia melakukan konflik pemikiran dengan umat. Parti perlu berusaha semaksima mungkin untuk menampilkan diri dan bersikap sebagai ayah yang penuh rasa kasih sayang, saudara yang diliputi rasa belas kasih, atau doktor yang begitu menginginkan kesembuhan umat.

 

Pada awal konflik, umat dan pihak penguasa akan menjadi satu kelompok melawan parti berideologi yang berusaha untuk menghapuskan segala tsaqafah kufur daripada masyarakat. Apabila pelbagai tsaqafah yang berakar umbi dalam masyarakat adalah tsaqafah yang dibuat oleh sistem atau biasanya disukai oleh sistem, maka sudah pasti terdapat keberpihakan sistem (pihak penguasa) terhadap pemilik atau penganut tsaqafah terhadap parti dan tsaqafah parti.

 

Oleh kerana itu, parti mestilah berusaha memisahkan dan menjauhkan penguasa daripada umat, kerana dalam diri umat ada penganut tsaqafah yang ingin dihapuskan, hal itu dilakukan sebelum atau ketika sedang menjalani pertempuran melawan tsaqafah tersebut. Hal ini (terpisahnya umat dari penguasa-pen) tidak akan pernah terjadi kecuali dengan menyingkap keburukan para penguasa dan “menelanjangi” mereka di hadapan umat untuk menjelaskan bahawa mereka (para penguasa) adalah musuh umat yang sesungguhnya.

 

Dengan demikian, parti dapat memastikan bahawa penguasa telah berjaya dijauhkan daripada umat, kemudian parti dapat melangkah ke tahapan berikutnya, yakni menjelaskan kerosakan tsaqafah yang ingin dihilangkan dari masyarakat.

 

Dalam proses ini, parti dan anggotanya perlu menghindarkan diri daripada perdebatan yang tidak produktif dan melakukan perdebatan yang penuh manfaat (produktif), dan diskusi yang membangun serta pembicaraan yang sihat. Parti hendaklah melawan hujah dengan hujah dan dalil dengan dalil sehingga parti mengikuti garis yang lurus (tsaqafah dan fikrah yang sahih) di sebelah garis yang bengkok (tsaqafah dan fikrah yang batil).

 

Dengan demikian, akan terlihat jelaslah akar permasalahannya dalam diri setiap mereka yang memiliki mata sehingga memungkinkan mereka yang ikhlas menjangkaunya dan mahu menerima kebenaran (al-haq).

 

Perkara ini tidak mungkin terjadi kecuali bila para anggota parti memahami aktivitinya, mereka bersikap sebagai orang yang penuh rasa kasih sayang, bukan bersikap sebagai pihak yang berkuasa dan merasa tinggi. Dengan metode ini, kesukaran di atas dapat diatasi dan parti mampu menyelesaikan proses menghilangkan tsaqafah asing daripada masyarakat dengan jayanya.

 

[Bersambung ke bahagian 4/4]

 

Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)

Exit mobile version