[Kisah Inspirasi] Ketegasan Umar Bin Al-Khattab RA Dan Kewaspadaan Abu Hurairah RA
Semasa pemerintahan Umar bin Al-Khattab RA, Abu Hurairah dilantik menjadi pemerintah Bahrain. Sebagai ketua negara, khalifah Umar sangat teliti dan sentiasa mengawasi para menterinya. Seandainya ketika dilantik sebagai menteri, mereka hanya memiliki dua pakaian, maka semasa meletakkan jawatan juga harus memiliki dua pakaian saja. Lebih baik lagi jika hanya memiliki satu pakaian.
Sekiranya beliau mengetahui gabenornya memiliki kedudukan dengan kekayaan berlebihan meski pun kekayaan tersebut diperolehi dengan cara yang halal, khalifah Umar tidak akan berdiam diri. Diketahui, sewaktu memegang jawatan sebagai gabenor, Abu Hurairah menyimpan harta yang diperolehi daripada sumber yang halal. Khalifah Umar mengetahuinya. Namun, Abu Hurairah dilucutkan daripada jawatan gabenor dan dipanggil menghadap ke Madinah.
Saat itu, khalifah Umar bertanya, “Adakah kamu telah mencuri harta Allah, wahai Abu Hurairah?” Abu Hurairah berkata, “Aku bukanlah orang yang mencuri harta Allah.” Umar bertanya kembali, “maka dari mana kamu mengumpulkan sepuluh ribu itu?” Abu Hurairah menjawab, “Kudaku terus berkembang biak. Ada juga yang berasal dari pemberian orang lain.”
Maka, Abu Hurairah menyerahkan hartanya itu kepada Umar. Setelah itu, beliau menadah tangannya ke langit dan berdoa, “Ya Allah, ampunilah khalifah!” Beberapa waktu kemudian, khalifah memanggilnya dan menawarkan kepadanya jawatan gabenor. Namun, Abu Hurairah menolak dan meminta maaf.
Khalifah bertanya, “Mengapa?” Abu Hurairah menjawab, “Supaya kehormatanku tidak dihina, hartaku tidak dirampas, dan punggungku tidak dipukul.” Kemudian, beliau berkata, “Aku juga takut memberi keputusan tanpa ilmu dan bicara tanpa belas kasih.” [Khalid Muhammad Khalid, 60 Sirah Sahabat Rasulullah SAW]
HIKMAH
Siapa yang tidak mengenali kedua-dua sahabat Rasulullah SAW yang utama ini? Ketegasan Umar bin Al-Khattab RA sudah masyhur di kalangan para sahabat, begitu juga dengan Abu Hurairah RA. Hidup berharta dan memegang jawatan sebagai gabenor tidak menjadikan Abu Hurairah RA lalai dalam menjalankan amanah yang amat berat hisabnya.
Terdapat beberapa pengajaran dan hikmah yang boleh kita pelajari daripada kisah ini.
Pertama, berwaspada dalam menjaga amanah. Lihatlah, betapa kewaspadaan itu ditunjukkan oleh Umar bin Al-Khattab RA dan Abu Hurairah RA. Khalifah Umar berwaspada dalam mengawasi harta para gabenornya. Sementara itu, Abu Hurairah RA berwaspada agar tidak lalai dengan kekuasaan dan memilih untuk melepaskan jawatannya. Hal ini sangat berbeza dengan para pemimpin pada waktu ini. Sebaliknya, mereka bersaing untuk menjawat jawatan, walaupun terpaksa melakukannya dengan cara yang salah.
Kedua, kemuliaan Umar bin Al-Khattab RA dan Abu Hurairah RA sebagai sahabat Rasulullah SAW tidak menjadikan mereka bangga dan mengambil kesempatan daripada kedudukan mereka. Jawatan bukanlah sesuatu yang dapat diberikan dengan mudah kepada anak, menantu, atau kerabat terdekat. Rasulullah SAW memberi pesanan yang mendalam bagi sesiapa sahaja yang tamakkan pangkat,”Sesungguhnya kalian akan berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan, padahal kelak di akhirat ia akan menjadi sebuah penyesalan.” [HR Bukhari dari Abu Hurairah RA].
Oleh itu, tidak semestinya darjat pangkat diperjuangkan untuk kepentingan kekuasaan yang tidak kekal. Seharusnya mandat kuasa dijalankan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Namun, dalam sistem kapitalisme sekular hari ini, memang sukar untuk menemukan pemerintah yang amanah dan adil. Mereka menjadi tebusan kepada kepentingan dan nafsu dunia yang melalaikan.
Berbeza keadaannya ketika sistem Islam kaffah diterapkan. Semasa Islam dijadikan landasan, pengaturan masyarakat dan negara, ketakwaan dalam masyarakat akan terbentuk. Dengan demikian, pemerintah atau para pegawai akan menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.
Sumber: https://muslimahnews.net/2024/09/28/32303/

