[Ath-Thariq] Pelbagai Bahaya yang Merintangi Parti Berideologi (Bahagian 2/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
[Sambungan dari Bahagian 1/2]
2. Bahaya Kasta-isme (Superioriti/Keunggulan sesuatu kelompok berbanding yang lain)
Maksudnya adalah ketakutan dari timbulnya idea kasta-isme, yakni munculnya kesombongan pada sekelompok anggota parti kerana mereka merasa bahawa mereka menjadi orang yang lebih faham, pandai, atau mengetahui berbanding orang lain dan sebagainya. Hal itu boleh mengakibatkan timbulnya sekatan atau halangan antara kelompok (jemaah) ini dengan kelompok manusia lainnya.
Bahaya ini boleh muncul dalam dua bentuk: Pertama, antara anggota parti berideologi dengan umat. Kedua, terjadi di antara sesama anggota parti.
Adapun bentuk pertama maka hal itu berlaku akibat tingginya pemikiran yang diemban oleh anggota parti bila dibandingkan dengan pemikiran rendah yang ada di benak manusia atau masyarakat pada umumnya. Atas sebab itu, para anggota parti ini merasa bahawa mereka menjadi kelompok yang lebih tinggi dan lebih besar daripada umat.
Bahaya ini juga timbul ketika wujud kekaguman umat pada anggota parti kerana mereka bertegas (terus teguh, pen.) di atas pendiriannya, walaupun dilanda pelbagai macam kesusahan dan penyeksaan yang dilakukan oleh sistem yang memusuhinya. Hal ini terjadi ketika parti berjaya memperoleh dukungan dan penghormatan dari majoriti umat yang dapat menumbuhkan kesombongan dan superioriti dalam jiwa para anggota parti. Mereka menganggap bahawa mereka lebih tinggi daripada umat dan menjadi pemimpin umat sehingga umat perlu tunduk pada mereka.
Ketahuilah bahawasanya masalah ini sangat berbahaya kerana setelah suatu tempoh waktu, ia boleh mengakibatkan terpecahnya umat daripada parti sehingga menjadikan parti kehilangan tubuhnya dan mengubahnya menjadi momok atau “hantu tanpa badan”. Hal ini tidak lain kerana umat bagaikan tubuh bagi sebuah parti berideologi dan ideologi yang dibawa oleh parti berperanan sebagai ruh. Jika tubuhnya telah hilang maka kehilangan tersebut akan menjadi malapetaka.
Oleh kerana itu, sesebuah parti hendaklah berwaspada terhadap berlakunya kesalahan yang sangat mematikan seperti ini dan anggota parti hendaklah memuhasabah serta mengawasi diri mereka semaksima mungkin untuk memastikan tidak berlakunya malapetaka seumpama ini, serta memerangi segala kemungkinan dan potensi yang boleh menyebabkan timbulnya penyakit ini. Kerana kerugian parti dengan hilangnya umat adalah kerugian yang terlalu mahal untuk dibayar, dan kerana parti tanpa umat tidak mampu memperbaiki apa pun, kerana parti itu sendiri ibarat seorang panglima tanpa tentera dan pemimpin tanpa disertai rakyatnya. Oleh sebab itu, parti perlu kembali ke kedudukannya semula dengan sangat tidak terpuji dan tidak terhormat.
Di sini ada sebuah pertanyaan, bagaimana cara kita menyesuaikan antara perasaan seorang anggota parti bahawa dia mengemban idea yang lebih tinggi dengan tanpa hanyut dalam bahaya kasta-isme (superioriti kelompok)? Dengan kata lain, bagaimana cara kita menyelaraskan antara pemisahan diri dari segi perasaan terhadap masyarakat non-muslim tanpa terjerumus dalam jerat kasta-isme?
Jawapannya ialah bahawa seseorang tidak boleh terus pergi ke tahapan aktiviti setelah mengindera sesebuah realiti, kerana ada satu tahapan antara aktiviti (al ‘amal) dengan penginderaan (al-ihsas) iaitu berfikir (at-tafkir), yakni menundukkan aktiviti pada pemahaman, atau tingkah laku mestilah berdasarkan pemahaman. Dalam keadaan sedemikian, tidak dibenarkan menampakkan perasaan lebih tinggi terhadap umat, walaupun boleh atau bahkan perlu menampakkannya terhadap sistem.
