Site icon MuslimahHTM News

Pemuda dan Istidraj

Pemuda dan Istidraj

 

Seorang pemuda datang kepada Imam Hassan al-Basri lalu berkata kepadanya, “Aku mendengar bahawa setiap dosa ada azabnya. Aku sering berbuat dosa kepada Allah. Mengapa Dia tidak menghukumku?”

 

Hassan al-Basri berkata, “Anakku, sudah berapa banyak Allah menghukummu tanpa kamu sedari?” Pemuda itu berkata, “Bagaimana boleh demikian?” Hassan al-Basri menjawabnya dengan pelbagai persoalan yang membuatkan pemuda itu merenung kata-katanya.

 

Bukankah Allah SWT telah menarik daripada kamu kemanisan bermunajat kepadaNya?”

Bukankah hari-harimu berlalu tanpa tilawah Al-Quran?”

Bukankah kamu telah menghabiskan malam yang panjang tanpa melakukan solat?”

Bukankah lidahmu kelu untuk menyebut namaNya?”

Bukankah Allah SWT menyibukkan kamu dengan cinta, kemasyhuran dan kekayaan?”

Bukankah hatimu terasa berat untuk mentaatiNya?”

Bukankah Allah SWT memudahkan kamu untuk berdusta, mengumpat dan memfitnah?”

Bukankah Allah SWT telah menjadikan kamu melupakan akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai pusat perhatian terbesarmu ?”

Bukankah telah berlalu musim berbuat kebaikan iaitu Ramadhan, empat Bulan Haram, enam hari Syawal, sepuluh hari Zulhijjah, adakah kamu memanfaatkan dengan sebaik-baiknya?”

 

Hassan al-Basri meneruskan nasihatnya kepada pemuda itu, lalu berkata, “Azab Allah paling ringan yang dapat kamu rasakan adalah anak, keluarga, kesihatan dan harta. Namun, azabNya yang paling besar tidak terasa di dalam hatimu. “Azab Allah yang paling besar, tanpa kamu sedari ialah Dia membuka pintu dunia untuk kamu, yang membuatkan kamu lupa akan akhiratmu.” [Dipetik daripada pelbagai sumber]

 

Hikmah

 

Sesungguhnya nasihat Hassan al-Basri yang berharga kepada pemuda tersebut turut terpakai untuk kita. Berapa banyak masa yang kita bazirkan demi kesenangan dunia yang sementara? Lebih-lebih lagi, sistem sekularisme hari ini menyebabkan manusia mengabaikan tujuan hidup mereka di dunia. Sebenarnya dunia hanyalah tempat persinggahan untuk memperbanyakkan amal soleh. Cuba kita semak kembali ayat daripada Hassan al-Basri kepada pemuda yang suka membuat dosa ini.

 

Dia membukakan kepadamu ilmu dunia yang mengalihkan perhatianmu dari ilmu akhiratmu. Dia memberimu harta yang banyak tetapi menarik kenikmatanmu dalam beribadah. Allah SWT telah menghukummu tanpa engkau sedari. Tiada azab yang lebih berat daripada Allah SWT berpaling padamu. Dia tidak mahu lagi ‘berbicara’ dan ‘mendengar’ mu, Dia membiarkanmu terus hanyut dalam kesibukan dan kenikmatan dunia. Cukuplah Allah SWT mencabut keberkatan dan kenikmatan tahajjud daripada kamu, itu adalah sebagai hukuman bagi kamu.”

 

Inilah yang dinamakan istidraj, iaitu azab yang Allah SWT berikan sedikit demi sedikit, dan tidak diberikan secara langsung. Hukuman ini berbentuk menyegerakan nikmat dunia dan menangguhkan azab di akhirat. Sebagai pengemban dakwah, kita hendaklah sentiasa mengingati tujuan kita sebagai hamba Allah SWT iaitu tunduk dan taat sepenuhnya kepada syariatNya, berjuang menegakkan syariat Allah SWT agar segera dilaksanakan dan tidak lalai dalam melaksanakan amanah  sebagai muslim dan pendakwah.

 

Peringatan Rasulullah SAW mengenai istidraj sudah memadai untuk menjadi peringatan yang benar, “Jika kamu melihat Allah SWT memberikan seorang hamba dari (perkara) dunia yang diingininya, walaupun dia terus bermaksiat kepadaNya, (ketahuilah) ini adalah istidraj. (perangkap berupa nikmat yang disegerakan) daripada Allah SWT.[HR Ahmad].

 

Sumber : https://muslimahnews.net/2024/10/05/32410/

 

Exit mobile version