Adapun memisahkan diri dari segi perasaan perlu senantiasa tersembunyi dalam jiwa, tidak boleh tampak dalam hubungan dengan umat. Sedangkan penentangan dan cemuhan pada penguasa maka itu yang dituntut dan disukai.
“Dan tidaklah mereka berpijak di sebuah tempat yang menyebabkan orang kafir marah, kecuali hal itu ditulis sebagai amal soleh bagi mereka.”
Adapun bentuk kedua dari bahaya kasta muncul ketika parti mendapat penghormatan atau penghargaan, baik kerana faktor-faktor yang telah disebutkan terdahulu atau kerana sebahagian besar anggota merasa betapa agung dan mulianya parti ini. Ketika hal itu terjadi, kadangkala sebahagian anggota parti berbicara pada diri mereka bahawa mereka lebih tinggi dan mulia berbanding anggota lainnya sehingga mereka bergaul dengan sesamanya dengan perasaan lebih tinggi dan sombong.
Sekiranya keadaannya seperti itu, maka parti perlu merawat anggotanya yang sakit tersebut sesegera mungkin, kerana jika tidak, hal tersebut boleh mengakibatkan perpecahan si anggota daripada parti, baik perpecahan secara fizikal dengan cara meninggalkan parti atau secara maknawi dengan hilangnya semangat untuk melakukan aktiviti bersama parti.
Sesungguhnya pimpinan parti, pengurus, dan anggotanya merupakan pelayan umat, bukan pemimpin umat—seandainya ditinjau dari satu segi bahawa pemimpin suatu kaum adalah pelayan kaum itu—jika hal tersebut terbalik, iaitu kita beraktiviti untuk menjadi pimpinan, meraih kekuasaan, dan memperoleh kemasyhuran, dan kita terus saja dalam kedudukan sebagaimana yang difirmankan Allah SWT,
وَاذْكُرُوْٓا اِذْ اَنْتُمْ قَلِيْلٌ مُّسْتَضْعَفُوْنَ فِى الْاَرْضِ تَخَافُوْنَ اَنْ يَّتَخَطَّفَكُمُ النَّاسُ
“Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.” (TMQ Al-Anfal: 26).
maka bagaimana jika keadaannya sampai pada
فَاٰوٰىكُمْ وَاَيَّدَكُمْ بِنَصْرِهٖ وَرَزَقَكُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ
“… maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik ….” (TMQ Al-Anfal: 26).
Bagaimana umat dapat percaya bahawa kita tidak akan pernah lebih buruk (senantiasa lebih baik-pen.) daripada mereka yang kafir yang senantiasa menimpakan kebinasaan dan kehancuran pada umat, ketika mereka memperoleh kebesaran dan kekuasaan? Bagaimana anggota dapat percaya bahawa revolusi ini tidak akan pernah memakan diri dan anak-anaknya setelah parti mencapai tujuan? Berhati-hatilah dan senantiasa waspada terhadap setiap orang yang tergoda oleh nafsu amarahnya yang buruk dengan menganggap dirinya lebih tinggi daripada umat atau daripada anggota (asy-syabab) lainnya.
Inilah beberapa kesukaran dan bahaya yang paling penting yang akan menghalang parti berideologi sepanjang perjalanannya meraih tujuan yang diinginkan. Parti berideologi perlu memahami sepenuhnya dan menyiapkan terapi yang akan dapat menjamin teratasinya kesulitan dan bahaya tersebut. Para anggota parti (asy-syabab) perlu memuhasabah diri dan berhati-hati terhadap semua perkara tersebut agar perahu parti dapat berjalan di atas metode yang telah ditetapkan Allah SWT dan tidak menyimpang sehelai rambut pun dari jalan tersebut.
Dan hanya Allah, Zat yang menganugerahkan petunjuk dan hanya Dialah yang patut diminta pertolongan.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)
[Ath-Thariq] Pelbagai Bahaya yang Merintangi Parti Berideologi (Bahagian 2/2)

